Friday, May 15, 2009

RESEPI MELAYU DALAM KETUPAT CINTA


Seminggu saya menghadam novel baru karya Faisal Tehrani, Ketupat Cinta (musim pertama). Dengan kesibukan menjalani latihan industri, saya cuba mencari ruang yang ada untuk membaca karya baru abang Faisal ini. Dengan gaya penulisan ala-ala hikayat, abang Faisal membawa satu kelainan dalam novel ini, seperti satu kesinambungan kepada novel Manikam Kalbu yang memenangi Sayembara Menulis Novel sempena Sambutan Jubli Emas DBP 2007.

Menggunakan tema resepi Melayu, pengarang mengetengahkan cerita secara satira mengenai keadaan politik yang melanda negara di kala ini. Secara kasarnya, novel ini tampak seperti mengkritik keadaan sahsiah di zaman awal kemunculan kota Melaka yang diperintah oleh Parameswara. Perkembangan Islam pada ketika itu masih lagi belum kukuh namun dakwah Islamiyah semakin laju yang rata-rata dipelopori dari Kesultanan Aceh di Sumatera Utara. Melalui Dato' Musa al-Kazim yang dilantik menjadi gerau istana Melaka, Islam diperkembangkan melalui masakan Melayu yang penuh tradisi. Pelbagai masakan Melayu direka dan disampaikan oleh pengarang dengan penuh berseni dan menarik.

Namun, di setiap usaha dakwah itu sendiri, pasti ada manusia yang tidak senang duduk. Ketika Dato' Musa menjadi gerau di istana itu, banyak musuh yang cuba untuk menghancurkan Islam. Rata-rata mereka terdiri daripada golongan permaisuri Sultan Melaka, Parameswara. Apa yang dapat dilihat di sini, pengarang seperti menampakkan golongan wanita ini terlalu mementingkan dunia daripada akhirat. Jika kita meneliti novel Manikam Kalbu, pengarang turut menjadikan golongan bangsawan wanita sebagai individu yang ingin menjatuhkan Islam akibat sayangkan dunia.

Berkemungkinan besar abang Faisal mahu menegur masyarakat Hawa sekarang yang tamakkan dunia dengan membiarkan wang sebagai tempat teratas mereka. Lagipun Rasulullah s.a.w pernah bersabda, kebanyakkan isi neraka itu diisi oleh kaum wanita. Nauzubillah!! Ketupat Cinta penuh muslihat, penuh dendam, dan penu tradisi Melayu. Ada pelbagai resepi yang mungkin kita boleh mencubanya.

No comments: