Sunday, August 1, 2010

MESEJ DARIPADA KARTUN DAN ANIME






Mungkin semua orang mengenali watak span berwarna kuning ini. Mungkin semua orang tergila-gilakan segala patung, stiker mahupun aksesori yang boleh dipasang pada telefon bimbit masing-masing watak comel ini. Satu dunia sudah tahu ini adalah Spongebob Squarepants, span yang hidup di dasar laut, di satu tempat bernama Bikini Bottom. Bagi yang selalu membuka televisyen terutamanya TV9 pada setiap hari, pukul 5 petang, anda pasti akan melihat aksi span ini dalam 2 episod selama 30 minit.

Saya turut menonton rancangan kartun ini jika saya mempunyai masa. Ada sesuatu yang menjentik hati saya. Jika diperhatikan secara kasarnya, Spongebob Squarepants hanya menceritakan kisah 2 sahabat yang berkawan baik antara Spongebob dengan Patrick Stars, tapak sulaiman yang mempunyai tahap IQ yang rendah sehinggakan tidak tahu mengeja nama sendiri.

Saya menonton cerita berkali-kali. Saya tidak segan untuk memberitahu bahawa cerita ini akan menjadi rancangan kegemaran saya ketika saya pulang bercuti di rumah ketika cuti semester. Ada sesuatu yang membuat saya terfikir.

Penciptanya, Stephen Hillenburg, seorang ahli biologi marin, cuba menyatakan kekhilafan dan kelemahan yang dimiliki oleh masyarakat dunia sekarang melalui cerita ini. Apa yang saya dapat lihat, Spongebob Squarepants adalah sebuah kartun satira yang diolah sebagai kritikan sosial secara halus. Hillenburg menghasilkan watak-watak yang sinonim dengan sikap manusia sekarang seperti watak Squipward, Yujin Krab, Puan Puff, Cindy Si Tupai Texas dan sebagainya. Hillenburg secara kreatifnya ingin menyampaikan isi hatinya melalui seni yakni kartun dengan cara yang baik dan bersopan selain secara humor.

Selain itu juga, kartun keluaran Jepun ataupun disebut anime, turut mengambil konsep yang sama untuk menyampaikan isi hati mereka. Industri anime dan komik atau manga di Jepun berkembang begitu pesat dan mendapat perhatian meluas dan sambutan luar biasa daripada seluruh dunia. Contohnya seperti Naruto, One Piece, Fullmetal Alchemist, Bleach dan sebagainya.

Naruto sebagai contohnya yang masih lagi diterbitkan dalam musim kedua, Naruto:Shippuden, cuba mengkritik masyarakat dunia sekarang terutamanya negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Russia yang masih meneruskan peperangan secara saraf walaupun perang dunia sudah pun berakhir. Dalam Naruto, pelukisnya, Masashi Kishimoto mengkritik negara-negara melalui dunia ninja ataupun shinobi ciptaannya. Perang Dunia Ninja yang berlaku antara negara-negara Api, Angin, Air, Kilat dan Bumi telah membunuh ribuan manusia. Walaupun perjanjian telah tercapai namun persengketaan sesama mereka masih berlaku dan kadang-kadang dilakukan secara senyap-senyap.

Dalam anime ini juga, wujud satu kumpulan diberi nama Akatsuki yang ingin menguasai dunia atas alasan ingin mengamankan dunia. Apa yang fikir, gerakan Akatsuki ini boleh saya ibaratkan seperti gerakan Freemason dan Ilumination di dunia nyata yang bertindak secara tertutup untuk menguasai dunia. Walaupun corak kerja Akatsuki adalah dengan menangkap Jinchuriki, ataupun manusia yang mempunyai raksasa berekor (bijuu) di dalam badannya seperti Naruto yang mempunyai Musang Berekor Sembilan,(Kyubi), namun matlamat kedua-dua gerakan itu adalah sama iaitu menguasai dunia dengan taktik kotor.

Banyak mesej yang cuba disampaikan dalam anime-anime lain selain daripada Naruto. Kebanyakkan anime-anime daripada Jepun mempunyai mesej yang berat namun disampaikan dengan baik untuk tatapan semua lapisan masyarakat. Kartun-kartun keluaran Barat juga mempunyai yang sama seperti The Simpsons, The Family Guy dan sebagainya (walaupun menggunakan perkataan-perkataan dan aksi yang tidak sepatutnya). Perkembangan dunia kartun dan animasi di Malaysia masih dalam tahap meningkat. Kartun animasi Upin dan Ipin dilihat mempunyai potensi dan bakal menjadi pelopor dalam penghasilan kartun dan anime berunsurkan satira dan mempunyai mesej berat. Mungkin ia bakal mengambil masa sebelum industri komik dan animasi Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan industri komik dan animasi Jepun dan Amerika Syarikat.

