Monday, January 28, 2008

Menuju ke pengakhiran bulan Januari

'Kisah kita berakhir di Januari' mendengar lagu dendangan Glen Fredy bertajuk Januari membuatkan diri ini dibuai asyik yang mendalam. Bukan apa mengenangkan sepanjang peristiwa yang berlaku menuju ke 31hb Januari. Pejam celik kita semakin hampir untuk menghabiskan bulan pertama dalam tahun 2008. Pelbagai cerita sama ada di dalam mahupun negara menghiasi bulan Januari tahun ini. Daripada kehilangan Sharlinie yang masih belum ditemui sehinggalah kepulangan bekas Presiden Indonesia, Suharto ke rahmatullah menjadikan bulan Januari bulan yang banyak cerita dan berita. Adakah kisah kehilangan Sharlinie bakal berakhir dengan penemuannya ataupun satu lagi nota kematian bakal menyusul? Kehilangannya masih lagi menjadi misteri! Kita sama-sama mendoakan dia bakal ditemui dengan selamat.

Kisah kematian bekas Presiden Indonesia, Suharto begitu menyayat hati. Setelah sekian lama berada di dalam penderitaan akibat penyakitnya, akhirnya Presiden yang dipenuhi dengan pelbagai selepas peletakkan jawatannya pulang ke rahmatullah! Seisi Indonesia meratapi pemergian Presiden itu walaupun allahyarham menimbulkan banyak kontroversi dengan perlibatannya dalam rasuah dan kegawatan ekonomi yang teruk sehingga menjejaskan ekonomi Indonesia semasa pemerintahannya. Semoga dengan kematiannya, segala kesalahannya selama tidak terbawa ke liang lahad! Innalillahhirajiun!

Sunday, January 20, 2008

minggu yang meletihkan!

Minggu ini dan minggu depan merupakan minggu yang meletihkan. Selama 6 hari berturut2 saya terpaksa bekerja keras berlatih sukan Sofbol, salah satu sukan yang kurang popular di Malaysia untuk menyertai Sukan Mahasiswa Universiti Malaya, Sukmum. Sukan ini popular di USA dan Jepun tapi dikenali sebagai besbol. Dengan memerlukan kemahiran tangkapan bola @catching serta balingan bola @ throwing yang bagus, ia benar2 memerlukan stamina yang tinggi. Hujung minggu baru ini pula saya dikerah untuk berlatih pada waktu pagi. Dan akibatnya terpaksalah bangun awal pagi seperti hari biasa. Peluang untuk tidur selepas subuh agak sukar. Terpaksalah diterima memandangkan Sukmum semakin menghampiri. Seminggu yang lalu, saya turut membelek-belek akhbar. Antara yang menarik adalah pembunuhan kejam ADUN serta kehilangan Sharlinie yang menyerupai kisah kehilangan Nurin Jazlin. Adakah nasibnya akan menjadi sama dengan nasib Nurin? Harap2 tidak begitu. Gerakan mencari masih lagi dijalankan dan ia mendapat liputan meluas setiap pihak sehingga posternya ditampal di merata tempat serta dijadikan kain rentang untuk tatapan pengguna-pengguna lebuhraya. Ternyata kerajaan mengambil serius hal ini dan berharap kisah tragis Nurin Jazlin tidak berulang lagi.

Pada hari ini, saya tidak sempat membelek-belek akhbar untuk hari ini. Namun, dengan saya sempat mentelaah akhbar melalui internet. Pertama kali saya akan membuka www.bharian.com.my dan memasuki seksyen susastera. Puan Zaharah Nawawi telah menghasilkan cerpen untuk memperingati kematian bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Butho yang ditembak mati oleh musuhnya. Rata-rata puisi yang disiarkan turut menggunakan tema yang sama. Di antara puisi juga, saya sempat melirikkan pandangan mata kepada sebaris nama, Muizzah Shukri, seorang yang saya kenali. Salah seorang sahabat saya di Minggu Penulis Remaja 2007, berjaya menghasilkan sebuah puisi dan tersiar di Berita Minggu. Puisinya yang bertajuk Yang Pertama mempunyai maksud yang tersirat. Tahniah, saya ucapkan! Semoga sahabat saya ini akan terus menulis untuk sama-sama memberi pengajaran yang baik kepada masyarakat. Insya Allah!

