Saturday, March 29, 2008

SETELAH 5 TAHUN






Setelah menunggu 5 tahun, alhamdulillah cerpen saya sudah pun tersiar di media cetak pada tahun ini. Rezeki saya untuk bulan April, cerpen Lembing Sparta dan cerpen fiksyen sains Misi 2050 mendapat tempat di dalam Dewan Sastera sisipan Tunas Cipta dan Dewan Kosmik keluaran April 2008. Dua cerpen ini merupakan karya saya yang ke-5 dan ke-6 yang disiarkan. Kali terakhir karya tersiar adalah pada tahun 2003 melalui puisi Dalam Gelap yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2003. Kemudian, saya menyepi daripada arena penulisan (bukan tidak menulis langsung cuma tidak dihantar ke mana-mana penerbitan) sehinggalah saya menyertai Minggu Penulis Remaja 2007. Sebetulnya, saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada Kak Nisah Hj Haron serta Abang Saifulizyan yang banyak membantu saya menyemak cerpen-cerpen ini dan membantu saya mengenengahkan cerpen-cerpen ini kepada editor majalah dewan.

Cerpen Lembing Sparta telah di'remake' semula daripada cerpen yang saya tulis pada tahun 2003. Saya tidak mendapat ilham bukanlah daripada menonton filem 300 mahupun filem Meet The Spartans tetapi setelah membaca buku teks Sejarah Peradaban Dunia tingkatan 4. Setelah saya mengetahui sistem hieraki masyarakat Sparta pada masa itu yang mengamalkan sistem kasta yang amat teruk, saya pun cuba menghasilkan cerpen untuk menentang sistem lama itu. Penentangan masyarakat Periochi, masyarakat pertengahan di Sparta terhadap masyarakat Peer, masyarakat pemerintah kota Sparta berlangsung sangat hebat dan terbawa-bawa sehingga ke dalam bidang sukan, terutamanya dalam pemilihan wakil Sparta ke Olympia bagi menyertai Sukan Olimpik zaman dahulu. Walaupun gaya bahasa tidaklah sehebat mana tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi mesej yang berguna kepada khalayak pembaca. Asalnya judul cerpen ini adalah Sparta dan Olimpik namun diubah kerana konsep Olimpik itu agak kurang dalam cerpen ini.

Cerpen Misi 2050, salah satu lagi cerpen lama saya yang telah 'touch-up' kembali untuk disiarkan di dalam Dewan Kosmik kali ini. Cerpen yang saya tulis untuk pertandingan Hadiah Sastera Sains Fiksyen anjuran Karyanet. com pada tahun 2005 tidak dapat disiapkan kerana kekangan masa. Akhirnya, dibiarkan dalam proses pengeraman selama 2 tahun sebelum saya membawanya ke MPR 2007. Setelah dibaca oleh rakan saya di MPR itu, mereka berpendapat cerpen ini sesuai dihantar ke Dewan Kosmik kerana konsep peperangan masa hadapan. Lalu, setelah saya membina semula plot dan membetulkan olahan ayat yang salah, saya menghantarnya ke editor Dewan Kosmik. Cerpen yang mengisahkan peperangan pada tahun 2050 di antara tentera Wilayah Barat dan Wilayah Timur yang menggunakan konsep peperangan teknologi masa depan. Senjata biologi dipertingkatkan dan digunakan untuk menentang musuh. Tajuk cerpen ini juga telah diubah daripada Merencana Misi kepada Misi 2050 dan setiap cerpen itu mempunyai maksud yang tersirat yang cuba disampaikan. Seperi juga Misi 2050, ia mempunyai maksud yang tersirat dan apabila anda membacanya, bakal difahami kelak.

Sukacita juga saya ingin memperkenalkan juga dua cerpen rakan saya di MPR iaitu Nai Boon Mee dan Nor Hidayah Ilias yang turut tersiar di dalam Dewan Sastera keluaran April 2008. Cerpen Srengenge ciptaan Nai Boon Mee berserta Noktah Masih jauh karya Nor Hidayah Ilias bakal menjadi santapan para pembaca di dalam Dewan Sastera keluaran April 2008. Diharapkan segeralah mendapatkannya.

Tuesday, March 25, 2008

PENULIS DAN BLOG








Hari Sabtu, 22 Mac 2008, saya mengagahi diri untuk ke DBP bagi mengikuti diskusi ilmu yang bertajuk Penulis Dan Blog. Diskusi kali ini dipengerusikan oleh Encik Shamsudin Othman,mantan MPR 1986 dan dibarisi oleh dua orang ahli panel iaitu Puan Nisah Hj Haron, mentor saya di MPR 2007 serta Jiwarasa, salah seorang penulis blog yang aktif. Di dalam diskusi, saya telah diberikan banyak ilmu yang berguna seperti cara untuk menggunakan blog itu dengan baik dan berkesan. Antaranya adalah dengan menggunakan blog sebagai penyampai maklumat aktiviti semasa, diari mahupun medan untuk mempromosikan buku atau karya kita. Yang lebih mengujakan, blog juga boleh juga digunakan untuk memancing undi di dalam pilihan raya.

Di dalam diskusi ini, saya juga dinampakkan kuasa blog yang mampu menjadi senjata untuk memartabatkan maruah sesuatu bangsa. Ini dapat dilihat melalui kajian yang telah dibuat menunjukkan 37% bahasa yang digunakan dalam penulisan blog adalah bahasa Jepun sedangkan hanya 33% pengguna menggunakan bahasa Inggeris dalam menulis blog. Bahasa Farsi turut dicatatkan mempunyai penggunanya iaitu 1%. Tetapi, di mana pula bahasa Melayu@(Malaysia).Mungkin hanya termasuk dalam golongan lain-lain yang peratusan agak kecil. Di sini, telah dinampakkan betapa blog itu memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan maruah sesuatu bangsa. Setiap penulis blog itu adalah pejuang bahasa masing-masing tidak kira apa tujuan mereka menulis blog. Jadi, jikalau seorang Melayu menulis blog di dalam bahasa Inggeris maka dia memartabatkan bahasa Inggeris tidak bahasa Melayu.

Jadi, tidakkah rugi bahasa Melayu pada masa depan yang berkemungkinan besar bakal pupus?

Saturday, March 22, 2008

DUA BUAH BUKU



Mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan dua buku ini. Mungkin juga ada yang pernah nampak tapi buat-buat tak tahu sebab nama-nama pengarangnya tidak pernah dikenali. Oleh itu, biar saya menyampaikan serba sedikit berkenaan 2 buku. Antologi Cerpen Remaja Perpaduan Jentayu dan Kami dan Afeya diterbitkan pada tahun 2001 dan 2005. Kedua-dua antologi ini adalah merangkumkan karya pemenang-pemenang Sayembara Cerpen Remaja Perpaduan Anjuran Jabatan Perpaduan Negara dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka bagi tahun 2000 dan 2001. Ini adalah kesinambungan daripada dua buah antologi cerpen yang telah diterbitkan sebelum ini iaitu Cinta Internet dan Generasi 2222.

Yang menariknya, 3 buah cerpen saya turut diterbitkan di dalam 2 buah antologi cerpen ini. Cerpen Satu Pasukan untuk antologi Jentayu dan cerpen Semangat Satu Pasukan dan Siapa Juara? dalam antologi Kami dan Afeya. Mungkin gaya bahasa saya pada ketika itu agak kurang menarik memandangkan cerpen-cerpen itu ditulis ketika saya berumur belasan tahun, namun ia telah menjadi lonjakan paradigma kepada saya untuk terus menulis dan menceburi dunia kesusasteraan ini dengan lebih mendalam. Rata-rata, ketiga-tiga cerpen ini dihasilkan dengan mengangkat isu perpaduan dalam sukan supaya ia menjadi sedikit kelainan daripada karya-karya yang turut bertanding. Diharapkan segeralah mendapatkannya di pasaran.

Kumpulan Utusan-UTM anjur sayembara fiksyen sains

PENULIS A. Richard dalam bukunya, Peotries and Science (1926) menegaskan bahawa masyarakat moden bakal mengkaji sastera secara serius sepertimana mereka mengkaji kitab-kitab agama.

Ia lantaran krisis spiritual dan keinginan batiniah yang memuncak.

Menurutnya, agama yang selama ini menjadi rujukan utama tidak lagi di beri perhatian wajar oleh segelintir masyarakat Barat. Pada masa yang sama, sains dan teknologi terus dipuja kerana pemahaman materialis-hedonis.