Saturday, May 22, 2010

SEMANGAT PERJUANGAN DUA NOVEL




Rata-rata kebanyakkan pelajar universiti sudah pun menerima keputusan peperiksaan semester masing-masing. Ada yang mendapat keputusan yang cemerlang, ada yang baik dan ada pula yang kurang memuaskan. Di tempat saya belajar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, pihak Jabatan Kejuruteraan Mekanik sudah pun mengeluarkan keputusan tidak rasmi dengan menampal keputusan di papan notis berhadapan dengan pejabat jabatan itu.
Alhamdulillah… Saya mencapai keputusan yang memberangsangkan walaupun tidaklah sebaik rakan-rakan lain. Rakan-rakan seperjuangan yang lain sudah pun menamatkan pengajian dengan jayanya dan hanya menunggu hari bersejarah dalam hidup mereka, Hari Konvokesyen yang dijangka dilangsungkan pada bulan Ogos nanti. Tahniah saya ucapkan pada mereka. Namun, ada juga rakan-rakan yang masih perlu meneruskan perjuangan yang belum selesai seperti saya. Hmm… perjalanan masih jauh untuk menamatkan satu tempoh pengajian yang memenatkan. Masih belum ada titik noktah lagi dalam pengembaraan saya mengejar ilmu di universiti tertua di Malaysia ini.
Apapun, bukan ini yang saya hendak bincangkan. Tetapi, dua novel lama karya Nisah Hj Haron dan Andrea Hirata ini telah menarik minat saya untuk memperkatakan isinya dalam ruangan ini. Novel Sang Pemimpi (SP) karya Andrea Hirata merupakan novel kedua setelah kemunculan Laskar Pelangi yang sukses. Seperi juga novel yang pertama, novel kedua juga telah diangkat menjadi filem di layar perak. Untuk SP. Andrea Hirata masih lagi mengekalkan watak Ikal iaitu dirinya sendiri yang berjuang untuk hidup dan meneruskan pengajian di SMA di daerah timah, Pulau Belitong. Dengan kesempitan wang, Ikal dan rakan-rakannya meneruskan cita-cita dan mimpi mereka untuk menjejakkan kaki ke University of Sorbonne di kota klasik, Paris, Perancis. Dengan bahasa yan disusun indah, Andrea meneruskan kesinambungan corak penulisan yang selektif seperti yang telah dihasilkan dalam novel Laskar Pelangi.
Apa yang membuatkan novel ini bagus, ada roh perjuangan yang cuba disampaikan atau diterbitkan setelah usai membaca novel ini. Perjuangan yang harus diteruskan walaupun dalam apa jua keadaan. Andrea telah mengajarkan pembaca bagaimana untuk berfikiran positif sambil tidak melekangkan diri daripada semangat setiakawan dan persaudaraan yang dibina bersama-sama. Saya sangat teruja untuk menghabiskan novel ini apabila melihat plot dan bahasa diadun dengan baik. Ada rasa marah, saying, benci dan sedih dapat digambarkan melalui pembacaan novel ini. Novel ini memberi keterangan bahawa setiap orang boleh bermimpi walaupun kita mungkin tidak mampu menggapainya. Tapi, mimpi itu bakal menjadi kenyataan apabila kita benar-benar berusaha dan berdoa serta bertawakal kepada Ilahi.
Novel Mencari Locus Standi (MLS), sebetulnya perlu dibaca setelah keputusan pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2003 diumumkan. Saya agak terbelakang dalam pembacaan novel kerana minat itu bercambah setelah saya usai dalam pertapaan saya dalam Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007. Sebetulnya, ini adalah novel pertama Kak Nisah yang saya baca kerana saya banyak menekuni cerpen-cerpen Kak Nisah berbanding novelnya. Apa yang menarik pada novel MLS pada saya adalah kehidupan seorang mahasiswa yang diceritakan baik oleh Kak Nisah. Semangat perjuangan dan setiakawan sesama rakan dan suasana pembelajaran di dalam universiti menarik minat saya untuk menyelesaikan novel ini walaupun isu undang-undang banyak diketengahkan di dalam novel. Kak Nisah berjaya mewujudkan konflik dan kerenah pelajar-pelajar universiti yang pelbagai ragam. Adegan tikam-menikam sesama kawan, ketegangan emosi, perjuangan membahagikan masa antara korikulum dan kokorikulum serta elemen percintaan menjadikan novel MLS amat menarik.
Ditambah pula dengan penyelongkaran adat iaitu adat Pepatih di Negeri Sembilan menjadikan novel ini mempunyai rencah yang pelbagai. Adat yang telah bertapak lama di negara kita menjadikan ia cukup unik dan wajar dipelajari. Walapun tidak diperincikan oleh Kak Nisah dalam novel ini, namun ia sedikit sebanyak memberikan maklumat berguna kepada masyarakat muda Malaysia mengenai adat yang penuh dengan kertertiban ini supaya mereka tidak menganggap, “Siapa yang kahwin dengan orang Minangkabau, habislah tak jadi kaya!”
Saya menghabiskan kedua-dua novel dalam masa sebulan. Sang Pemimpi dihabiskan setelah peperiksaan saya tamat, manakala novel Mencari Locus Standi selesai saya baca setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan. Perjuangan semakin berapi kerana saya masih ada 2 semester lagi di Universiti Malaya. Masih panjang dan masih jauh tetapi tidak mustahil untuk saya lepasi.

