Monday, February 25, 2008

PILIHANRAYA, DI.AR.TI DAN RESEPI DARI ISTANA

Menginjak minggu penghujung bulan Februari ini, dirasakan masa berlalu dengan pantas! Tentunya semua sudah maklum dengan Hari Pembuangan Undi pada hari Sabtu minggu hadapan. Setelah hari penamaan calon yang berlangsung semalam, rata-rata banyak golongan muda yang terpilih untuk bertanding di tempat-tempat tertentu. Dapat kita jangkakan bahawa perubahan era pemerintahan mula dirasai dengan berlakunya keadaan sebegini. Golongan tua ataupun pemimpin era dahulu mula beransur-ansur melepaskan jawatan dan kuasa masing-masing untuk diwarisi golongan muda yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Namunbegitu, adakah peluang yang diberikan mampu dipikul oleh golongan muda yang masih kurang berpengalaman berbanding golongan tua yang sudah pun berpuluh-puluh tahun bergelumang dalam kancah politik dan pentadbiran tanah air! Sama-sama kita nantikan sambil berdoa golongan MUDA berupaya mentadbir negara dengan baik.

* * *
Seusai membaca buku fiksyen Di.Ar.Ti, karya Rahmat Haroun memberi saya sedikit impak dan pengajaran untuk menghasilkan cerita fiksyen sains berdasarkan fakta-fakta sains yang sebenar. Daripada Di.Ar.Ti., penulis cuba membawa satu kisah di mana manusia boleh melakukan apa saja dengan ilmu yang dipelajari. Dalam novel ini, seorang doktor bernama Dr.Jailani berusaha untuk menghidupkan kembali manusia yang sudah mati sambil dibantu oleh Mr.Chong. Penulis menggunakan kepakarannya dalam bidang kedoktoran dengan menyampaikan setiap maklumat yang diberikan dengan lebih terperinci. Jalan ceritanya cukup dan menimbulkan perasaan suspens ketika membacanya. Cuma watak Osman dalam cerita ini masih belum ditemui fungsinya kerana jalan cerita lebih kepada usaha Dr.Jalani dalam proses menghidupkan kembali manusia yang mati. Saya juga diberitahu bahawa novel mempunyai sambungan dalam satu lagi novel berjudul Sentuhan Oedipus.

Seperti hari Ahad yang sebelum-sebelum ini, saya akan membeli senaskah akhbar Berita Minggu dan ruangan pertama yang akan baca adalah ruangan Susastera dalam sisipan Dimensi. Cerpen Resepi dari Istana 2 karya salah seorang mentor saya di Minggu Penulis Remaja 2007, Kak Nisah Haron menghiasi ruangan cerpen minggu itu. Saya membaca cerpen itu buat seketika. Tiada elemen fantasi dan tiada juga unsur fiksyen sains dalam cerpen tersebut seperti cerpen2 Kak Nisah sebelum ini. Usai sahaja membaca cerpen itu, saya terkesan sesuatu mengenai satu isu yang sedang hangat diperkatakan kala ini. Bukan pilihanraya mahupun dunia hiburan. Tetapi, mengenai isu pemilihan bahan pengajaran di dalam komponen sastera (KOMSAS). Oppsss... harus diingat ini adalah tanggapan saya setelah membaca cerpen itu. Harap tuan-tuan faham! Saya tidak tahu adakah cerita ini berdasarkan kisah benar yang telah diubah ataupun hanya sekadar naratif bertemakan isu yang saya beritahu sebentar tadi. Apapun, cerpen ini tampak menarik disulami dengan kesinisannya.

Monday, February 11, 2008

ANTARA DUA KISAH

Apabila membicarakan nama Allahyarham Ahmad Zafran, saya tidak mengenalinya walaupun allahyarham merupakan antara mantan MPR 1993. Tetapi, apabila mengetahui bahawa allahyarham merupakan penulis kepada cerpen Cintaku Hanya Untuk-Nya, langsung saya kenal! Tidak menyangka, penulis kepada cerpen terbabit pulang ke rahmatullah! Subhanallah! Meneliti cerpennya di dalam antologi Annyss Sophilea, ceritanya mengenai sekumpulan remaja yang mengikuti perkhemahan Biro Tatanegara! Sekumpulan pelajar lelaki remaja yang bertanding untuk memenangi sekuntum 'bunga' yang cukup cantik di dalam kem itu. Dan, seorang pelajar lelaki yang cukup alim yang diberi jolokan Ustaz Rock(mampu dibawa ke bawah dan ke atas) memenangi pertarungan itu. Walaupun begitu, cintanya terbatas dek sifat-sifat islamiknya untuk menghindari maksiat dalam kehidupannya. Ternyata cerpen ini digarap dengan baik dan diselaputi dengan humor dan suspens! Untuk percintaan yang menjadi tunjang turut dimuatkan dalam dibayangi dengan percintaan kepada Illahi! Diharapkan kenangan yang ditinggalkan oleh allahyarham ini menjadi ingatan kepada semua insan. Al-fatihah!

* * *

Seusai membaca dua buah cerpen karya sahabat saya di Dewan Kosmik dan Dewan Budaya, saya terkesan sesuatu di antara kedua-dua buah cerpen itu. Cerpen Burung Hitam dan Abu Nawas karya Aidil Khalid mengutarakan kisah mengenai adat makan dalam majlis makan beradab. Persoalan yang dibawakan cukup simple tetapi membawa mesej yang berkesan. Dua orang peguam yang sedang proses meningkat naik berbalah sesama mereka mengenai adat makan beradab yang dikatakan berasal daripada pengaruh Islam sendiri sebelum dicedok oleh Barat. Walaupun begitu, adat yang dikatakan diasaskan oleh orang Islam itu sendiri ditentang kerana tidak semua perkara yang dibawa oleh orang Islam itu dianggap sebagai kewajipan bagi orang Islam. Hanya Sunnah Rasulullah s.a.w sendiri yang menjadi tunjang dalam kehidupan kita.
Cerpen ini ditutup dengan sinis di mana peguam yang berhujah dengan mempertahankan budaya makan beradab yang dibawa oleh orang Islam turut serta dalam upacara minum arak dalam chambering night anjuran majikan mereka.

Cerpen Planet Biru Harapan karya Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, membawakan kisah seorang pemuda yang ingin pulang ke bumi setelah tertekan dengan kehidupan di Planet Biru Harapan. Meneliti cerpennya, ada unsur falsafah yang cuba dibawa oleh penulis dengan menggunakan latar masa depan mengenai kebebasan. Cerpennya menarik dengan unsur fiksyen sains yang menarik. Selalunya kita akan melihat sebuah karya fiksyen sains dengan ilmu sainsnya sekali sama ada dalam kimia, biologi mahupun fizik. Tetapi penulis membawakan mesej falsafah dengan mengetengahkan kebodohan manusia yang mengejar kebebasan yang tidak pernah wujud dalam dunia kala itu. Ceritanya diakhiri dengan harapan yang tidak kesampaian watak utama kerana telah disabotaj oleh rakan sendiri.

Dua cerpen yan menarik disamping mesej yang dketengahkan agak berbeza. Saya kira kedua-dua penulis ini mempunyai bakat yang baik untuk masa depan dunia sastera. Saya harap Aidil dan Azriq akan terus menulis sesuatu yang baru dan berguna untuk semua. Jya mata ne!