Sunday, April 26, 2009

LAGI DI PBAKL 2009





Di sini saya sertakan sekali beberapa gambar yang sempat saya rakamkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Saya sempat mengambil gambar dengan penulis novel Julia, Natasya dan Cinta Madinah yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sekitar tahun 90-an yang juga merangkap tuan punya Galeri Ilmu Sdn. Bhd(GISB), Cikgu Abu Hassan Morad. Di gerai GISB juga, saya sempat merakamkan foto bersama-sama dengan 2 rakan seperjuangan saya di MPR, Aidil Khalid dan Eja. Tahniah sekali lagi kepada Eja dengan pelancaran Janji Miftahul Raudhah. Terima kasih kepada suadara Hafiz, mantan MPR 2002 yang sudi mengambil gambar ini.

Selain itu juga, saya menjengah sebentar di gerai Jemari Seni (JS), dan sempat pula dengan salah seorang penulis novel Labyrinth, saudara Imaen (maaf gambar tidak sempat diambil). Imaen juga memberi sedikit tunjuk ajar kepada saya bagaimana untuk menghasilkan sebuah novel yang bagus. Terima kasih diucapkan.

Sunday, April 19, 2009

MENJENGAH PESTA BUKU ANTARABANGSA








Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur kembali lagi. Bermula daripada 17 April lalu, ternyata pesta buku kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ke hari. Saya mengambil kesempatan yang ada berkunjung ke pesta itu, ketika hari pembukaan serta hari kedua. Hasilnya 7 buah buku menjadi milik diri. Novel penulis thriller nombor 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, menjadi pilihan ketika saya berkunjung di booth Alaf 21. Setelah asyik membelek Bagaikan Puteri 2 tahun dulu, ia tidak lengkap apabila tidak memperolehi jawapan kepada apa yang berlaku kepada Laksamana Sunan. Jadi, novel Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta menjadi pilihan selain novel Hatiku Di Harajuku menjadi koleksi.

Pada hari yang sama, saya berkunjung ke gerai PTS Publisher. Banyak buku-buku baru yang dijual namun saya hanya mencari sebuah buku non fiksyen. Buku karya Afareez Abd Razak al-Hafiz yang mencetuskan fenomena baru dalam dunia penulisan tanah air. Buku berjudul Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain menjadi jualan best seller setakat ini dan menjadi TOP 5 di dua buah kedai buku iaitu Popular dan MPH. Untuk hari pertama, 4 buah buku berjaya disebat. Esoknya, saya meneruskan lagi jelajah saya di dalam telaga ilmu ini.

Hari Sabtu di Pesta Buku Antarabangsa merupakan saat yang paling merimaskan. Berbekalkan pengalaman ketika berkunjung ke pesta yang sama tahun lepas, ternyata keadaannya tidak banyak berbeza. Orang ramai benar-benar memenuhi setiap yang ada dalam dewan itu. Apapun ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mendapatkan 3 buah novel lagi pada hari itu. 2 buah novel Faisal Tehrani, Bedar Sukma Rindu dan Ketupat Cinta dikaut tapi bukan dicuri di gerai Ameen Publishing dan Dewan Bahasa dan Pustaka selain saya sempat menemui penulisnya sendiri di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Novel Bedar Sukma Rindu telah dialih bahasakan ke bahasa Inggeris oleh pihak ITNM.

Namun, apa yang istimewanya pada hari itu, saya dapat menyokong rakan seperjuangan saya di MPR 2007, saudari Sayidah Muizzah Kamarul Shukri (Eja) yang melancarkan novel sulungnya bertajuk Janji Mithaful Raudhah terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Sambil ditemani beberapa rakan saya, Aidil Khalid (MPR 2007) dan Muhammad Hafiz (MPR 2002) walaupun tampak ringkas pelancaran novel Eja tetap menarik. Syabas diucapkan.

Di hati ini, masih lagi mahu mendapatkan beberapa buah novel namun kekurangan dari segi dana yang membantut seketika hasrat itu. Namun, Pesta Buku masih belum berakhir. Kalau ada rezeki, mungkin akan kembali menjengah sebelum 26 April ini.

Tuesday, April 14, 2009

AF = MPR




Panas sekarang. Suhu persekitaran sekarang mencatat bacaan 36 darjah celcius. Wow, betul ke? Nampak gaya pemanasan global semakin teruk sekarang. Lapisan ozon semakin menipis. Pengawalan CFC terus giat dijalankan. Harap-harap keadaan tidak berpanjangan walaupun mendung tak semestinya hujan.

Bukan cerita pemanasan global yang nak diutarakan. Tapi, kisah demam baru yang semakin meninggi tahap kepanasannya (walhal tak lah panas pun).

