Monday, May 10, 2010
APABILA BAHAN PEMBELAJARAN DIJADIKAN TEMA CERPEN
Alhamdulillah! Cerpen kedua saya untuk tahun ini berjudul 'Hantu Orang' tersiar di Majalah Tunas Cipta Edisi Mei 2010. Intipati cerpen ini saya ambil daripada Perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh kaum Cina di Malaysia. Saya mendapat inspirasi daripada tajuk yang menjadi kerja khusus saya bagi subjek Hubungan Etnik di universiti. Sedikit terkilan kerana cerpen ini lambat tersiar setelah disiapkan pada tahun 2008 dan saya terpaksa menghantar ke merata media cetak sebelum berjaya dinoktahkan di Tunas Cipta. Terima kasih diucapkan kepada pihak editor Majalah Tunas Cipta kerana memilih karya ini. Tidak lupa juga kepada pendorong saya, Abang Saifullizan Yahya dan sahabat saya di MPR 2007, Aidil Khalid yang banyak memberi tunjuk ajar. Insya Allah, saya akan cuba menghasilkan karya lain pula selepas ini.
Thursday, March 25, 2010
BUKU-BUKU DARI PESTA BUKU ANTARABANGSA 2010
Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya pasti akan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Untuk tahun ini, saya mengunjungi lagi. Untuk tahun ini saya memperuntukkan hampir RM200 untuk membeli bahan bacaan, lebih Rm50 lagi berbanding tahun sudah. Saya masih lagi teringin untuk mendapatkan beberapa buah buku tapi setakat itu saja yang saya mampu dengan kekangan ekonomi sebagai seorang pelajar. Insya allah, pada tahun depan mungkin saya berpeluang untuk mendapatkan lebih buku berbanding tahun ini.
Senarai buku dibeli:
1) Mencari Locus Standi - Nisah Hj Haron
2) Tawarikh Cinta - Nisah Hj Haron
3) Sang Pemimpi - Andrea Hirata
4) Edensor - Andrea Hirata
5) Maryamah Karpov - Andrea Hirata
6) Bahlut - Faisal Tehrani
7) Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani
8) Punya Cinta Ramadan - Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
9) Ungu Karmila - Ramlee Awang Murshid
10) Mikhail - Ramlee Awang Murshid
11) 9 Nyawa - Ramlee Awang Murshid
Sunday, March 14, 2010
MENJELANG PESTA BUKU

Ini merupakan tahun keempat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan diadakan dan ini merupakan tahun ketiga saya menjengah ke pesta setahun sekali ini. Bagi orang yang obses kepada buku seperti saya, pesta ini merupakan peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk mendapatkan buku-buku dalam kadar harga yang murah. Jika pada tahun lepas saya sudah menghabiskan dalam lingkungan RM150 dengan membeli 10 buah buku, mungkin pada tahun ini akan sedikit berkurang. Tetapi, ia tetap bergantung kepada rezeki yang akan saya terima. Mungkin rezeki itu akan datang lambat ataupun cepat.
Untuk tips membeli, digalakkan kita mengunjungi pesta pada hari-hari Isnin hingga Jumaat kerana dalam pengalaman saya untuk 2 tahun sebelum, mengunjungi pesta ini pada hari cuti hujung minggu adalah satu yang menyeksakan dengan bilangan pengunjung yang boleh mencecah 100 000 orang! Tetapi, kadang-kadang kita terpaksa berkunjung pada hari cuti minggu memandangkan banyak program seperti pelancaran buku, sesi bertemu penulis dilangsungkan pada 2 hari tersebut. Jadi, fikir-fikirlah dan tidak rugi jika menjenguk ke pesta ini.
Saturday, February 6, 2010
Dia Seorang Geisha, Mukadimah Tahun 2010
Sunday, January 31, 2010
RANGKUMAN PERISTIWA JANUARI 2010

Diam tak diam, tahun 2010 sudah pun memasuki bulan keduanya. Sepanjang 31 hari pertama untuk tahun 2010, pelbagai cerita suka dan duka berlaku di sekeliling kita sama ada di dalam negara mahupun secara global. Setiap peristiwa yang berlaku itu apabila direnungkan secara mendalam memberikan kita satu kelainan perasaan dan juga petunjuk yang bakal menyedarkan kita untuk mencari keredhaan-Nya.
Tahun 2010 dimulakan dengan isu kalimah Allah yang mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah negara itu untuk digunakan oleh pihak Kristian Malaysia dalam penerbitan majalah mereka. Namun, keputusan daripada pihak mahkamah itu mendapat tentangan hebat daripada seluruh rakyat Islam Malaysia. Rakyat Islam di negara ini bersatu dan mendesak pihak kerajaan mengemukakan rayuan untuk membatalkan kebenaran yang telah diberikan oleh pihak mahkamah kepada pihak gereja Kristian. Isu tersebut telah menimbulkan banyak polemik dan negara sedikit terganggu dengan insiden-insiden pembakaran beberapa buah gereja di sekitar Lembah Klang dan pembakaran sebuah surau di Johor.
