Thursday, December 31, 2009

BASA-BASI DI PENGHUJUNG TAHUN 2009

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirainya malam ini. Tepat jam 12 tengah malam, tahun 2010 bakal menyusul pula. Hidup mesti diteruskan. Apa azam baru kali ini? Beberapa azam tahun ini sudah terlaksana. Mungkin tahun depan saya mahu menjadi orang yang lebih baik daripada tahun ini. Sebagai permulaan, blog saya sudah bertukar wajah. Lepas ini, mungkin novel sulung pula yang akan muncul.

Kepada hamba Allah yang sudah pun kembali ke rahmatullah pada tahun ini seperti Allahyarham Arenawati, Allahyarham Yasmin Ahmad, WS Rendra dan sebagainya, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan yang mendapat keredhaan-Nya di akhirat kelak. Amin!

Selamat Tahun Baru 2010!!

Monday, December 28, 2009

Peristiwa di depan mata

Perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki bas memang merupakan satu perjalanan yang meletihkan kerana memanggil masa selama 5 - 6 jam. Setiap orang akan cenderung memilih perjalanan pada waktu malam kerana selesa dan lebih relaks kerana tidak perlu berpanas dek sinaran matahari. Namun, tidak semua perjalanan pada waktu malam adalah satu yang menyelesakan. Peristiwa yang berlaku pada awal pagi 26 Disember 2009 dahulu merupakan sesuatu tragedi yang sukar dilupakan oleh semua pihak. Apa yang lebih mengerikan,kesan tragedi itu berlaku di depan mata saya, walaupun saya tidak melihat bagaimana kejadian itu berlaku.

Dengan perlahan-lahan, bas dua tingkat yang saya naiki bergerak melewati bsa yang rosak teruk itu. Nauzubillah!! Cermin tingkapnya pecah di sana sini. Pihak polis, pegawai perubatan, bomba dan wartawan memenuhi ruang tepi bas itu. Malam yang gelap bercahaya dengan sinar lensa kamera yang tidak putus-putus mengambil gambar setiap detik apabila beberapa orang mangsa berjaya dikeluarkan daripada bas itu. Saya cuba bayangkan apa yang berlaku apabila saya berada dalam bas yang dalam perjalanan ke Kedah dan Perlis itu? Nauzubillah!!! Al-Fatihah untuk mangsa-mangsa yang terkorban.

Tuesday, December 22, 2009

3 CERPEN UNTUK TAHUN 2009

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi. Pelbagai cerita pahit dan manis telah kita ditempuhi sepanjang tahun yang mencabar ini. Dalam dunia sastera, banyak akitviti dan peristiwa telah mewarnai dunia ini yang semakin pesat membangun menuju ke era baru. Diharapkan tahun 2010 bakal memberikan sinar baru terutamanya kepada dunia sastera Melayu yang sudah mula mendapat di hati rakyat Malaysia.
Di pihak saya pula, tidak banyak yang dapat diperkatakan untuk sumbangan saya dalam merancakkan perjalanan lapangan ini. Hanya 3 karya yang tersiar sepanjang tahun dan ketiga-tiganya tersiar pada 6 bulan pertama tahun 2009. Berikut adalah senarai karya saya yang tersiar untuk tahun 2009:

1) Cerpen Angin Damai Mecindia – Majalah Tunas Cipta Edisi Februari 2009
2) Cerpen Hak vs Batil – Akhbar Berita Harian Bertarikh 21 Mac 2009
3) Cerpen Alif dan Spiderman - Majalah E@siswa Edisi Jun 2009

Walaupun tidak banyak, tapi saya sudah mencapai sasaran saya untuk melebihi kuantiti 2 karya yang tersiar seperti yang lakukan pada tahun 2008. Azam saya pada tahun 2010 adalah untuk mencapai sasaran 5 karya tersiar di dalam apa jua media cetak dan elektronik. Kejayaan karya saya menembusi akhbar Berita Harian pada tahun 2009 cukup membanggakan kerana ini merupakan kali pertama saya berbuat demikian. Akhir kata, selamat tahun baru 2010.

