Thursday, December 31, 2009

BASA-BASI DI PENGHUJUNG TAHUN 2009

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirainya malam ini. Tepat jam 12 tengah malam, tahun 2010 bakal menyusul pula. Hidup mesti diteruskan. Apa azam baru kali ini? Beberapa azam tahun ini sudah terlaksana. Mungkin tahun depan saya mahu menjadi orang yang lebih baik daripada tahun ini. Sebagai permulaan, blog saya sudah bertukar wajah. Lepas ini, mungkin novel sulung pula yang akan muncul.

Kepada hamba Allah yang sudah pun kembali ke rahmatullah pada tahun ini seperti Allahyarham Arenawati, Allahyarham Yasmin Ahmad, WS Rendra dan sebagainya, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan yang mendapat keredhaan-Nya di akhirat kelak. Amin!

Selamat Tahun Baru 2010!!

Monday, December 28, 2009

Peristiwa di depan mata

Perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki bas memang merupakan satu perjalanan yang meletihkan kerana memanggil masa selama 5 - 6 jam. Setiap orang akan cenderung memilih perjalanan pada waktu malam kerana selesa dan lebih relaks kerana tidak perlu berpanas dek sinaran matahari. Namun, tidak semua perjalanan pada waktu malam adalah satu yang menyelesakan. Peristiwa yang berlaku pada awal pagi 26 Disember 2009 dahulu merupakan sesuatu tragedi yang sukar dilupakan oleh semua pihak. Apa yang lebih mengerikan,kesan tragedi itu berlaku di depan mata saya, walaupun saya tidak melihat bagaimana kejadian itu berlaku.

Dengan perlahan-lahan, bas dua tingkat yang saya naiki bergerak melewati bsa yang rosak teruk itu. Nauzubillah!! Cermin tingkapnya pecah di sana sini. Pihak polis, pegawai perubatan, bomba dan wartawan memenuhi ruang tepi bas itu. Malam yang gelap bercahaya dengan sinar lensa kamera yang tidak putus-putus mengambil gambar setiap detik apabila beberapa orang mangsa berjaya dikeluarkan daripada bas itu. Saya cuba bayangkan apa yang berlaku apabila saya berada dalam bas yang dalam perjalanan ke Kedah dan Perlis itu? Nauzubillah!!! Al-Fatihah untuk mangsa-mangsa yang terkorban.

Tuesday, December 22, 2009

3 CERPEN UNTUK TAHUN 2009

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi. Pelbagai cerita pahit dan manis telah kita ditempuhi sepanjang tahun yang mencabar ini. Dalam dunia sastera, banyak akitviti dan peristiwa telah mewarnai dunia ini yang semakin pesat membangun menuju ke era baru. Diharapkan tahun 2010 bakal memberikan sinar baru terutamanya kepada dunia sastera Melayu yang sudah mula mendapat di hati rakyat Malaysia.
Di pihak saya pula, tidak banyak yang dapat diperkatakan untuk sumbangan saya dalam merancakkan perjalanan lapangan ini. Hanya 3 karya yang tersiar sepanjang tahun dan ketiga-tiganya tersiar pada 6 bulan pertama tahun 2009. Berikut adalah senarai karya saya yang tersiar untuk tahun 2009:

1) Cerpen Angin Damai Mecindia – Majalah Tunas Cipta Edisi Februari 2009
2) Cerpen Hak vs Batil – Akhbar Berita Harian Bertarikh 21 Mac 2009
3) Cerpen Alif dan Spiderman - Majalah E@siswa Edisi Jun 2009

Walaupun tidak banyak, tapi saya sudah mencapai sasaran saya untuk melebihi kuantiti 2 karya yang tersiar seperti yang lakukan pada tahun 2008. Azam saya pada tahun 2010 adalah untuk mencapai sasaran 5 karya tersiar di dalam apa jua media cetak dan elektronik. Kejayaan karya saya menembusi akhbar Berita Harian pada tahun 2009 cukup membanggakan kerana ini merupakan kali pertama saya berbuat demikian. Akhir kata, selamat tahun baru 2010.