Tidak cukup dengan itu, isu ini diburukkan lagi dengan insiden baling batu dan baling kepala babi ke arah masjid di Klang. Insiden-insiden ini sedikit sebanyak menimbulkan perasaan sangsi sesama kaum dan boleh mencetuskan sesuatu yang tidak diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Pihak polis masih menjalankan siasatan dan mungkin keadaan ini akan reda tidak lama lagi.
Dunia terus dihantui dengan peristiwa gempa bumi. Setelah kepulauan Fiji dan Tahiti diharung tsunami dek gempa bumi bawah laut, sebuah kepulauan kecil di Amerika Utara, Haiti menerima nasib yang sama. Satu gempa bumi berskala 7.0 Richer melanda negara itu pada 12 Januari 2010. Beribu-ribu orang terkorban dan banyak bangunan musnah. Haiti menjadi seperti padang jarak padang terkukur. Jenayah menjadi semakin berleluasa dengan kecurian dan pembunuhan dilaporkan setiap hari dalam cabaran rakyatnya untuk mencari bekalan makanan setelah bantuan lambat tiba. Dunia seakan-akan terkejut dan berasa kesedihan sambil masing-masing berfikir, apakah kejadian ini akan berterusan? Siapakah pula yang akan menjadi mangsa gempa bumi yang seterusnya?
Rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor menerima satu berita sedih apabila Sultan Johor keempat, Almarhum Tuanku Iskandar mangkat pada 22 Januari 2010. Tuanku sultan yang sudah lama gering, digantikan oleh anakandanya, Tuanku Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima. Rakyat negeri Johor berada di dalam berkabung selama seminggu bagi memperingati jasa almarhum sultan yang pernah menjadi satu-satunya sultan memberikan khutbah ketika solat Jumaat. Semoga roh almarhum tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam golongan yang diredhai Allah.
Dunia sastera diwarnai dengan penyampaian anugerah iaitu Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 dan 2006/2007 yang diadakan pada 18 Januari 2010 bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. HSPM merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menaikkan nama beberapa orang tokoh sastera seperti Sasterawan Negara, Prof Dr. A. Samad Said, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Negara Dr. S.Othman Kelantan (sekadar menyebut beberapa nama). Untuk kali ini, kehadiran beberapa orang penulis generasi baru yang berjaya menempatkan diri di dalam kelompok penerima hadiah seperti Faisal Tehrani, Nisah Hj Haron, Fudzail dan Ilham Hamdani (sekadar menyebut beberapa nama) sedikit sebanyak telah memberi petanda bahawa dunia kesusasteraan masih relevan di sepanjang zaman.
Mungkin pada masa-masa akan datang, penulis-penulis generasi Alaf Baru seperti Aidil Khalid, Nasriah Abdul Salam, Zulfazlan Jumrah dan Ghafirah Idris (sekadar menyebut beberapa nama) bakal menempatkan diri dalam golongan penulis mapan ini. Diharapkan untuk sesi hadiah 2008/2009 nanti dapat disampaikan pada tahun ini, bukannya tiga atau lima tahun selepas pertandingan itu berakhir.
Inilah sedikit sebanyak lembaran pada permulaan tahun 2010. Mungkin untuk bulan kedua ini, pelbagai lagi peristiwa akan berlaku yang bakal memberikan kesan dan akibat kepada seluruh jagat dunia ini. Semoga perjalanan kita untuk menuju ke penghujung tahun 2010 diredhai oleh-Nya.
Sunday, January 17, 2010
TRAGEDI 17 JANUARI

Mungkin ramai tidak mengetahui apa yang berlaku pada tarikh ini? Ya, memang ramai yang tidak akan mengetahui kerana peristiwa ini tidak berlaku di negara kita. Peristiwa menyayat hati telah menghancurkan ketamadunan teknologi oleh kuasa alam yang dimiliki oleh Yang Maha Esa. Kesan daripada tragedi ini telah membangkitkan semangat penduduk negara ini untuk terus berjaya dalam bidang sains dan teknologi.
Kobe dilanda gempa pada 17 Januari 1995. Sudah 15 tahun peristiwa itu berlalu namun ia menjadi satu kenangan yang paling pahit tidak dapat dilupakan oleh penduduk Jepun amnya, dan penduduk-penduduk Kobe khususnya. Gempa yang mencatatkan 6.8 skala Richer ini telah mengorbankan hampir 6500 orang dan lebih kurang 4600 adalah penduduk asal Kobe.