Saturday, December 19, 2009

BUKU UNTUK TAHUN 2009




Menurut statistik, purata rakyat Malaysia membaca adalah 2 buah buku setahun. Statistik yang ditunjukkan agak menjengkelkan bunyinya. Dan apabila ditafsirkan dalam bentuk ayat yang mudah difahami, “Malasnya rakyat Malaysia membaca!”
Benarkah begitu? Adakah kajian hanya dibuat ke atas responden yang tidak sepatutnya? Seperti membuat kajian secara rawak ke atas orang ramai yang lalu-lalang di pasaraya, ataupun di kaki lima. Mungkin begitu? Kenapa tidak memasuki pusat-pusat pengajian tinggi? Bukankah banyak responden yang boleh dibuat soal selidik di situ dan hasilnya mungkin lebih baik!
Apa pun keputusan statistik yang dibuat, fenomena ini tidak memberi kepada tabiat membaca saya. Sehingga ke hari ini, saya rasa lebih kurang 25 buah buku telah saya baca sepanjang tahun 2009. Ada peningkatan berbanding tahun lepas. Di bawah ini, saya sertakan senarai buku yang telah saya baca berdasarkan penerbit dan penulisnya,

Dewan Bahasa dan Pustaka
1) Bedar Sukma Bisu – Faisal Tehrani
2) Manuklon – Dr. Rahmat Haroun Hashim
3) Fitrah Kimiawi – Dr. Rahmat Haroun Hashim
4) Panggil Aku Melaju – Dr. Rahmat Haroun Hashim
5) Salina – Sasterawan Negara A. Samad Said
6) Kumpulan Drama Tamu Di Bukit Kenny – Sasterawan Negara Usman Awang
7) Sakura Mengorak Kelopak – Sasterawan Negara Arenawati
8) Lingkaran – Sasterawan Negara Arenawati
9) Kumpulan Cerpen – Azizi Hj Abdullah
10) Kumpulan Cerpen Seorang Tua dan Kerusi – Saifulizyan Yahaya

Penerbitan PTS
1) Hidayah Cinta – Ilham Hamdani
2) Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain – Afareez Abd Razak

Penerbitan Jemari Seni
1) Labyrinth – Imaen
2) Sigaraning – Imaen

Penerbitan Utusan
1) 1515 – Faisal Tehrani
2) Kembara Amira –
3) Kawin – Kawin – Azizi Hj. Abdullah

Penerbitan Alaf 21
1) Tuk Cai – Azizi Hj. Abdullah
2) Hatiku di Harajuku – Ramlee Awang Murshid
3) Cinta Sang Ratu – Ramlee Awang Murshid
4) Hijab Sang Pencinta – Ramlee Awang Murshid

Penerbitan Aberdeen
1) Tuhan Manusia – Faisal Tehrani

Ameen Books
1) Ketupat Cinta – Faisal Tehrani

Penerbitan Galeri Ilmu
1) Janji Miftahul Raudhah – Sayidah Muizzah Kamarul Shukri

Nampak masih sikit. Saya harap dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan pada tahun
Hadapan. Mungkin mencapai angka 30. Insya allah!

