Sunday, May 4, 2008

AYAT-AYAT CINTA


Setelah sekian lama blog ini terbiar dek menghadapi peperiksaan akhir semester, akhirnya saya ingin berkongsi di dalam ruangan ini. Mungkin semua pembaca pernah mendengar mengenai novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman, salah seorang penulis terkenal dari negara seberang. Namun, mungkin segelintir yang sudah ataupun mungkin tidak tahu filem Ayat-Ayat Cinta turut dihasilkan untuk tontonan umum. Tidak seperti filem-filem cinta yang lain sama ada yang dihasilkan di Malaysia mahupun yang dihasilkan di Indonesia, kebanyakkan filem-filem yang dihasilkan adalah berlandaskan cinta duniawi semata-mata. Kalau ada pun sifat islaminya hanyalah sedikit sahaja. Melalui filem Ayat-Ayat Cinta ini, ceritanya bukan sahaja berkisar kepada kisah cinta semata-mata, namun saya dapat beberapa perkara yang cuba disampaikan pengarang asal novel ini mahupun pengarah filem itu sendiri.

Sebelum itu, apa kata kita melihat dahulu sinopsis kepada filem ini. Filem yang berlatarkan belakangkan negara Mesir, di mana seorang pemuda dari Indonesia, Fahri yang tinggal di Mesir untuk menuntut ilmu di Universiti al-Azhar. Tinggal bersama-sama dengan sahabatnya yang lain, dia mengenali seorang gadis yang tinggal di atas rumahnya. Gadis yang bernama Maria ini adalah penganut agama Kristian. Namun, mereka tetap berkawan seperti biasa tetapi terkawal dengan batas-batas yang telah dilunaskan melalui hukum syarak di dalam pergaulan berlainan jantina. Fahri mengenali seorang gadis ketika dia menaiki keretapi. Gadis itu memberi tempat duduknya kepada dua orang pelancong dari Amerika Syarikat kerana kasihan melihat salah seorang daripada mereka berada di dalam kesusahan. Namun, niatnya ditentang oleh seorang lelaki Islam di dalam keretapi itu dengan menganggap orang-orang Amerika ini adalah pengganas yang sebetulnya. Fahri cuba mempertahankan gadis itu berserta dengan rakyat Amerika hingga dia ditumbuk oleh lelaki tadi.

Kisahnya tidak terhenti di situ apabila dia cuba menolong seorang lagi gadis yang bernama Noura kerana dipaksa melacur oleh ayah angkatnya. Dengan bantuan Maria dan juga rakannya, Nurul, Noura berjaya disatukan dengan keluarga asalnya. Dengan sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Fahri ini, Noura cuba memikat dengan mengirimkan sepucuk surat untuknya. Akan tetapi, cinta tidak dibalas. Fahri turut menjadi kegilaan di tempat pengajiannya apabila rakannya, Nurul turut mengintai peluang memikat hati jejaka Indonesia ini. Setelah diberi nasihat oleh tuan gurunya, akhirnya Fahri memilih untuk mengahwini gadis yang dijumpai di dalam keretapi tadi. Gadis yang bernama Aisha ini cukup sifatnya. Selain cantik dan berharta, gadis ini juga mempunyai akhlak yang baik dan mempunyai pegangan agama yang kuat.

Berita perkahwinan Fahri dan Aisha ini menyebabkan ramai gadis terutamanya Maria dan Nurul mengalami tekanan kerana gagal memikat hati jejaka ini. Walaupunbegitu, Fahri tidak menyenangi kelakuan isterinya kerana bertindak mengikut fikiran sendiri dan terlalu mengagung-agungkan hartanya. Tidak cukup dengan itu, Aisha mula sangsi dan cemburu dengan suaminya apabila Fahri selalu mengaitkan Maria dalam kenangannya sehinggakan dia rimas untuk mendengarnya. Ini ditambah pula dengan kedatangan keluarga angkat Nurul yang mahu masuk meminang serta dengan fitnah yang dilemparkan oleh Noura kepada Fahri. Fahri ditangkap atas tuduhan memperkosa Noura.

Filem ini mencapai puncaknya dan pergolakan apabila Aisha cuba membebaskan suaminya dari penjara dan belenggu fitnah Noura. Tanpa erti penat lelah, dia dan Fahri dibantu oleh pak ciknya berusaha mencari bahan-bahan bukti untuk mengatakan bahawa Fahri tidak bersalah. Setelah sekian lama mencari, mereka beranggapan bahawa Marialah saksi utama dalam kes ini memandangkan dialah yang mendampingi Noura dalam cubaan menyelamatkannya. Maria pula telah dilanggar oleh kereta dalam satu kemalangan yang telah dirancang. Gadis malang itu berada di dalam koma akibat pendarahan yang banyak di bahagian otaknya. Demi menyelamatkan suaminya, Aisha terpaksa berkorban dengan membenarkan Fahri menikahi Maria agar dia dapat sedar semula dari koma.

Dan, Maria pun dibawa ke mahkamah untuk menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes itu. Noura terpaksa mengaku di depan hakim mengatakan bahawa dia hanya melakukan fitnah ke atas Fahri. Dia berbuat demikian kerana dendam lantaran cintanya tidak dibalas Fahri. Akhirnya, Fahri dibebaskan dan dia pun memulakan kehidupan dengan dua orang isteri di sisi. Masalah lain pula timbul. Aisha dan Maria nampak seperti tidak mampu bertolak ansur untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian daripada suami mereka. Hanya Aisha yang berusaha untuk memahami keadaan namun dia tidak berjaya menyembunyikannya. Setelah diberi kata dua dan nasihat daripada suaminya sendiri, mereka dapat bersatu dan hidup aman serta bertolak ansur.

Filem ini diakhiri dengan kematian Maria yang menanggung derita penyakit pendarahan(saya tak pasti penyakitnya kerana ia disebut di dalam bahasa Indonesia). Fahri agak sedih begitu juga dengan isteri pertamanya Aisha. Maria, gadis yang mempunyai jiwa muslimah di dalam dirinya menjadikan pemergiannya satu kerugian.

Dengan sinopsis panjang lebar saya dapat menyelami beberapa perkara di dalam filem ini. Selain daripada cinta yang berlandaskan Islam, saya dapati pemahaman masyarakat Islam terhadap masyarakat bukan Islam dengan menganggap mereka itu sama. Kita perlu ingat manusia dijadikan Allah dengan rambut yang sama(mungkin orang Amerika rambutnya berwarna perang ataupun warna lain) namun, hati mereka adalah lain-lain. Ada yang baik ada yang jahat. Mereka sedang mencari-cari sinar Islam dan cuba mengkaji apa yang terbaiknya apabila menganuti agama Islam. Pengajaran lain yang saya perolehi adalah kita hendaklah berasa cukup dengan ilmu yang kita ada. Sepandai mana pun kita sama ada di dalam ilmu agama mahupun di dalam ilmu duniawi, kita tetap manusia yang tidak sempurna. Kita hanya sempurna pada fizikalnya tapi tidak pada dalamannya.

Bagi yang belum melihat filem, cubalah dapatkannya dan hayati apa yang ingin disampaikannya. YANG BAIK KITA AMBIL DAN JADIKAN PENGAJARAN, MANAKALA MANA YANG BURUK KITA TINGGALKAN.