Saturday, April 12, 2008

ATLANTIS:DUNIAKU DUNIAMU


Sebuah lagi antologi cerpen saya mesti dimiliki oleh peminat-peminat sastera ataupun penulis-penulis yang mahu memulakan minatnya di dalam penulisan kreatif. Antologi Atlantis:Duniaku Duniamu, antologi pemenang-pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1991 memuatkan 35 buah sajak dan 14 buah cerpen. Namun, saya lebih tertarik kepada kumpulan cerpennya. Antara cerpen-cerpen yang dimuatkan dalam antologi ini adalah Atlantis, Duniaku Duniamu karya Nisah Hj. Haron, Anak Juang karya Monalita mansor, Kelapa Mak Tak Komeng karya Haryati Jamin, Kesumat Waris Terakhir karya Saharil Hasrin Sanin, Musnahlah Robo-Minion! karya Rahayu Mohd Salleh, Aku,Ayah dan Kenangan karya Azizah Ibrahim dan sebagainya. Daripada kesemua cerpen yang tersiar saya lebih meminati cerpen Atlantis, Duniaku Duniamu, Kelapa Mak Tak Komeng, Kesumat Waris Terakhir dan Musnahlah Robo-Minion. Seperti yang kita ketahui, cerpen-cerpen Kak Nisah lebih kepada fantasi. Seperti mana Atlantis, Duniaku Duniamu, cerpennya begitu mengasyikkan dengan garapan bahasa yang baik beserta dengan daya imaginasi yang tinggi. Cerpen Kesumat Waris Terakhir juga berlandaskan konsep fantasi, perebutan kuasa oleh waris tunggal keluarga diraja demi menuntut bela atas kematian ayahanda dan bonda mereka. Cerpen Musnahlah Robo-Minion membawakan konsep fiksyen sains, di mana manusia diperintah oleh robot ataupun kerajaan zalim pada masa hadapan. Cerpen ini seakan-akan menyamai filem I-Robot yang ditayangkan pada tahun 2004, namun perbezaan latar dan masa menjadi pembeza bagi kedua-dua cerita ini. Cerpen Kelapa Mak Tak Komeng digarap dengan baik sekali. Menggunakan sudut pandangan yang ketiga, di mana pencerita adalah dikalangan watak itu sendiri. Pembinaan dan pengolahan cerita yang menarik menjadikan cerpen ini sedap dibaca.

Atlantis, Duniaku Duniamu membawakan seribu satu cerita dan kefahaman yang mampu memberi kefahaman kepada pembaca beginilah dunia remaja yang penuh dengan emosi, fantasi dan perasaan. Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat ternyata berjaya mengangkat tema dan persoalan yang pelbagai demi mewarnai dunia kesusasteraan Melayu.

Friday, April 11, 2008

PEMANGKIN MINAT SAYA



Bagi yang baru 'nak berjinak dengan dunia penulisan ataupun yang masih mencari-cari teknik ataupun tema yang sesuai untuk menulis cerpen, di sini saya mengesyorkan sebuah buku antologi cerpen. Buku yang memuatkan pemenang-pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat ini menampilkan beberapa nama besar pada hari ini. Buku Annyss Sophillea perlu dimiliki oleh semua pemula dan peminat yang meminati dunia penulisan dan kesusasteraan. Menggunakan tajuk daripada sebuah cerpen Nisah Hj Haron, buku-buku ini merangkumi pemikiran dan perasaan remaja ketika mereka di dalam ambang remaja. Melalui antologi cerpen Annyss Sophillea, cerpen-cerpen selain daripada tajuk buku adalah seperti Cintaku Hanya Untukbya karya Allahyarham Ahmad Zafran Abd. Mutalib, Makmal ZNF karya Shamsinor Zaman Shamsuz Zaman, Mawar Di Tengah Rimba karya Monalita Mansor dan Usah Tersilap karya Hassan Zaidin. Kelima-lima cerpen adalah pemenang utama Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1992. Lebih membanggakan cerpen Annyss Sophillea dan Makmal ZNF diangkat sebagai karya cerpen di dalam Kompenen Sastera (KOMSAS) tingkatan 4. Antara kelima-lima cerpen ini, saya menyukai karya Nisah Hj. Haron, Allahyarham Ahmad Zafran @ Panaharjuna serta karya Hassan Zaidin. Tema dan gaya persembahan mereka begitu mengesankan serta menarik. Walaupun buku ini agak lama, namun saya berharap pembaca-pembaca sekalian tidak menyalah anggap. Barang yang lama ada gunanya. Yang baru tidak akan ada selagi yang lama tiada.

Thursday, April 10, 2008

MEKAR SAKURA DI MIMBAR CINTA

Kali ini, saya akan memperkenalkan sebuah buku kumpulan cerpen salah seorang penulis muda tanah air yang saya kira mempunyai gaya penulisan yang cukup menarik. Buku Mekar Sakura Di Mimbar Cinta karya Ilham Hamdani begitu mengusik jiwa. Berlatarbelakangkan kemeriahan dan keindahan negara Matahari Terbit, Jepun, cerpen-cerpen yang dihasilkan begitu menarik dan menikam kalbu. Gaya bahasa yang digunakan oleh penulis ini begitu lancar dan sedap untuk dibaca. Antara cerpen-cerpen yang terdapat di dalam kumpulan cerpen ini adalah Mamaku Seorang Jepun, Sakura: Antara Dua April, Gugurnya Sakura Putih, Mencari Pembuka Kota dan sudah tentunya Mekar Sakura Di Mimbar Cinta. Namunbegitu, tidak semua cerpen-cerpen yang dimuatkan di dalam buku ini menggunakan latarbelakang tempat di Jepun. Cerpen-cerpen seperti Air Mata Seorang Gigolo menggunakan latar Mekah al-Mukaramah manakala cerpen Mencari Pembuka Kota berlatarbelakangkan keadaan sambutan Tahun Baru di KLCC, Malaysia. Rata-rata cerpen-cerpen di dalam buku ini begitu kuat menggunakan nuansa Islaminya. Cukup menarik dan sepatutnya menjadi santapan semua pembaca. Sambil-sambil itu, kita dapat mengenali budaya Jepun yang penuh dengan adat dan tata tertib serta makanan-makanannya seperti Udon, Mee Soba, Ramen, Sushi, Tempura dan sebagainya. Semoga anda semua segeralah mendapatkannya di pasaran.

Monday, April 7, 2008

APA SUDAH JADI

Sudah jatuh ditimpa tangga. Isu Wanita Pakar Matematik, Sufiah Yusof begitu menggemparkan seisi penduduk Malaysia. Wanita yang dianggap bakal menjadi seorang ahli matematik cemerlang pada masa hadapan ini dikhabarkan telah menjadi pelacur sewaktu menuntut di United Kingdom. Entah kenapa, apa yang menyebabkan gadis manis ini terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan. Dilaporkan juga disebabkan mengalami keadaan tekanan yang melampau akibat dipaksa oleh ayahnya belajar Matematik menyebabkan wanita ini berusaha untuk melarikan diri dari seksaan itu. Hidup tanpa pernah bersosial memang menyukarkan masa depannya kerana terpaksa berhadapan dengan dugaan tambahan lagi apabila berada di negeri orang, negeri yang rata-ratanya kehidupan sosialnya tidak terkawal. Namunbegitu, kita mengharapkan wanita ini bakal kembali ke pangkal jalan setelah tersesat jauh ke lembah penghinaan.