20 Tahun Menanti



Pada mulanya skuad ini tidak diberikan harapan untuk melangkah jauh dalam Sukan SEA Kali ke 25 di Ventiane, Laos. Mereka hanya mensasarkan layak ke pusingan separuh akhir daripada kumpulan sukar yang dianggotai pemenang pingat emas 8 kali berturut-turut, Thailand, pasukan yang memenangi Piala AFF Suzuki, Vietnam selain pasukan kerdil seperti Timor Leste dan Kemboja. Keadaan menjadi bertambah tenat setelah skuad anak didik K.Rajagopal kecundang di tangan Vietnam, 1 – 3 ketika peringkat kumpulan setelah beraksi cemerlang membelasah Timor Leste 11 – 0 pada aksi sebelumnya.
Beraksi dalam suasana tertekan mereka membenam Kemboja dengan jaringan 4 – 0 dan berdepan dengan Thailand dalam perlawanan hidup mati mereka. Dengan semangat juang yang tinggi dan berbekalkan kenangan pahit 2 kali kecewa di Thailand ketika Sukan SEA 2007 dan Piala AFF Suzuki 2008, mereka bangkit mencipta 2 gol untuk menang walaupun ketinggalan pada mulanya. Kemenangan itu mencalarkan ego Thailand yang tidak pernah tidak layak ke peringkat separuh akhir. Malaysia melangkah ke perlawanan separuh akhir menentang tuan rumah , Laos.
Sejarah mungkin tidak berulang jikalau ia diambil iktibar. Kekalahan memalukan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan dalam aksi Sukan SEA 1997 di Jakarta dahulu kepada Laos menjadi azimat kepada anak muda Malaysia untuk bermain baik dan tidak memandang enteng pihak lawan. Badrol Bakhtiar meledak 2 gol sambil Safiq Rahim mencatatkan nama sebagai penjaring untuk Malaysia menang 3 – 1 dan layak ke perlawanan akhir buat pertama kali semenjak Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
Pasukan bola sepak Malaysia tidak diletakkan sebagai pilihan untuk menggondol pingat emas untuk kejohanan kali ini. Vietnam yang mempunyai rekod yang baik ketika bertemu Malaysia dilihat mampu untuk menggapai emas pertama mereka dalam Sukan SEA setelah menyertai semula kejohanan dwitahunan itu pada tahun 1995. Stadium utama di Kompleks Sukan Ventiane, Laos dipenuhi dengan warna merah, lambang kehadiran penyokong Vietnam.
Namun, kehadiran penonton Vietnam yang ramai tidak banyak membantu pasukan itu. Malaysia menghukum Vietnam dengan kesilapan pertahanan mereka untuk menjaringkan 1 gol, cukup untuk menamatkan penantian 20 tahun rakyat Malaysia, meraih pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.
Pasukan yang dibentuk dari tahun 2006 sudah menampakkan hasilnya apabila berjaya menjuarai Pesta Bola Merdeka pada tahun 2007. Walaupun sedikit menjunam ketika Sukan SEA di Korat dan Piala AFF Suzuki 2008 ketika di bawah bimbingan jurulatih Kelantan sekarang, B.Santhinathan, skuad muda Malaysia memperlihatkan peningkatan apabila bermain cemerlang ketika tunduk 2-3 dan 0-2 kepada Manchester United. Sekalipun tewas 1-3 kepada Uzbekistan dalam 2 perlawanan kelayakan AFC Piala Asia, mereka mempelajari banyak perkara iaitu jangan mudah menyerah kalah. Perjalanan masih belum tamat. Dan hasilnya, mereka berjaya melakukannya di Laos kali ini.
Bak kata K. Rajagopal, ini adalah permulaan. Tahun hadapan mereka perlu mengharungi pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia di Guangzhou, China, Pesta Bola Merdeka (jika dianjurkan) dan kejohanan Piala AFF. Tidak dilupa, perlawanan kelayakan Piala Asia yang berbaki satu yakni menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di tempat lawan. Mungkin peluang Malaysia sudah tertutup untuk melayakkan diri ke Qatar tapi perlawanan itu perlu diharungi untuk menentukan sama ada mereka hanya menang secara nasib di Ventiane ataupun pasukan Malaysia layak menguasai pentas Sukan SEA kali ini.
Pihak FAM perlu menetapkan sasaran baru, melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada tahun 2012, cuba beraksi sejauh mungkin dalam kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil dan layak beraksi di Piala Asia 2015 secara merit.
Sekali lagi, syabas pasukan Malaysia. Malaysia BOLEH!!

Tuesday, October 20, 2009

NOVEL SALINA DAN BILA NYSRAH KATA TAK MAHU

Saya diminta rakan saya di Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007, saudara Aidil Khalid untuk membaca novel ini. Fasilatator saya di MPR saya juga, abang Faisal Tehrani dan abang Saiful menyarankan saya membacanya. Jadi, setelah sekian lama tertangguh, akhirnya saya menyelongkar Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa Pustaka (DBP) untuk mencari buku ini. Kata Aidil, novel ini berkenaan cerita seorang pelacur yang dirakamkan oleh Pak Samad ketika dia muda. Novel ini adalah antara karya teragung Pak Samad dan juga antara karya terbaik di Malaysia, katanya.
Pada fikiran saya, terlintas adegan-adegan 18SX yang mungkin sedikit ditapis mengikut acuan rasa orang Melayu Malaysia. Saya meneliti setiap baris dan perenggan. Di hujung ayat novel ini, saya terfikir, tiada adegan lucah, hanya sedikit babak rogol yang melibatkan Idah, kekasih hati Hilmi (yang saya kira Pak Samad ketika usia remaja). Tapi, bukan itu yang ingin dimaksudkan oleh Pak Samad dalam cerita ini. Ia adalah realitisme ketika zaman lepasan perang yang barangkali ada persamaannya dengan lepasan merdeka. Manusia mengejar wang demi kemewahan, kekayaan dan kebahagiaan. Caranya adalah melalui jalan kotor dan agama itu di belakangkan daripada tata hidup.
Saya teringatkan pula novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu, karya Aidil Khalid. Ada cubaan untuk mengimplikasikan apa yang cuba disampaikan oleh Pak Samad tapi tidak terlalu menonjol. Watak Nysrah yang diperkosa oleh jaga sekolahnya kerana keghairahan duniawi. Bukan wang dicari, tidak seperti novel Salina, tapi kebahagiaan dunia dan memperbelakangkan kebahagiaan akhirat. Aidil pernah berkata, dalam nada berseloroh, “ Kononnya saya ‘nak ikut gaya Pak Samad dalam Salina tapi tak beberapa menjadi!”
Memang tak menjadi tapi saya rasakan usaha yang bagus. Rakan saya sukakan gaya begitu. Mungkin saya berlainan cita rasa. Namun, mesej yang ingin disampaikan oleh Pak Samad jelas di hati saya sehingga babak di mana Hilmi kembali ke Singapura, mencari kakak Salina yang sudah pun dianggap kakaknya sendiri.