DEMAM AF!!!!!!

Sehingga entri ini dimasukkan, sehingga saya sudah 5 orang pelajar sudah disingkirkan. Yang terakhir bernama Rubisa. Walaupun, rancangan realiti televisyen ini tidaklah menambat sangat di hati ini, tapi apabila emak, kakak dan adik 'dah menekan saluran 104 Astro pada hari Sabtu pukul 9 malam, terpaksalah melayan walaupun hati geram bilalah boleh layan Arsenal atau mana-mana kuasa besar, Big FourLiga Perdana Inggeris@ EPL dapat beraksi di kaca televisyen. Alih-alih layan juga AF ni.

Apabila melihat AF ni, terkenang pula pada satu program yang dianjurkan dalam bidang sastera, Minggu Penulis Remaja atau ringkasnya MPR. Memang program ini tidaklah segah AF kerana hanya diketahui oleh segelintir peminat sastera. Namun dengan usianya menjangkau 23 tahun, ternyata bukan calang-calang program ini dianjurkan ( lagi 2 tahun untuk menyamai taun kelahiran TV3 ).

Seperti AF, mereka ada nama-nama yang telah menempatkan diri dalam pelbagai anugerah dalam dunia hiburan tanah air seperti Mawi, Adam, Stacy, Mila, dan Zahid
( sekadar menyebut beberapa nama ). Saban tahun ada saja produk daripada rancangan realiti televisyen ini menembusi Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM) dan juga yang terbaru Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Ternyata visi asal program ini untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia hiburan tercapai matlamatnya. Bukan nak menyokong atau menentang, tapi itulah hakikatnya berdasarkan fakta.

Tidak kurang juga dengan kelibat peserta-peserta MPR. Walaupun tidaklah segah seperti AF namun nama seperti Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, dan Salina Ibrahim ( sekadar menyebut beberapa nama ) berjaya memberikan impak yang berkesan dalam mewarnai dunia sastera yang semakin terhimpit ini. Bakat-bakat lain yang masih dalam pembikinan seperti Nasriah Abdul Salam, Zulfazlan Jumrah, Aidil Khalid dan Fahd Rady mungkin bakal memberikan sokongan kepada barisan senior yang ada sekarang.

Namunbegitu, diri ini sering terfikir. kenapa tidaknya program seperti AF itu dapat dianjurkan. Mungkin agak janggal tapi kita dapat melihat banyak program-program yang tiada kaitan dengan dunia nyanyian dianjurkan seperi Ameirican Next Top Model, Hell Kitchen, Project Runaway dan So You Think You Can Dance berjaya walaupun tidaklah sehebat program realiti bagi genre nyanyian. Mungkin agak sukar untuk mendapatkan tajaan ataupun sokongan daripada pihak televisyen, tetapi kita perlu sedar bidang sastera juga adalah sebahagian cabang seni. Apabila menjadi salah satu cabang seni, maka secara automatisnya, penggiat sastera adalah penghibur.

Bukan mencari nama ataupun sebalikny, hanya sekadar mahu me'mampang'kan pada masyarakat, inilah sastera yang mampu membentuk jiwa dan memberi roh kepada jati diri manusia berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi,

Sampaikan walaupun sepotong ayat.

Hanya sekadar memberikan pendapat. Bak kata Nabil, Lu Fikir La Sendiri!!!

Thursday, February 12, 2009

ANTARA 3 CERPEN


Orang kata penantian itu adalah penyeksaan. Orang cakap lah! Tapi, penantian itu jugalah yang membuatkan kita lebih berfikir dan memberi ruang untuk memperbaharui apa saja kesilapan yang timbul.Menantikan kemunculan semula sebuah karya dalam arus media cetak selama 10 BULAN memang satu menyeksakan. Tapi, syukur kepada hadirat Illahi, penantian itu akhirnya berbaloi bagi saya. Cerpen ' ANGIN DAMAI MECINDIA ' tersiar dalam TUNAS CIPTA edisi FEBRUARI 2009 membawakan persoalan perpaduan dan perebutan kuasa untuk menaiki takhta di Mecindia, sebuah negara fantasi yang terbit daripada fikiran saya sendiri. Ilham untuk penghasilan cerpen ini hadir ketika saya berumur 17 tahun, yakni keinginan saya untuk menyertai SAYEMBARA CERPEN REMAJA PERPADUAN anjuran Kementerian Perpaduan dan Masyarakat pada ketika itu dengan membawa kelainan dari segi fantasi.