Monday, May 10, 2010

APABILA BAHAN PEMBELAJARAN DIJADIKAN TEMA CERPEN

Alhamdulillah! Cerpen kedua saya untuk tahun ini berjudul 'Hantu Orang' tersiar di Majalah Tunas Cipta Edisi Mei 2010. Intipati cerpen ini saya ambil daripada Perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh kaum Cina di Malaysia. Saya mendapat inspirasi daripada tajuk yang menjadi kerja khusus saya bagi subjek Hubungan Etnik di universiti. Sedikit terkilan kerana cerpen ini lambat tersiar setelah disiapkan pada tahun 2008 dan saya terpaksa menghantar ke merata media cetak sebelum berjaya dinoktahkan di Tunas Cipta. Terima kasih diucapkan kepada pihak editor Majalah Tunas Cipta kerana memilih karya ini. Tidak lupa juga kepada pendorong saya, Abang Saifullizan Yahya dan sahabat saya di MPR 2007, Aidil Khalid yang banyak memberi tunjuk ajar. Insya Allah, saya akan cuba menghasilkan karya lain pula selepas ini.

Thursday, March 25, 2010

BUKU-BUKU DARI PESTA BUKU ANTARABANGSA 2010


Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya pasti akan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Untuk tahun ini, saya mengunjungi lagi. Untuk tahun ini saya memperuntukkan hampir RM200 untuk membeli bahan bacaan, lebih Rm50 lagi berbanding tahun sudah. Saya masih lagi teringin untuk mendapatkan beberapa buah buku tapi setakat itu saja yang saya mampu dengan kekangan ekonomi sebagai seorang pelajar. Insya allah, pada tahun depan mungkin saya berpeluang untuk mendapatkan lebih buku berbanding tahun ini.

Senarai buku dibeli:
1) Mencari Locus Standi - Nisah Hj Haron
2) Tawarikh Cinta - Nisah Hj Haron
3) Sang Pemimpi - Andrea Hirata
4) Edensor - Andrea Hirata
5) Maryamah Karpov - Andrea Hirata
6) Bahlut - Faisal Tehrani
7) Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani
8) Punya Cinta Ramadan - Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
9) Ungu Karmila - Ramlee Awang Murshid
10) Mikhail - Ramlee Awang Murshid
11) 9 Nyawa - Ramlee Awang Murshid

Sunday, March 14, 2010

MENJELANG PESTA BUKU



Ini merupakan tahun keempat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan diadakan dan ini merupakan tahun ketiga saya menjengah ke pesta setahun sekali ini. Bagi orang yang obses kepada buku seperti saya, pesta ini merupakan peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk mendapatkan buku-buku dalam kadar harga yang murah. Jika pada tahun lepas saya sudah menghabiskan dalam lingkungan RM150 dengan membeli 10 buah buku, mungkin pada tahun ini akan sedikit berkurang. Tetapi, ia tetap bergantung kepada rezeki yang akan saya terima. Mungkin rezeki itu akan datang lambat ataupun cepat.

Untuk tips membeli, digalakkan kita mengunjungi pesta pada hari-hari Isnin hingga Jumaat kerana dalam pengalaman saya untuk 2 tahun sebelum, mengunjungi pesta ini pada hari cuti hujung minggu adalah satu yang menyeksakan dengan bilangan pengunjung yang boleh mencecah 100 000 orang! Tetapi, kadang-kadang kita terpaksa berkunjung pada hari cuti minggu memandangkan banyak program seperti pelancaran buku, sesi bertemu penulis dilangsungkan pada 2 hari tersebut. Jadi, fikir-fikirlah dan tidak rugi jika menjenguk ke pesta ini.

Saturday, February 6, 2010

Dia Seorang Geisha, Mukadimah Tahun 2010



Cerpen saya di Berita Harian, 6 Februari 2010. Judul 'Dia Seorang Geisha'. Terima kasih kepada Abang Saiful dan Aidil Khalid yang banyak membantu dalam penghasilan karya ini. Inspirasi daripada novel Allahyarham SN Arenawati, Sakura Mengorak Kelopak.