Saturday, September 5, 2009

PANGGIL AKU MELAJU, SATU SEMANGAT MENGUKUHKAN BAHASA MELAYU



Bahasa Melayu semakin tenat sekarang. Daripada menjadi sebuah bahasa perantara, lingua franca, kepada ratusan pedagang yang datang berdagang ke Kesultanan Melayu Melaka ketika dahulu, bahasa itu hanya kini menjadi sekadar bahasa sahaja. Tiada lagi semangat untuk menjadikan bahasa itu menjadi sebuah bahasa ilmu yang mampu menaikkan martabat bangsa Melayu di mata dunia. Mungkin tidak lama lagi, terkuburlah bahasa ini. Kalau tidak pun lenyaplah sudah bahasa ini, bersama-sama identiti bangsa pengguna bahasa ini.
Semangat untuk mengukuhkan bahasa ini, saya alaminya melalui novel terbaru karya Dr. Rahmat Haroun Hashim, Panggil Aku Melaju. Novel-novelnya sebelum ini seperti Di.Ar.Ti , Sentuhan Oedipus, Manuklon dan Fitrah Kimiawi, banyak memaparkan perihal perubatan sambil digabungkan dengan pelbagai displin lain seperti undang-undang, kejuruteraan, psikologi dan sebagainya, menjadikan novelnya sangat menarik dan seronok dibaca. Boleh dikatakan, Dr. Rahmat Haroun Hashim merupakan pelopor kepada novel ilmu sains perubatan dan teknologi yang lebih mendalam dan kreatif di Malaysia. Novel-novelnya saya baca atas nasihat Kak Nisah Hj Haron, yang mencadangkan supaya menulis karya sains fiksyen yang tidak terlalu ke depan dan tidak terlalu ke belakang.
Berbalik kepada Panggil Aku Melaju, penulis cuba untuk memaparkan permasalahan yang berlaku di negara kita dalam isu bahasa Melayu dengan penuh sinis. Dimulai dengan latar zaman Batu yang menyaksikan bagaimana bahasa Melayu bermula daripada sebuah pulau di selatan China bernama Ilha Formosa ataupun dikenali dengan nama Taiwan pada hari ini. Perlahan-lahan bahasa itu bergerak ke Filipina, Borneo, Sumatera dan akhirnya ke Tanah Melayu. Bahasa Melayu berkembang sedikit demi sedikit menjadi sebuah bahasa yang menarik dan mampu bergabung bahasa-bahasa luar seperti bahasa Sanskrit, Buddha, Arab dan kini bahasa Inggeris.
Namun, latar zaman Batu itu diselang-selikan dengan penemuan Mr.X, yang menjadi pesakit misteri di Institut Mental Negara (IMN) di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Penulis menggunakan kepakarannya dalam bidang perubatan, memberikan ulasan yang rinci mengenai setiap aktiviti yang berlaku di IMN dalam bahasa perubatan.
Novel ini terus bergerak dengan konvensional dengan kewujudan pembunuh bersiri yang digelar HKL Killer, yang telah membunuh beberapa orang pesakit di sekitar HKL. Jika ada di antara khalayak pernah melihat siri penyiasatan seperti Crime Scene Investigation (CSI), NCIS dan Criminal Minds, Dr. Rahmat Haroun Hashim memberikan pengalaman tersebut dalam novelnya kali ini. Walaupun tidak banyak tetapi ia tetap memberikan impak yang menarik dalam novel ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi menjadikan penghuni baru IMN, Mr.X sebagai suspek utama pembunuhan itu.
Ironinya, dia merupakan seorang ahli akademik lulusan kedoktoran, Dr. Ridzuan. Dia menjadi seorang abnormal hanya semata-mata ingin menjejaki asal-usul bangsa dan bahasanya melalui cara delusi. Yang menjadi tarikan utama ataupun klimaks dalam novel ini, apabila Dr. Ridzuan berdebat dengan Dr. Fakarudin, rakannya di ATMA, UKM mengenai pandangan mereka berdua terhadap isu perkataan ‘Melayu’. Dr. Ridzuan membentak tidak mahu dipanggil ORANG MELAYU tetapi mahu dipanggil MELAJU dengan alasan sebegini:
“ Kita mesti kaji asal perkataan Melayu itu sendiri. Perkataan Melayu adalah suatu kata nama yang berasal daripada kata sifat ‘melayu’. Layu bermakna tidak segar, tidak bertenaga dan tidak aktif. Semua konotasi negatif ada pada perkataan melayu yang ditanam taksonomi dahulukala. Setiap anak Melayu yang lahir dipanggil Melayu. Perkataan itu menimbulkan ‘ brain imprinting’ sejak bayi lagi. Apabila kanak-kanak itu mulai faham makna sebenar melayu itu, dia membentuk personaliti dirinya dengan asosiasi keadaan kelayuan itu sendiri dan mengambil sikap yang sesuai dengan panggilan yang diberikan. Lantaran itu kanak-kanak Melayu sukar untuk mengorak langkah untuk memajukan diri sebagau bangsa pesaing yang gigih” halaman 297.
Dan hujahan Dr. Ridzuan tidak terhenti di situ. Kemudian, dia berdebat dengan Dr. Shukri, timbalan Pengarah IMN mengenai pengaruh yang dimainkan oleh bangsa penjajah untuk membentuk jati diri sesuatu kaum yang mereka jumpa ketika zaman kolonialisme dulu. Bangsa Melayu turut termasuk sekali,
“ Perkataan Malay berasal dari dua suku kata. Mal merupakan abnormal, luar biasa, seperti pada perkataan malfunction, malaria, malabsorption dan sebagainya. Lay bermakna berbaring. Jadi, orang-orang Malays itu adalah orang-orang yang berbaring berlebih-lebihan seperti orang yang sedang sakit atau gering. Secara semantiknya, keadaan kegeringan itu dalam bahasa Greko – Latin adalah malaise... Huruf i dan y dalam tradisi tulisan Eropah silih berganti. Bila y dalam Malays itu digantikan dengan huruf i, lalu menjadi malais. Akhirnya dalam evolusi dan fonetik Melayu, sebutannya menjadi malas.” halaman 346.
Secara kesuruhannya, novel ini mengajak pembaca terutamanya kaum Melayu agar sedar asal usul mereka. Bahasa adalah anugerah daripada Allah Taala melalui firmannya surah ar-Rum ayat 22 yang bermaksud,
‘ Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui’
Jadi, sudah menjadi kewajipan kita untuk memeliharanya. Ini bukan bermakna kita meninggalkan bahasa antarabangsa, tetapi kita mengekori bahasa itu disamping memantapkan penguasaan bahasa sendiri. Orang Melayu adalah bangsa yang fleksibel, kita boleh menguasai dan bercampur dengan bangsa-bangsa lain demi mewujudkan kesepakatan ummah berlandaskan hukum-hukum Islam. Sejak dari zaman dahulu, kita memang bangsa peniru tapi kita meniru dan menghasilkan sesuatu yang baru untuk manfaat seluruh alam.
Dr. Rahmat Haroun Hashim berjaya memberikan sedikit tonik kepada saya melalui pembacaan novel ini. Namun, hanya kematian Dr.Ridzuan di akhir novel nampak tidak kena dengan norma-norma sebagai seorang penganut agama Islam. Mungkin ini sesuatu yang dapat dibetulkan dalam kemunuculan novel yang seterusnya.