Dalam keadaan ini, sastera muncul sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-duanya (agama dan sains) melalui unsur estetika, filosofis dan imaginatifnya - membuka inspirasi manusia untuk berkarya.

Sastera dan segala unsur imaginatifnya sangat berpengaruh. Albert Einstein yang merupakan pengasas teori relativiti sendiri merupa peminat penyair romantik Britain seperti Wordsworth dan Mary Shelley.

Begitu juga ahli matematik, Alfred North Whitehead yang menghasilkan karya Principia Mathematica (1910) juga merupakan pengkagum karya-karya Wordsworth dan Mary Shelley.

Oleh itu, tidak menghairankan jika banyak pemikir inovatif dalam disiplin ilmu sosial dan sains mempunyai latar belakang sastera yang kukuh. Pemikir Edward W. Said misalnya membongkar epistemologi orientalisme sambil membuka pintu pascakolonialisme melalui disiplin itu.

Michel Foucault, yang mengadakan analisis wacana untuk melihat prawacana atau Antonio Gramsci yang melihat sastera sebagai medium pembaharuan moral dan untuk mengungkapkan ideologi-ideologi kelompok sosial.

Terdapat puluhan tokoh intelektual lain seperti ahli astronomi Carl Sagan, Free Dyson dan pakar roket Wernher Von Braun dikatakan bermula daripada kegemaran membaca karya fiksyen sains.

Pembacaan yang mendalam terhadap karya-karya tersebut telah menemukan mereka dengan pertembungan titik pertemuan antara disiplin sastera dan sains dalam kerangka ontologi (metafizik).

Ini kerana kedua-duanya mampu mengetengahkan kenyataan walaupun di satu sisi sastera lebih mendekati alam imaginatif sedangkan sains merupakan ruang realiti.

Bagaimanapun antara sastera dan sains juga saling mempengaruhi misalnya sains dapat menjadi inspirasi bagi pengarang untuk menciptakan karya fiksyen dan begitu juga sebaliknya.

Dalam sejarah kepengarangan dunia muncul penulis-penulis yang berjaya memanfaatkan kedudukan ini untuk menghasilkan karya yang memukau. Antaranya Edgar Allan Poe (Eureka), Lewis Carrol (Alice’s Adventure in Wonderland) dan Jorge Luis Borges (Ficciones).

Namun, jauh sebelum itu terdapat pengarang yang meneroka ruang fiksyen sains dengan baik iaitu Jules Verne yang menghasilkan From The Earth to the Moon).

H.G Wells pula menulis The Time Machine (1895), The Invisible Man (1897), The War of the Worlds (1898) dan The First Men in the Moon (1901).

Dalam konteks Malaysia, fiksyen sains juga bukan merupakan genre baru. Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar misalnya pernah menghasilkan novel yang cukup menarik, Dendam Siber - sebuah wacana adaptasi sains dan sastera.

Dengan mengambil kira prospek masa depan sains sebagai ruang untuk penciptaan karya kreatif tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan mengambil inisiatif menganjurkan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Seperti dijelaskan oleh Pengarah Penerbit UTM, Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, sayembara tersebut merupakan usaha kedua-dua institusi tersebut untuk meningkat dan menggalakkan manipulasi daya cipta, kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar tempatan, tenaga pengajar khasnya dan rakyat Malaysia secara umumnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sasaran utama penyertaan iaitu semua pelajar dan staf Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia, selain mereka yang berminat untuk menyertainya.

“Penyertaan ini terbuka kepada umum tetapi mereka mesti mestilah warganegara Malaysia dan karya wajib dihasilkan dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Sebenarnya, menurut Ahmad Zaki, idea untuk mengadakan sayembara tersebut bermula dengan Sayembara Novel Cereka Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan. Pelancarannya telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM pada 15 Ogos tahun lalu. Ia bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2007.

Sebagai penerbit ilmiah, UTM belum pernah menerbitkan genre Cereka Sains. Apabila melihat potensi buku jenis ini dapat membina minda dan berupaya menarik pembaca khususnya golongan muda untuk meminati bidang sains dan teknologi, satu usaha ke arah itu diusahakan.

