Friday, October 15, 2010

SAINS DALAM SASTERA




Dalam beberapa hari ini, saya banyak menghabiskan mengulangkaji pelajaran selain menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Bebanan tugasn dan ujian yang terpaksa dihadapi selain hujung minggu saya dipenuhi dengan urusan kerja demi mencari nafkah untuk diri – sendiri. Memang cukup mendera jiwa.

Namun, saya cuba juga mencuri-curi masa untuk meneliti beberapa buah novel berunsurkan sains yang ditulis oleh seorang penulis muda dan seorang lagi penulis yang cukup berpengalaman dalam dunia sastera. Tidak dapat dinafikan, novel-novel berunsurkan sains agak kurang di pasaran Malaysia sekarang. Namun, peningkatan itu masih berlaku walaupun tidak terlalu ketara. Beberapa buah penulis seringkali dikaitkan dengan penulisan novel berunsurkan sains ataupun lebih dikenali sebagai sai-fai seperti Dr. Rahmat Haroun Hashim, Ahmad Patria Abdullah dan juga penulis angkatan baru seperti Firdaus Ariff, Fadhli Al-Akiti dan sebagainya.
Apabila dilihat dari sudut penerapan unsur-unsur sains dalam karya sastera, tidak banyak karya-karya sai-fai Malaysia yang mengambil aspek itu dalam penghasilannya. Dr. Rahmat Haroun Hashim dan juga Faisal Tehrani adalah antara penulis yang giat menerapkan unsur sains secara konsisten dalam karya mereka. Sebagai contoh, karya-karya Dr. Rahmat Haroun Hashim yang bermula dari novel Di.Ar.Ti, Manuklon, Fitrah Kimiawi sehingga ke Panggil Aku Melaju, penulis menerapkan pelbagai displin ilmu yang melibatkan hukum sains seperti ilmu kimia, fizik, perubatan, kejuruteraan dan juga ilmu forensik.
Karya-karya Faisal Tehrani seperti novel Detektif Indigo, Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson dan Detektif Kembali menggunakan unsur forensik secara total dan jika anda membacanya, anda seperti menonton siri televisyen Crime Scene Investigation (CSI).
Pengolahan cerita disamping memasukkan aspek ilmu dalam novel telah menarik minat saya membaca dalam waktu singkat kerana saya agak susah menghabiskan sesuatu novel dalam sehari kerana beberapa komitmen lain yang terpaksa dipenuhi.
Jika kita melangkaui batas sepadan ke Negara sebarang, saya mungkin tidak banyak membaca novel-novel dari Indonesia. Namun, saya mengesan karya-karya Andrea Hirata seperti Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor turut mengadunkan pelbagai ilmu dalam bidang sains untuk memeriahkan lagi karyanya dan menjadikan ia cukup menarik. Saya masih belum lagi menyentuh novel keempat penulis tersebut iaitu, Maryamah Karpov. Mungkin penulis juga akan turut menyentuh beberapa aspek sains dalam karya itu.
Terbaru, saya baru saja habis menguliti karya penulis baru iaitu novel Gerhana yang ditulis secara bersama oleh M.F Kencana dan Nissa Yusof. Kedua-dua penulis ini cuba mengungkapkan unsur sains dalam karya mereka sambil ditambah dengan pelbagai unsur fiksyen sains pada masa depan. Menggunakan fenomena Gerhana Anulus ataupun Gerhana Cincin, penulis juga menaratifkan fenomena lohong hitam yang selalu dikatakan sebagai laluan untuk ke masa depan dan ke masa silam.
Secara dasarnya, novel ini berjaya memasukkan unsur-unsur sains secara baik dalam karya, namun ada beberapa tempat yang tidak perlu dimasukkan unsur-unsur tersebut seperti pada permulaan bab kerana kemasukkan terlalu banyak elemen ilmu pada mukadimah sedikit mematikan mood pembaca untuk membaca sesebuah karya. Apapun saya mengucapkan syabas dengan penghasilan karya ini dan berharap akan ada novel sebegini di masa hadapan.