Monday, January 14, 2008

PERJALANAN MPR 2007 SEMAKIN LAJU

Minggu lepas merupakan minggu yang memenatkan. Usai hari Ahad kelmarin diri ini baru sahaja selesai balik dari Port Dickson setelah mengikuti program Harapan ataupun Hari Keluarga Permadah Universiti Malaya! Minggu ini diri akan mengikuti lagi pelbagai program sama ada anjuran kolej kediaman mahupun universiti.
Semalam, diri membelek-belek akhbar Berita Minggu. Pertama kali, diri akan melihat bahagian susastera di dalam sisipan Dimensi. Seperti mengekori jejak Mingguan Malaysia yang mengecilkan saiz sisipan Kesihatan mereka, diri lantas membelek ke belakang. Diri melihat ruangan cerpen, dan seperti biasa diri mengenali penulis cerpen minggu lepas, Encik Fudzail. Kemudian, diri membelek-belek ruangan sajak pula dan mulut diri melebarkan senyuman apabila nama salah seorang peserta Minggu Penulis Remaja 2007, Syafiq Azli Mohd Salleh berserta puisinya tersiar di situ. Bangga apabila rakan malahan diri juga menganggap sebagai adik berjaya menempatkan puisi di dalam sebuah akhbar popular di Malaysia. Yang lebih membanggakan dengan statusnya sebagai mantan MPR yang masih agak samar-samar dia mampu untuk menonjolkan bakatnya yang sebenar kepada kita bahawa status bukanlah segala-galanya.
Puisinya yang berjudul Dunia Yang Cacat ( setelah menonton SH Alattas ) mempunyai kekuatan yang tersendiri. Walaupun diri kurang mahir dalam menghasilkan dan mengkritik tentang puisi, tetapi diri rasa puisi ada memang patut disiarkan disebabkan kekuatan yang dimilikinya. Diri harap Syafiq akan terus menulis untuk mempertajamkan bakat yang dimiliki. Diri pun akan terus berusaha agar MPR 2007 meneruskan perjalanan dalam dunia penulisan ini.

Sunday, January 6, 2008

Harga dah naik!!

Kebanyakkan sekarang harga barang runcit sama ada tepung, gula, minyak masak dan sebagainya menampakkan kenaikan harga yang cukup mendadak. Kerajaan cuba untuk membantu memastikan kenaikan harga itu tidak berlaku namun disebabkan desakan daripada pengilang dan pemborong memaksa mereka berbuat demikian. Pesta kenaikan harga pada awalnya diharapkan hanya berlaku ketika musim perayaan yakni semasa Hari Raya Aidilfitri. Akan tetapi, kenaikan itu berterusan sehinggakan ada pihak yang tertentu cuba mengambil kesempatan menyorok barang runcit ini. Dengan cara ini, peniaga runcit terpaksa mencatu barang-barang ini agar dapat dibahagikan sama rata kepada pengguna. Lihat saja laporan akhbar baru-baru ini, peniaga terpaksa menghadkan penjualan minyak masak dan tepun gandum. Ternyata situasi mengundang pelbagai masalah kepada rakyat dan negara. Jadi, apa peranan kita? Sebagai pengguna kita ada hak dan kuasa kita. Mungkin di Malaysia, penggunanya kurang didedahkan dengan hal-hal kepenggunaan berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat. United Kingdom mahupun Jepun. Apabila ada kenaikan harga, adalah juga bantahan daripada persatuan pengguna yang ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan ataupun NGO. Persatuan pengguna dari negara kita juga berusaha untuk membuat bantahan di atas kenaikan harga ini namun hasilnya agak sukar diperolehi. Itu yang menjadikan kenaikan harga di Malaysia agak sukar dibendung.

Saturday, January 5, 2008

permulaan kepada kisah baru

Assalammualaikum sebagai pembuka bicara!!! akhirnya setelah lama berfikir, saya dengan suka citanya berjaya menghasilkan blog untuk diri saya!!Alhamdullillah!!!Semoga dengan penghasilan blog ini saya akan terus berjuang untuk menegakkan yang hak dan menentang yang batil!! Insya allah