Tuesday, October 20, 2009

NOVEL SALINA DAN BILA NYSRAH KATA TAK MAHU

Saya diminta rakan saya di Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007, saudara Aidil Khalid untuk membaca novel ini. Fasilatator saya di MPR saya juga, abang Faisal Tehrani dan abang Saiful menyarankan saya membacanya. Jadi, setelah sekian lama tertangguh, akhirnya saya menyelongkar Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa Pustaka (DBP) untuk mencari buku ini. Kata Aidil, novel ini berkenaan cerita seorang pelacur yang dirakamkan oleh Pak Samad ketika dia muda. Novel ini adalah antara karya teragung Pak Samad dan juga antara karya terbaik di Malaysia, katanya.
Pada fikiran saya, terlintas adegan-adegan 18SX yang mungkin sedikit ditapis mengikut acuan rasa orang Melayu Malaysia. Saya meneliti setiap baris dan perenggan. Di hujung ayat novel ini, saya terfikir, tiada adegan lucah, hanya sedikit babak rogol yang melibatkan Idah, kekasih hati Hilmi (yang saya kira Pak Samad ketika usia remaja). Tapi, bukan itu yang ingin dimaksudkan oleh Pak Samad dalam cerita ini. Ia adalah realitisme ketika zaman lepasan perang yang barangkali ada persamaannya dengan lepasan merdeka. Manusia mengejar wang demi kemewahan, kekayaan dan kebahagiaan. Caranya adalah melalui jalan kotor dan agama itu di belakangkan daripada tata hidup.
Saya teringatkan pula novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu, karya Aidil Khalid. Ada cubaan untuk mengimplikasikan apa yang cuba disampaikan oleh Pak Samad tapi tidak terlalu menonjol. Watak Nysrah yang diperkosa oleh jaga sekolahnya kerana keghairahan duniawi. Bukan wang dicari, tidak seperti novel Salina, tapi kebahagiaan dunia dan memperbelakangkan kebahagiaan akhirat. Aidil pernah berkata, dalam nada berseloroh, “ Kononnya saya ‘nak ikut gaya Pak Samad dalam Salina tapi tak beberapa menjadi!”
Memang tak menjadi tapi saya rasakan usaha yang bagus. Rakan saya sukakan gaya begitu. Mungkin saya berlainan cita rasa. Namun, mesej yang ingin disampaikan oleh Pak Samad jelas di hati saya sehingga babak di mana Hilmi kembali ke Singapura, mencari kakak Salina yang sudah pun dianggap kakaknya sendiri.