Saturday, December 19, 2009

BUKU UNTUK TAHUN 2009




Menurut statistik, purata rakyat Malaysia membaca adalah 2 buah buku setahun. Statistik yang ditunjukkan agak menjengkelkan bunyinya. Dan apabila ditafsirkan dalam bentuk ayat yang mudah difahami, “Malasnya rakyat Malaysia membaca!”
Benarkah begitu? Adakah kajian hanya dibuat ke atas responden yang tidak sepatutnya? Seperti membuat kajian secara rawak ke atas orang ramai yang lalu-lalang di pasaraya, ataupun di kaki lima. Mungkin begitu? Kenapa tidak memasuki pusat-pusat pengajian tinggi? Bukankah banyak responden yang boleh dibuat soal selidik di situ dan hasilnya mungkin lebih baik!
Apa pun keputusan statistik yang dibuat, fenomena ini tidak memberi kepada tabiat membaca saya. Sehingga ke hari ini, saya rasa lebih kurang 25 buah buku telah saya baca sepanjang tahun 2009. Ada peningkatan berbanding tahun lepas. Di bawah ini, saya sertakan senarai buku yang telah saya baca berdasarkan penerbit dan penulisnya,

Dewan Bahasa dan Pustaka
1) Bedar Sukma Bisu – Faisal Tehrani
2) Manuklon – Dr. Rahmat Haroun Hashim
3) Fitrah Kimiawi – Dr. Rahmat Haroun Hashim
4) Panggil Aku Melaju – Dr. Rahmat Haroun Hashim
5) Salina – Sasterawan Negara A. Samad Said
6) Kumpulan Drama Tamu Di Bukit Kenny – Sasterawan Negara Usman Awang
7) Sakura Mengorak Kelopak – Sasterawan Negara Arenawati
8) Lingkaran – Sasterawan Negara Arenawati
9) Kumpulan Cerpen – Azizi Hj Abdullah
10) Kumpulan Cerpen Seorang Tua dan Kerusi – Saifulizyan Yahaya

Penerbitan PTS
1) Hidayah Cinta – Ilham Hamdani
2) Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain – Afareez Abd Razak

Penerbitan Jemari Seni
1) Labyrinth – Imaen
2) Sigaraning – Imaen

Penerbitan Utusan
1) 1515 – Faisal Tehrani
2) Kembara Amira –
3) Kawin – Kawin – Azizi Hj. Abdullah

Penerbitan Alaf 21
1) Tuk Cai – Azizi Hj. Abdullah
2) Hatiku di Harajuku – Ramlee Awang Murshid
3) Cinta Sang Ratu – Ramlee Awang Murshid
4) Hijab Sang Pencinta – Ramlee Awang Murshid

Penerbitan Aberdeen
1) Tuhan Manusia – Faisal Tehrani

Ameen Books
1) Ketupat Cinta – Faisal Tehrani

Penerbitan Galeri Ilmu
1) Janji Miftahul Raudhah – Sayidah Muizzah Kamarul Shukri

Nampak masih sikit. Saya harap dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan pada tahun
Hadapan. Mungkin mencapai angka 30. Insya allah!