Negara Jepun mengalami kelumpuhan pada hari itu. Bantuan segera disalurkan kepada penduduk malang ini. Banyak bangunan dan jalan raya musnah teruk dek amukan gempa yang datang tanpa diundang.
Namun, ada sesuatu keajaiban telah berlaku. Ada beberapa buah bangunan tidak runtuh atau ranap ketika kejadian berlaku Salah satunya adalah Masjid Kobe, sebuah masjid yang berkapasiti kecil tidak menjadi mangsa dalam runtuhan yang berlaku. Satu petanda daripada Yang Maha Esa yang tidak dapat dirungkaikan di dalam kelompok komuniti Islam yang kecil di bandar metropolitan itu. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina di Jepun dan dibina pada tahun 1935. Masjid ini kekal utuh walaupun hampir-hampir dihujani bedilan bom ketika Peranfg Dunia Kedua dahulu dan
dan juga peristiwa gempa bumi yang juga dikenali sebagai Gempa Bumi Besar Hanshin.
Apapun, 17 Januari menjadi satu igauann yang tidak pernah padam bagi kaum keluarga yang memiliki mangsa dalam tragedi itu. Dan, pada hari ini, genaplah 15 tahun Gempa Bumi Besar Hanshin mempersembahkan kehebatan Tuhan ke atas setiap makhluk kerdil ciptaan-Nya.
Sunday, January 10, 2010
APABILA BOLA SEPAK DIMURNIKAN DALAM CERPEN
Acara bola sepak merupakan salah satu sukan paling popular di dunia. Di mana-mana sahaja sukan ini akan mendapat sambutan tidak kira di kalangan rakyat jelata, pemimpin negara mahupun kerabat diraja. Sukan ini menjadi sebuah sukan yang unik yang mendapat perhatian yang hangat di serata dunia.
Tapi, agak jarang untuk melihat sukan bola sepak diangkat sebagai tema dalam karya sastera terutamanya di Malaysia. Antara penulis yang giat menggunakan tema bola sepak dalam karya sasteranya adalah Alias Ismail. Penulis ini pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan melalui novel berjudul Priitt.. dan cerpen bertajuk Delusi. Cerpen bertemakan sukan ini kembali lagi melalui cerpen yang berjudul Fox 40 yang tersiar di Mingguan Malaysia pada 10 Januari 2010. Bagi saya cerpen ini adalah kesinambungan daripada dua karyanya sebelum ini, apabila novel Priitt.. membicarakan kisah hidup pengadil yang tidak pernah putus-putus daripada kontrovesi dan penggunaan teknik yang sama melalui cerpen Delusi.
Cerpen Fox 40 menggambarkan cerita pertarungan bola sepak antara pasukan gergasi England, Manchester United dengan sebuah pasukan dari Malaysia, Kenyir Bersatu. Menariknya, penulis menggunakan nama-nama sebenar bagi watak-watak pemain bola sepak seperti Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Edwin van Der Sar dan Patrick Evra. Penulis juga mengembalikan nostalgia dengan menggunakan nama-nama pemain legenda Malaysia sebagai Kenyir Bersatu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun dan R.Arumugam.
Ironinya, cerpen ini ingin mengangkat kisah pengadil yang tidak pernah sudah dijadikan sasaran cemuhan penyokong dan juga pengurus pihak lawan. Penulis menggunakan situasi sebenar yang berlaku dalam kancah Liga Perdana Inggeris atau EPL apabila pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengkritik pengadil perlawanan ketika anak-anak buahnya berhadapan dengan Sunderland pada aksi beberapa bulan lalu.Pengurus berbangsa Scotland ini telah dikenakan tindakan oleh pihak Persatuan Bola Sepak England namun tindakan tidak mematahkan 'semangat'nya untuk terus membuat tuduhan dan cemuhan ke atas pengadil EPL.
Dari sisi lain, saya nampak penulis cuba membangkitkan suasana nostalgia selain ingin memberi kritikan kepada bola sepak Malaysia yang dalam perjalanan untuk mengembalikan kegemilangan suatu ketika dahulu. Nama-nama pemain legenda yang dijadikan watak bagaikan memberi isyarat bahawa agar sukar untuk pemain-pemain Malaysia sekarang untuk mencabar pasukan-pasukan handalan dunia melainkan memberikan usaha yang gigih dan jitu seperti yang dilakukan oleh pemain-pemain handalan Malaysia terdahulu.
Mungkin agak sukar tapi jalannya sudah kelihatan lantaran kemenangan skuad bawah 23 tahun negara yang berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Laos baru-baru ini. Apapun, cerpen Fox 40 penuh dengan simbolik dalam usaha memajukan bola sepak negara dan memartabatkan mutu pengadilan agar semua pihak berpuas hati.

Subscribe to:
Posts (Atom)