“Kita melihat Kumpulan Utusan mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran sayembara sastera dan penerbitan. Ini bertepatan dengan objektif UTM menarik minat penulisan rakyat Malaysia.

“Dengan adanya kerjasama dengan Kumpulan Utusan, Penerbit UTM yakin akan mendapat sebanyak mungkin penyertaan dan sayembara ini dilihat akan lebih berjaya,’’ tambah beliau.

Ahmad Zaki mengakui, Penerbit UTM pada dasarnya memerlukan rakan media/penerbit swasta yang berpengalaman luas dalam penganjuran sayembara serta berpengaruh untuk berganding bahu dalam usaha ini.

Sebagai penganjur bersama, UTM akan bertanggungjawab membiayai sepenuh kos berkaitan penganjuran sayembara tersebut termasuk kos hadiah, penganjuran bengkel penulisan, honororium panel hakim, mesyuarat panel hakim serta kos lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil kerjasama tersebut, Kumpulan Utusan bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam penganjuran sayembara novel dan seterusnya penerbitan novel.

Ini termasuk penyediaan kriteria penilaian dan jadual kerja penghakiman, pelantikan panel hakim, pengendalian mesyuarat penghakiman dan pelaporan, fasilitator bengkel penulisan dan proses lain yang berkaitan.

“Paling menarik, penyertaan terbuka kepada individu atau berkumpulan. Sesebuah kumpulan yang dibenarkan hendaklah tidak melebihi tiga orang ahli kumpulan.

“Peserta boleh menghantar seberapa banyak karya. Tiada had penyertaan sama ada bagi peserta individu atau berkumpulan,” ujar beliau.

Sementara itu, majlis pelancaran sayembara dan majlis menandatangani MoU oleh UTM dan Utusan Melayu bakal diadakan pada 7 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan ialah;

Pertama (RM15,000, watikah dan trofi), tempat kedua (RM7,500, watikah dan trofi), ketiga (RM5,000, watikah dan trofi) manakala lima pemenang sagu hati masing-masing akan menerima RM500, watikah dan trofi.

Sementara itu, keterangan lanjut mengenai sayembara tersebut hubungi Sekretariat Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi, Penerbit UTM di 07-5218166 (Yosman Mohd. Bain).

* BENGKEL Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi akan diadakan pada 6 April bermula pukul 8 pagi di Bilik Kelantan, PWTC. Ia akan dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Amida Abdulhamid. Setiap peserta akan dikenakan bayaran RM50.

Friday, March 7, 2008

Undilah calon pilihan anda

Esok, setiap rakyat Malaysia yang sudah pun berumur 21 tahun ke atas, bakal menentukan masa depan negara pada masa akan datang. Yang jauh akan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan! Tidak kira sama ada mahu memangkah Dancing, Bulan, Bulan Pecah Dua, Roket mahupun parti bebas, kita terlebih dahulu menyelidiki latar belakang calon itu sendiri bukannya parti. Tapi, sayangnya kita pilihan raya di Malaysia, pengundi-pengundi hanya dibekalkan dengan manifesto parti bukannya calon yang bertanding. Keadaan sebegini mengakibatkan pengundi itu sendiri hanya mengundi berdasarkan logo pada kertas undi itu sahaja, tidak pada nama calon! Sesungguhnya, perkara sebegini bakal menjadikan pengundi itu keliru sama ada layakkah atau tidak calon ini menjadi wakil mereka di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri. Mungkin ada orang kata kenapa tidak mengikut calon itu sendiri pergi berkempen.

Bila difikirkan semula, memang betul anggapan begitu. Namun, apa pula halnya dengan pengundi yang berada dari luar kampung mereka. Mereka agak sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai calon mereka kerana setiap akhbar mahupun media elektronik seperti laman web HANYA mendendangkan KETIDAKPUASHATIAN mereka dengan perjalanan pilihan raya yang tidak telus, manifesto parti masing-masing yang entah jadi entah tidak, paparan maklumat yang tidak sahih, hanya beromong kosong di dalam lingkungan mereka. Mana pergi maklumat yang diperlukan untuk memberitahu pengundi inilah calon kawasan anda dan kenapa calon ini layak menjadi wakil suara anda di Parlimen ataupun DUN. Bukannya cacian ataupun omong kosong sesetengah pihak bagi memenangi pilihan raya nanti.