Monday, August 24, 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK DAN PILIHANRAYA



Sudah 3 hari umat berpuasa. Mungkin agak terlambat tapi masih sempat bagi saya untuk mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini memberikan rahmat yang tidak terhingga kepada kita.
Menariknya Ramadhan kali ini, pelbagai periistiwa bakal berlaku sepanjang bulan kemuliaan ini. Sambutan kemerdekaan jatuh dalam bulan barakah ini. Dan lebih menarik adalah Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang yang bakal diadakan pada 25 Ogos 2009 nanti. Ini merupakan kali pertama saya melihat pilihanraya diadakan dalam bulan Ramadhan. Kali terakhir saya menyaksikan plihanraya diadakan dalam bulan puasa adalah 2 tahun yang lalu, iaitu Pilihanraya Kampus di universiti. Bagi saya, pilihanraya yang dilangsungkan ketika bulan Ramadhan ada baik dan buruknya.
Namunbegitu, agak sukar untuk menyaksikan kebaikan itu bakal berlaku memandangkan rata-rata rakyat Malaysia kurang faham bahasa Melayu kerana mereka hanya faham kepada bahasa global. Apabila dikatakan jangan membuat pos menyemak dalam lingkungan tertentu, ada juga yang buat pekak badak. Apabila diminta supaya jangan ada peraih undi dalam kawasan undi, ada juga yang lebih memahami bahasa Siam. Walhal, bahasa yang digunakan adalah tepat dan jelas.
Benarlah kata Tun Dr. Mahathir, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa bahasa sendiri. Jadi, tutup mata, kunci mulut dan pekakkan telinga. Kita sekarang menghadapi zon larangan yang begitu menggodakan. Harap tiada yang tidak diterima puasanya dalam bulan mulia ini.
Saya tidak mahu campur urusan siasah tapi sebagai salah seorang rakyat Malaysia dan umat Islam, saya berhak menegur apa yang patut mengikut kemampuan saya. Puasa tetap puasa tapi menegur ke arah kebaikan jangan ditinggalkan tetapi tidaklah terlalu melampau-lampau.