Namun, idea itu berkubur dan setelah 5 tahun, cerpen itu dihasilkan semula setelah menperbaiki segala kelemahan pada draf cerpen yang lama. Mungkin kebanyakkan pembaca tertanya-tanya apakah MECINDIA itu. Mecindia adalah gabungan nama 3 suku kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Tapi, tidak ada pula nama-nama suku kaum ini dalam cerpen saya! Kenapa?

Ok! Jika diperhatikan semula pada cerpen tersebut, ada beberapa perkataan yang agak janggal didengar. Contohnya seperti Mare, Chogoku dan Indo. Ketiga-tiga perkataan itu adalah dari bahasa Jepun yang memberi maksud sama dengan suku-suku kaum di Malaysia, Mare=Melayu, Chogoku = Cina dan Indo = India.

Jadi, jika diperhatikan kepada 2 buah cerpen saya yang tersiar dahulu: LEMBING SPARTA dan MISI 2050, nampak saya seperti cenderung kepada karya Sains Fiksyen dan Fantasi. Kebanyakkan teknik dan pengolahan cerpen-cerpen yang ditulis itu cenderung pula kepada karya-karya yang dihasilkan oleh Nisah Hj Haron seperti ANNYSS SOPHILEA dan ATLANTIS DUNIAKU DUNIAMU dan juga tempias-tempias daripada karya DR.RAHMAT HAROUN serta FAISAL TEHRANI melalui karya MANUKLON dan 1511H:KOMBAT! Itu pada anggapan saya sebagai penulis sendiri cerpen-cerpen itu. Apapun pembaca mempunyai pandangan sendiri dan saya mengalu-alukan pandangan tersebut.

Antara 3 cerpen itu, ada kekuatan, ada kelemahan dan ada sesuatu yang ingin saya sampaikan. Jya Mata Ne!

Friday, November 7, 2008

KEMBALI

Kenapa saya ‘dah lama tak update blog saya. Hmm... Ada 3 jawapan.

(1) Sibuk dengan tugasan dan peperiksaan
(2) Tiada idea ataupun perkara untuk dikongsikan
(3) Malas

Sekarang atau semalam saya baru menghadapi kertas peperiksaan pertama saya. Ada lagi 4 subjek lagi, dan saya sudah tidak sabar menunggu kertas peperiksaan terakhir. Tentulah seronok apabila menantikan apabila pengawas peperiksaan berkata, “ Masa sudah tamat! Sila letakkan pen atau pensel anda! Kertas akan dikutip dan anda tidak dibenarkan keluar dan membuat bising!”
Ada pelbagai reaksi setelah mendengar perkataan ini;
(1) “ Yeah, merdeka jua akhirnya!”
(2) “ Ah, sudah! Banyak lagi aku tak jawab!”
(3) “ Tawakal je la!”

Bagi saya, apabila berakhirnya peperiksaan, maka peluang saya untuk menulis adalah cerah. Menulis adalah sesuatu yang dinantikan apabila ada masa. Peluang untuk saya melepaskan segala tekanan dan perasaan pada sehelai kertas (jikalau guna komputer, peluang melepaskan apa saja pada keyboard).

Hai, masih ada lagi subjek yang belum selesai.

Monday, August 25, 2008

RAMADHAN SEMAKIN MENJELMA

Lusa mengundi. Harga minyak dah pun turun walaupun tak banyak. Sukan Olimpik pun dah habis. Musim bola sepak Inggeris dah kembali semula. Ahad depan sambut merdeka. Esoknya puasa. Eh, dah puasa! Cepat betul dah puasa. Setahun berlalu, akhirnya Ramadhan kembali semula. Peluang untuk meningkatkan ibadah hadir semula. Apa azam baru kita? 'Nak puasa penuh bagi cukup sebulan? 'Nak kurangkan belanja masa bulan puasa dengan berbuka di masjid-masjid? Ataupun tak nak tinggalkan solat Terawikh seperti tahun lepas? Walau apapun nawaitu ataupun niatnya, kehadiran bulan Ramadhan itu tetap memberi pelbagai cerita kepada seluruh umat Islam yang menghayatinya.

Bulan Ramadhan berasal daripada perkataan Ramad yang bermaksud panas. Bulan Ramadhan bulan yang panas. Panas dari cuacanya ataupun iklimnya. Tapi, melihat kepada keadaan di Kuala Lumpur sehari dua ini, mungkin keadaan Ramad itu tidak akan terjadi kerana Kuala Lumpur dilimpahi hujan lebat sejak akhir-akhir ini. Namun, itu cuma ramalan kerana Allah itu Maha Besar. Diharapkan kedatangan bulan Ramadhan ini memberi rahmat kepada semua umat Islam dan perbanyakkanlah amalan agar tidak rugi di kemudian hari.