20 Tahun Menanti



Pada mulanya skuad ini tidak diberikan harapan untuk melangkah jauh dalam Sukan SEA Kali ke 25 di Ventiane, Laos. Mereka hanya mensasarkan layak ke pusingan separuh akhir daripada kumpulan sukar yang dianggotai pemenang pingat emas 8 kali berturut-turut, Thailand, pasukan yang memenangi Piala AFF Suzuki, Vietnam selain pasukan kerdil seperti Timor Leste dan Kemboja. Keadaan menjadi bertambah tenat setelah skuad anak didik K.Rajagopal kecundang di tangan Vietnam, 1 – 3 ketika peringkat kumpulan setelah beraksi cemerlang membelasah Timor Leste 11 – 0 pada aksi sebelumnya.
Beraksi dalam suasana tertekan mereka membenam Kemboja dengan jaringan 4 – 0 dan berdepan dengan Thailand dalam perlawanan hidup mati mereka. Dengan semangat juang yang tinggi dan berbekalkan kenangan pahit 2 kali kecewa di Thailand ketika Sukan SEA 2007 dan Piala AFF Suzuki 2008, mereka bangkit mencipta 2 gol untuk menang walaupun ketinggalan pada mulanya. Kemenangan itu mencalarkan ego Thailand yang tidak pernah tidak layak ke peringkat separuh akhir. Malaysia melangkah ke perlawanan separuh akhir menentang tuan rumah , Laos.
Sejarah mungkin tidak berulang jikalau ia diambil iktibar. Kekalahan memalukan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan dalam aksi Sukan SEA 1997 di Jakarta dahulu kepada Laos menjadi azimat kepada anak muda Malaysia untuk bermain baik dan tidak memandang enteng pihak lawan. Badrol Bakhtiar meledak 2 gol sambil Safiq Rahim mencatatkan nama sebagai penjaring untuk Malaysia menang 3 – 1 dan layak ke perlawanan akhir buat pertama kali semenjak Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
Pasukan bola sepak Malaysia tidak diletakkan sebagai pilihan untuk menggondol pingat emas untuk kejohanan kali ini. Vietnam yang mempunyai rekod yang baik ketika bertemu Malaysia dilihat mampu untuk menggapai emas pertama mereka dalam Sukan SEA setelah menyertai semula kejohanan dwitahunan itu pada tahun 1995. Stadium utama di Kompleks Sukan Ventiane, Laos dipenuhi dengan warna merah, lambang kehadiran penyokong Vietnam.
Namun, kehadiran penonton Vietnam yang ramai tidak banyak membantu pasukan itu. Malaysia menghukum Vietnam dengan kesilapan pertahanan mereka untuk menjaringkan 1 gol, cukup untuk menamatkan penantian 20 tahun rakyat Malaysia, meraih pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.
Pasukan yang dibentuk dari tahun 2006 sudah menampakkan hasilnya apabila berjaya menjuarai Pesta Bola Merdeka pada tahun 2007. Walaupun sedikit menjunam ketika Sukan SEA di Korat dan Piala AFF Suzuki 2008 ketika di bawah bimbingan jurulatih Kelantan sekarang, B.Santhinathan, skuad muda Malaysia memperlihatkan peningkatan apabila bermain cemerlang ketika tunduk 2-3 dan 0-2 kepada Manchester United. Sekalipun tewas 1-3 kepada Uzbekistan dalam 2 perlawanan kelayakan AFC Piala Asia, mereka mempelajari banyak perkara iaitu jangan mudah menyerah kalah. Perjalanan masih belum tamat. Dan hasilnya, mereka berjaya melakukannya di Laos kali ini.
Bak kata K. Rajagopal, ini adalah permulaan. Tahun hadapan mereka perlu mengharungi pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia di Guangzhou, China, Pesta Bola Merdeka (jika dianjurkan) dan kejohanan Piala AFF. Tidak dilupa, perlawanan kelayakan Piala Asia yang berbaki satu yakni menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di tempat lawan. Mungkin peluang Malaysia sudah tertutup untuk melayakkan diri ke Qatar tapi perlawanan itu perlu diharungi untuk menentukan sama ada mereka hanya menang secara nasib di Ventiane ataupun pasukan Malaysia layak menguasai pentas Sukan SEA kali ini.
Pihak FAM perlu menetapkan sasaran baru, melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada tahun 2012, cuba beraksi sejauh mungkin dalam kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil dan layak beraksi di Piala Asia 2015 secara merit.
Sekali lagi, syabas pasukan Malaysia. Malaysia BOLEH!!