Monday, August 24, 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK DAN PILIHANRAYA



Sudah 3 hari umat berpuasa. Mungkin agak terlambat tapi masih sempat bagi saya untuk mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini memberikan rahmat yang tidak terhingga kepada kita.
Menariknya Ramadhan kali ini, pelbagai periistiwa bakal berlaku sepanjang bulan kemuliaan ini. Sambutan kemerdekaan jatuh dalam bulan barakah ini. Dan lebih menarik adalah Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang yang bakal diadakan pada 25 Ogos 2009 nanti. Ini merupakan kali pertama saya melihat pilihanraya diadakan dalam bulan Ramadhan. Kali terakhir saya menyaksikan plihanraya diadakan dalam bulan puasa adalah 2 tahun yang lalu, iaitu Pilihanraya Kampus di universiti. Bagi saya, pilihanraya yang dilangsungkan ketika bulan Ramadhan ada baik dan buruknya.
Namunbegitu, agak sukar untuk menyaksikan kebaikan itu bakal berlaku memandangkan rata-rata rakyat Malaysia kurang faham bahasa Melayu kerana mereka hanya faham kepada bahasa global. Apabila dikatakan jangan membuat pos menyemak dalam lingkungan tertentu, ada juga yang buat pekak badak. Apabila diminta supaya jangan ada peraih undi dalam kawasan undi, ada juga yang lebih memahami bahasa Siam. Walhal, bahasa yang digunakan adalah tepat dan jelas.
Benarlah kata Tun Dr. Mahathir, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa bahasa sendiri. Jadi, tutup mata, kunci mulut dan pekakkan telinga. Kita sekarang menghadapi zon larangan yang begitu menggodakan. Harap tiada yang tidak diterima puasanya dalam bulan mulia ini.
Saya tidak mahu campur urusan siasah tapi sebagai salah seorang rakyat Malaysia dan umat Islam, saya berhak menegur apa yang patut mengikut kemampuan saya. Puasa tetap puasa tapi menegur ke arah kebaikan jangan ditinggalkan tetapi tidaklah terlalu melampau-lampau.