Tuesday, July 21, 2009

PERMULAAN YANG KELAM-KABUT

Blog ini sedikit terbiar sekian lama. Maklumlah, baru saja menamatkan latihan industri di JKR Cawangan Mekanikal Kedah. Ternyata banyak ilmu yang berguna telah diperolehi sepanjang 6 bulan di sana. Habis sahaja LI, terus bergegas ke Kuala Lumpur, menyiapkan laporan akhir untuk dihantar kepada pejabat. Memang meletihkan.

Friday, June 12, 2009

PERTANDINGAN MENULIS ESEI

INI ADALAH ENTRI PROMOSI.

Pertandingan Menulis Esei
Program Promosi Pendermaan Organ
KKM-NST-BH 2009

Dapatkan Borang Menerusi
Akhbar New Straits Times Dan
Akhbar Berita Harian Mulai 18 Mei 2009



Tema
“Dermalah Organ Demi Sebuah Kehidupan”

Syarat-Syarat Penyertaan

* Terbuka kepada semua murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

* Semua penyertaan hendaklah dihantar sebelum atau pada 26 Jun 2009 dan dihantar kepada:-

Urusetia
Pertandingan Menulis Esei Pendermaan Organ
d/a Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E10, Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya.

* Peserta boleh menghantar lebih dari satu penyertaan. Borang penyertaan boleh didapati menerusi akhbar New Straits Times dan Berita Harian. Bukti kiriman pos bukan bukti penerimaan.

* Setiap hasil karya mestilah asli (hasil ciptaan / tulisan sendiri) dan boleh ditulis dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia.

* Setiap penyertaan Esei yang diterima tidak akan dipulangkan dan akan menjadi hak milik Kementerian Kesihatan Malaysia.

* Penganjur mempunyai hak untuk menyiarkan esei yang dihantar oleh peserta menerusi mana-mana saluran media. Kementerian berhak menyiarkan Esei ini dalam apa jua bentuk media dan tiada tempoh had masa.

* Penganjur berhak untuk tidak memilih pemenang di kalangan peserta yang bertanding sekiranya panel hakim memutuskan tiada peserta yang layak dianugerahkan sebagai pemenang utama.

* Panjang Esei adalah seperti berikut:

Sekolah Rendah : Tidak Lebih 260 patah perkataan
Sekolah Menengah : Tidak Lebih daripada 500 patah perkataan
Institusi Pengajian Tinggi : Tidak Lebih daripada 1,000 patah perkataan

* Esei boleh ditulis secara bertaip atau tulisan tangan dengan terang dan jelas.


Hadiah

Kategori Sekolah Rendah
Pemenang Pertama : RM 300.00 + Sijil Pemenang
Pemenang Kedua : RM 250.00 + Sijil Pemenang
Pemenang Ketiga : RM 150.00 + Sijil Pemenang


Kategori Sekolah Menengah
Pemenang Pertama : RM 500.00 + Sijil Pemenang
Pemenang Kedua : RM 375.00 + Sijil Pemenang
Pemenang Ketiga : RM 250.00 + Sijil Pemenang


Kategori Institusi Pengajian Tinggi
Pemenang Pertama : RM 650.00 + Sijil Pemenang
Pemenang Kedua : RM 500.00 + Sijil Pemenang
Pemenang Ketiga : RM 375.00 + Sijil Pemenang


* 5 Hadiah Saguhati kepada setiap Kategori

* Sekolah yang menyumbang paling banyak penyertaan akan diberikan hadiah Misteri dan Trofi bagi setiap Kategori.

* Sijil penyertaan akan diberikan kepada semua peserta

Tuesday, June 9, 2009

PERKEMBANGAN BARU DALAM DUNIA SASTERA



Satu pembaharuan bakal terjadi tidak lagi. Dengan kerjasama antara 2 syarikat media, media massa dan cetak, menjadikan sesuatu yang menarik untuk diperkatakan. Buat julung-julung kalinya, pihak Utusan dan Astro bakal bekerjasama untuk mempromosikan Minggu Sastera Utusan (MSU) 2009 yang bakal berlangsung dari 12 Jun sehingga 19 Jun 2009. Majlis ini bakal berlangsung di Istana Budaya. Bermula dengan Malam Puisi Utusan yang akan berlangsung di Istana Budaya pukul 8 malam.