Sunday, January 31, 2010

RANGKUMAN PERISTIWA JANUARI 2010


Diam tak diam, tahun 2010 sudah pun memasuki bulan keduanya. Sepanjang 31 hari pertama untuk tahun 2010, pelbagai cerita suka dan duka berlaku di sekeliling kita sama ada di dalam negara mahupun secara global. Setiap peristiwa yang berlaku itu apabila direnungkan secara mendalam memberikan kita satu kelainan perasaan dan juga petunjuk yang bakal menyedarkan kita untuk mencari keredhaan-Nya.

Tahun 2010 dimulakan dengan isu kalimah Allah yang mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah negara itu untuk digunakan oleh pihak Kristian Malaysia dalam penerbitan majalah mereka. Namun, keputusan daripada pihak mahkamah itu mendapat tentangan hebat daripada seluruh rakyat Islam Malaysia. Rakyat Islam di negara ini bersatu dan mendesak pihak kerajaan mengemukakan rayuan untuk membatalkan kebenaran yang telah diberikan oleh pihak mahkamah kepada pihak gereja Kristian. Isu tersebut telah menimbulkan banyak polemik dan negara sedikit terganggu dengan insiden-insiden pembakaran beberapa buah gereja di sekitar Lembah Klang dan pembakaran sebuah surau di Johor.

Tidak cukup dengan itu, isu ini diburukkan lagi dengan insiden baling batu dan baling kepala babi ke arah masjid di Klang. Insiden-insiden ini sedikit sebanyak menimbulkan perasaan sangsi sesama kaum dan boleh mencetuskan sesuatu yang tidak diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Pihak polis masih menjalankan siasatan dan mungkin keadaan ini akan reda tidak lama lagi.

Dunia terus dihantui dengan peristiwa gempa bumi. Setelah kepulauan Fiji dan Tahiti diharung tsunami dek gempa bumi bawah laut, sebuah kepulauan kecil di Amerika Utara, Haiti menerima nasib yang sama. Satu gempa bumi berskala 7.0 Richer melanda negara itu pada 12 Januari 2010. Beribu-ribu orang terkorban dan banyak bangunan musnah. Haiti menjadi seperti padang jarak padang terkukur. Jenayah menjadi semakin berleluasa dengan kecurian dan pembunuhan dilaporkan setiap hari dalam cabaran rakyatnya untuk mencari bekalan makanan setelah bantuan lambat tiba. Dunia seakan-akan terkejut dan berasa kesedihan sambil masing-masing berfikir, apakah kejadian ini akan berterusan? Siapakah pula yang akan menjadi mangsa gempa bumi yang seterusnya?

Rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor menerima satu berita sedih apabila Sultan Johor keempat, Almarhum Tuanku Iskandar mangkat pada 22 Januari 2010. Tuanku sultan yang sudah lama gering, digantikan oleh anakandanya, Tuanku Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima. Rakyat negeri Johor berada di dalam berkabung selama seminggu bagi memperingati jasa almarhum sultan yang pernah menjadi satu-satunya sultan memberikan khutbah ketika solat Jumaat. Semoga roh almarhum tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam golongan yang diredhai Allah.

Dunia sastera diwarnai dengan penyampaian anugerah iaitu Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 dan 2006/2007 yang diadakan pada 18 Januari 2010 bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. HSPM merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menaikkan nama beberapa orang tokoh sastera seperti Sasterawan Negara, Prof Dr. A. Samad Said, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Negara Dr. S.Othman Kelantan (sekadar menyebut beberapa nama). Untuk kali ini, kehadiran beberapa orang penulis generasi baru yang berjaya menempatkan diri di dalam kelompok penerima hadiah seperti Faisal Tehrani, Nisah Hj Haron, Fudzail dan Ilham Hamdani (sekadar menyebut beberapa nama) sedikit sebanyak telah memberi petanda bahawa dunia kesusasteraan masih relevan di sepanjang zaman.

Mungkin pada masa-masa akan datang, penulis-penulis generasi Alaf Baru seperti Aidil Khalid, Nasriah Abdul Salam, Zulfazlan Jumrah dan Ghafirah Idris (sekadar menyebut beberapa nama) bakal menempatkan diri dalam golongan penulis mapan ini. Diharapkan untuk sesi hadiah 2008/2009 nanti dapat disampaikan pada tahun ini, bukannya tiga atau lima tahun selepas pertandingan itu berakhir.

Inilah sedikit sebanyak lembaran pada permulaan tahun 2010. Mungkin untuk bulan kedua ini, pelbagai lagi peristiwa akan berlaku yang bakal memberikan kesan dan akibat kepada seluruh jagat dunia ini. Semoga perjalanan kita untuk menuju ke penghujung tahun 2010 diredhai oleh-Nya.