Saturday, May 22, 2010

SEMANGAT PERJUANGAN DUA NOVEL




Rata-rata kebanyakkan pelajar universiti sudah pun menerima keputusan peperiksaan semester masing-masing. Ada yang mendapat keputusan yang cemerlang, ada yang baik dan ada pula yang kurang memuaskan. Di tempat saya belajar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, pihak Jabatan Kejuruteraan Mekanik sudah pun mengeluarkan keputusan tidak rasmi dengan menampal keputusan di papan notis berhadapan dengan pejabat jabatan itu.
Alhamdulillah… Saya mencapai keputusan yang memberangsangkan walaupun tidaklah sebaik rakan-rakan lain. Rakan-rakan seperjuangan yang lain sudah pun menamatkan pengajian dengan jayanya dan hanya menunggu hari bersejarah dalam hidup mereka, Hari Konvokesyen yang dijangka dilangsungkan pada bulan Ogos nanti. Tahniah saya ucapkan pada mereka. Namun, ada juga rakan-rakan yang masih perlu meneruskan perjuangan yang belum selesai seperti saya. Hmm… perjalanan masih jauh untuk menamatkan satu tempoh pengajian yang memenatkan. Masih belum ada titik noktah lagi dalam pengembaraan saya mengejar ilmu di universiti tertua di Malaysia ini.
Apapun, bukan ini yang saya hendak bincangkan. Tetapi, dua novel lama karya Nisah Hj Haron dan Andrea Hirata ini telah menarik minat saya untuk memperkatakan isinya dalam ruangan ini. Novel Sang Pemimpi (SP) karya Andrea Hirata merupakan novel kedua setelah kemunculan Laskar Pelangi yang sukses. Seperi juga novel yang pertama, novel kedua juga telah diangkat menjadi filem di layar perak. Untuk SP. Andrea Hirata masih lagi mengekalkan watak Ikal iaitu dirinya sendiri yang berjuang untuk hidup dan meneruskan pengajian di SMA di daerah timah, Pulau Belitong. Dengan kesempitan wang, Ikal dan rakan-rakannya meneruskan cita-cita dan mimpi mereka untuk menjejakkan kaki ke University of Sorbonne di kota klasik, Paris, Perancis. Dengan bahasa yan disusun indah, Andrea meneruskan kesinambungan corak penulisan yang selektif seperti yang telah dihasilkan dalam novel Laskar Pelangi.
Apa yang membuatkan novel ini bagus, ada roh perjuangan yang cuba disampaikan atau diterbitkan setelah usai membaca novel ini. Perjuangan yang harus diteruskan walaupun dalam apa jua keadaan. Andrea telah mengajarkan pembaca bagaimana untuk berfikiran positif sambil tidak melekangkan diri daripada semangat setiakawan dan persaudaraan yang dibina bersama-sama. Saya sangat teruja untuk menghabiskan novel ini apabila melihat plot dan bahasa diadun dengan baik. Ada rasa marah, saying, benci dan sedih dapat digambarkan melalui pembacaan novel ini. Novel ini memberi keterangan bahawa setiap orang boleh bermimpi walaupun kita mungkin tidak mampu menggapainya. Tapi, mimpi itu bakal menjadi kenyataan apabila kita benar-benar berusaha dan berdoa serta bertawakal kepada Ilahi.
Novel Mencari Locus Standi (MLS), sebetulnya perlu dibaca setelah keputusan pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2003 diumumkan. Saya agak terbelakang dalam pembacaan novel kerana minat itu bercambah setelah saya usai dalam pertapaan saya dalam Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007. Sebetulnya, ini adalah novel pertama Kak Nisah yang saya baca kerana saya banyak menekuni cerpen-cerpen Kak Nisah berbanding novelnya. Apa yang menarik pada novel MLS pada saya adalah kehidupan seorang mahasiswa yang diceritakan baik oleh Kak Nisah. Semangat perjuangan dan setiakawan sesama rakan dan suasana pembelajaran di dalam universiti menarik minat saya untuk menyelesaikan novel ini walaupun isu undang-undang banyak diketengahkan di dalam novel. Kak Nisah berjaya mewujudkan konflik dan kerenah pelajar-pelajar universiti yang pelbagai ragam. Adegan tikam-menikam sesama kawan, ketegangan emosi, perjuangan membahagikan masa antara korikulum dan kokorikulum serta elemen percintaan menjadikan novel MLS amat menarik.
Ditambah pula dengan penyelongkaran adat iaitu adat Pepatih di Negeri Sembilan menjadikan novel ini mempunyai rencah yang pelbagai. Adat yang telah bertapak lama di negara kita menjadikan ia cukup unik dan wajar dipelajari. Walapun tidak diperincikan oleh Kak Nisah dalam novel ini, namun ia sedikit sebanyak memberikan maklumat berguna kepada masyarakat muda Malaysia mengenai adat yang penuh dengan kertertiban ini supaya mereka tidak menganggap, “Siapa yang kahwin dengan orang Minangkabau, habislah tak jadi kaya!”
Saya menghabiskan kedua-dua novel dalam masa sebulan. Sang Pemimpi dihabiskan setelah peperiksaan saya tamat, manakala novel Mencari Locus Standi selesai saya baca setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan. Perjuangan semakin berapi kerana saya masih ada 2 semester lagi di Universiti Malaya. Masih panjang dan masih jauh tetapi tidak mustahil untuk saya lepasi.

Monday, May 10, 2010

APABILA BAHAN PEMBELAJARAN DIJADIKAN TEMA CERPEN

Alhamdulillah! Cerpen kedua saya untuk tahun ini berjudul 'Hantu Orang' tersiar di Majalah Tunas Cipta Edisi Mei 2010. Intipati cerpen ini saya ambil daripada Perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh kaum Cina di Malaysia. Saya mendapat inspirasi daripada tajuk yang menjadi kerja khusus saya bagi subjek Hubungan Etnik di universiti. Sedikit terkilan kerana cerpen ini lambat tersiar setelah disiapkan pada tahun 2008 dan saya terpaksa menghantar ke merata media cetak sebelum berjaya dinoktahkan di Tunas Cipta. Terima kasih diucapkan kepada pihak editor Majalah Tunas Cipta kerana memilih karya ini. Tidak lupa juga kepada pendorong saya, Abang Saifullizan Yahya dan sahabat saya di MPR 2007, Aidil Khalid yang banyak memberi tunjuk ajar. Insya Allah, saya akan cuba menghasilkan karya lain pula selepas ini.