Tuesday, August 5, 2008

PELANGI, KAMI INGIN KE SANA


Membicarakan karya pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan(HSKU) bagi tahun 2005 ini bukanlah kerja saya namun sebagai pembaca saya turut berhak untuk memberi penilaian sama ada cerpen-cerpen yang diangkat sebagai pemenang itu berjaya memberi kesan kepada saya ataupun tidak.

Melalui pembacaan saya dalam antologi pemenang karya cerpen remaja dalam antologi Pelangi, Kami Ingin Ke Sana ada unsur kemasyarakatan yang cuba ditonjolkan oleh beberapa buah cerpen daripada 10 buah cerpen yang terpilih untuk menerima hadiah. Namun yang lebih memberi kesan adalah karya tiga buah cerpen yang menerima hadiah utama iaitu cerpen Pelangi, Kami ingin Ke Sana, Kampung Hati Ayah dan Dia Berikan Tangannya.

Pelangi, kami Ingin Ke Sana karya Ariff Mohamad megutarakan kisah pilu seorang anak kecil yang terpaksa hidup merana lantaran penangan Tsunami yang melanda Aceh pada lewat tahun 2004. Cerita ini digarap dengan penghasilan watak Defi, yang digambarkan sebagai guru untuk mengajar anak-anak malang di Aceh ilmu tulis dan baca. Bagaimana keadaan yang terdesak dan kekurangan itu membuatkan Defi cekal dan teguh hati memberikan ilmu yang bermanfaat kepada puluhan anak-anak Aceh yang hilang tempat bergantung. Dalam kembaranya, dia menemui Marlina yang kehilangan kedua-dua orang tuanya akibat diragut oleh ombak besar Tsunami. Defi mendekati Marlina dalam pengajarannya dan dia memahami bahawa gadis kecil ini amat dahagakan kasih sayang sehingga seringkali merindui kedua orang tuanya.

Perjalanan ceritanya lancar dan bernada melankolik, nada sedih bagaimana kehidupan perlu diteruskan dengan hidup serba kekurangan. Cerpen di akhiri dengan pilihan ‘kematian’ yang cuba dipilih oleh watak Defi sambil menggunakan simbol pelangi yang nampak indah tapi jauh untuk digapai.

Cerpen Kampung Hati Ayah karya Ummu Hani Abu Hassan menyingkap persoalan tentang kehidupan masyarakat Melayu di desa. Sebaik sahaja saya membaca cerpen ini, saya mendapat kesan yang mendalam terutama dari sudut latar tempat yang digunakan. Penulis menggunakan Pekan Napo di Changloon, sebuah pekan kecil yang terletak di ceruk bukit-bukau di utara negeri Jelapang Padi, negeri Kedah. Pekan kecil yang mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan dari Bandaraya Alor Setar penuh warna-warna desa dan dipenuhi dengan ladang getah dan kebuh buah-buahan sama ada durian, manggis mahupun langsat.

Saya dapat merasakan suasananya kerana saya pernah ke sana, pernah melalui jalan-jalannya yang bersimpang siur. Penulis menggarapkan cerita seorang gadis yang membantu ayahnya mengusahakan kebun buah-buahan semenjak dari kecil lagi. Kegigihan yang ditonjolkan oleh ayahnya ini untuk menjalankan ladangnya membuatkan si anak turut berusaha gigih tanpa erti penat lelah. Berkat usaha anak beranak itu, si anak mampu melanjutkan pelajaran ke menara gading tanpa perlu membuat pinjaman kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan sama ada JPA, MARA mahupun PTPTN.

Saya terkesan daripada cerpen ini apabila kita bijak merancang kewangan kita, ia mampu membantu kita bila kita dewasa kelak. Perancangan yang sempurna ini ditonjolkan oleh watak ayah yang bijak merancang kewangan keluarga sehingga si anak hanya menggunakan yang dikumpulkan oleh ayahnya sejak dari kecil lagi. selain, persoalan agama turut ditimbulkan apabila si ayah turut tidak melupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan seperti yang diungkapkan oleh ayah:

“ Ayah takut hampa kejar benda lain tapi rukun Islam tak sempurna. Ini saja niat ayah sebelum ayah tutup mata”

Niat seorang ayah yang tidak mahu anak-anaknya mengejar dunia lebih daripada akhirat. Ini juga berdasarkan firman Allah dalam al-Quran melalui surah Hud ayat 15:

‘ Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan’

Begitu pula sambungannya dalam ayat yang ke 16:

Itulah orang-orang yang tidak memperolehi (sesuatu) di akhirat kecuali neraka , dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang mereka kerjakan.’

Dengan kelancaran cerita yang menarik berserta penggunaan bahasa yang teratur ditambah perkataan-perkataan loghat Utara, cerpen wajib dibaca dan dihayati.