Kemuncaknya adalah pada majlis penganugerahan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)2008 yang bakal diadakan pada 19 Jun nanti di tempat yang sama. Ini satu kerjasama yang baik demi memasyarakatkan sastera. Dengan menggunakan 2 saluran iaitu saluran 104 Astro Ria dan saluran 501 Astro Awani bakal memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenal sastera yang tidak diletakkan pada tahapnya di negara kita.
Diharapkan kerjasama ini bakal berterusan demi memartabatkan sastera tanah air.

Sumber daripada akhbar Utusan.

Tuesday, June 2, 2009

LOMPATAN SI LABAH-LABAH


Bila Spiderman nak buat sawang lagi dalam pawagam. 2 tahun sudah. Jadi, bila pulak? Tapi, dalam majalah, Spiderman dah buat sarang. Majalah apa? Majalah E@siswa edisi Jun 2009. Ya, cerpen saya berjudul Alif dan Spiderman akhirnya tersiar. Terima kasih diucapkan kepada abang Khairul Nizam kerana sudi membantu. Cerita ini agak ke arah kanak-kanak kerana menggunakan watak seorang kanak-kanak sekolah rendah bernama Alif.

Alif tak nak memakai baju Spiderman yang telah dibeli oleh emaknya, Puan Nasuha kerana ditegur oleh guru Matematiknya, Cikgu Manan di sekolah. Kenapa cikgu Alif tegur? Apa tindakan Puan Nasuha? Jadi, boleh dapatkan majalah E@siswa ini dengan harga RM 2.90 saja.

Cerpen ini lebih kepada kritikan sosial, melihat kepada keterujaan anak-anak muda terutamanya kanak-kanak kepada superhero keluaran Amerika Syarikat. Tahun lepas baru saja ditayangkan di pawagam, Batman: The Dark Knights, The Incredible Hulk dan Iron Man. Dan baru-baru ini, 3 buah berjaya memecahkan panggung wayang serata dunia; Wolverine, Star Trek dan Terminator: Salvation.

Hmm... Mungkin anak-anak muda sekarang telah lupa siapa Salahuddin al-Ayubi, Khalid al-Walid, ataupun Iskandar Zulkarnain yang disebut-sebut di dalam al-Quran. Tapi, nasib baik mereka tidak melupai junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w! Tapi, suatu hari nanti, nama-nama ini mungkin bakal lenyap dan digantikan dengan nama-nama Peter Parker, Logan atau tak pun John Connor ( jika anda ada membaca akhbar Mingguan Malaysia yang terbaru, anda pasti menemui sesuatu yang menarik dalam sisipan hiburan).

Mana tau. Peristiwa ini pasti berlaku dan kita tak tahu bila. Subhanallah!

Thursday, May 28, 2009

PENUTUP PALING CEMERLANG


Musim yang paling gemilang buat Barcelona untuk musim 2008/2009. Dengan kejayaan membenam pertahanan kental Manchester United di Stadium Olimpik, Rom, Itali, menobatkan kejuaraan treble bagi pasukan Catalan ini, menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga semenjak tahun 2006.

Tiga tahun yang lalu, di Stade de France, Paris, Perancis, 2 gol hasil jaringan Samuel Eto dan Henrik Larson cukup untuk menumpaskan Arsenal dengan jaringan 2-1 untuk merangkul kejuaraan. Tapi, di Rom ini, berbekalkan jaringan Samuel Eto'o dan pemain sensasi Barcelona, Lionel Messi, membolehkan penjaga gol MU, Edwin van Der Sar, terpaku dengan 2 gol menakjubkan yang dihasilkan pasukan lawan. Tahun lepas, dia menjadi wira dengan menyelamatkan gawang untuk menjuarai kejohanan ke atas Chelsea. Tetapi kali ini, dia gagal memastikan gawangnya kebal daripada rangkaian terunggul yang dimiliki oleh Barcelona dengan 2 penjaring tadi dibantu oleh Thierry Henry dan 2 pemain tengah yang berjaya mengkucar-kacirkan kekebalan benteng Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic iaitu Xavi dan Iniesta.

Gandingan serangan yang dimiliki oleh barisan Sir Alex Ferguson, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Dimitrev Berbatov dan Carlos Tevez gagal untuk mencetak gol di gawang Barcelona yang dikawal kemas Victor Valdes. Walaupun kehilangan Rafael Marquez dan Eric Abilda, benteng Barcelona kekal ampu sehingga ke hujung minit penamat.

Dengan kejayaan ini menjadikan Barcelona kelab Sepanyol pertama memenangi 3 kejuaraan dalam satu musim. Tahniah kepada kelab Sepanyol itu setelah pasukan kebangsaan mereka berjaya merangkul kejuaraan Eropah pada tahun 2008.

Friday, May 22, 2009

TAHNIAH KEPADA RED DEVILS, BARCELONA


Kejayaan Manchester United mengikat Arsenal dalam perlawanan liga Sabtu lalu cukup untuk membuatkan The Red Devils kekal selaku juara Liga Perdana Inggeris untuk musim ketiga berturut-turut. Dengan berkelebihan 4 mata di depan pencabar terdekat Liverpool, menjadikan persaingan liga kali ini menarik dan mendebarkan. Seharusnya pengurus MU, Sir Alex Ferguson layak diberikan anugerah Pengurus paling berjaya dengan kejayaannya merangkul 11 kejuaraan liga selain 2 kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Hari Rabu nanti bakal menentukan sama ada pengurus ini berjaya merangkul piala ke 19 nya sebagai pengurus Red Devils. Untuk mencapai angka tersebut, barisan didiknya perlu menumbangkan barisan penuh berbakat dari Sepanyol, Barcelona. Kelab Catalan dalam rangka menjadi kelab pertama dari Sepanyol mengungguli 3 kejuaraan setelah berjaya menumbangkan Athelico Bilbao di perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol dan menewaskan seteru utamanya dalam La Liga, Real Madrid untuk merampas kembali kejuaraan liga setelah memenanginya pada tahun 2006.

Jurulatih muda, Pep Guadiorlia mencetuskan satu fenomena baru setelah beberapa jurulatih muda sebelum ini memberikan impak dalam sukan bola sepak sejak akhir-akhir ini. Dimulai dengan Jurgen Klinsman yang berjaya membawa Jerman menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Piala Dunia 2006 di laman sendiri, disusuli pula dengan kejayaan jurulatih Brazil, Dunga merangkul Copa America 2007 di Veneuzela dan sekarang bekas pemain kelab Barcelona ini mahu membuktikan sesuatu.

Jadi, perlawanan akhir di Rom nanti mampu menentukan kejaguhan sebenar jurulatih ini.

Friday, May 15, 2009

RESEPI MELAYU DALAM KETUPAT CINTA


Seminggu saya menghadam novel baru karya Faisal Tehrani, Ketupat Cinta (musim pertama). Dengan kesibukan menjalani latihan industri, saya cuba mencari ruang yang ada untuk membaca karya baru abang Faisal ini. Dengan gaya penulisan ala-ala hikayat, abang Faisal membawa satu kelainan dalam novel ini, seperti satu kesinambungan kepada novel Manikam Kalbu yang memenangi Sayembara Menulis Novel sempena Sambutan Jubli Emas DBP 2007.

Menggunakan tema resepi Melayu, pengarang mengetengahkan cerita secara satira mengenai keadaan politik yang melanda negara di kala ini. Secara kasarnya, novel ini tampak seperti mengkritik keadaan sahsiah di zaman awal kemunculan kota Melaka yang diperintah oleh Parameswara. Perkembangan Islam pada ketika itu masih lagi belum kukuh namun dakwah Islamiyah semakin laju yang rata-rata dipelopori dari Kesultanan Aceh di Sumatera Utara. Melalui Dato' Musa al-Kazim yang dilantik menjadi gerau istana Melaka, Islam diperkembangkan melalui masakan Melayu yang penuh tradisi. Pelbagai masakan Melayu direka dan disampaikan oleh pengarang dengan penuh berseni dan menarik.

Namun, di setiap usaha dakwah itu sendiri, pasti ada manusia yang tidak senang duduk. Ketika Dato' Musa menjadi gerau di istana itu, banyak musuh yang cuba untuk menghancurkan Islam. Rata-rata mereka terdiri daripada golongan permaisuri Sultan Melaka, Parameswara. Apa yang dapat dilihat di sini, pengarang seperti menampakkan golongan wanita ini terlalu mementingkan dunia daripada akhirat. Jika kita meneliti novel Manikam Kalbu, pengarang turut menjadikan golongan bangsawan wanita sebagai individu yang ingin menjatuhkan Islam akibat sayangkan dunia.

Berkemungkinan besar abang Faisal mahu menegur masyarakat Hawa sekarang yang tamakkan dunia dengan membiarkan wang sebagai tempat teratas mereka. Lagipun Rasulullah s.a.w pernah bersabda, kebanyakkan isi neraka itu diisi oleh kaum wanita. Nauzubillah!! Ketupat Cinta penuh muslihat, penuh dendam, dan penu tradisi Melayu. Ada pelbagai resepi yang mungkin kita boleh mencubanya.

Monday, May 11, 2009

MAKIN KE PENGHUJUNG



Pertarungan semakin sengit. Dengan perlawanan Liga Perdana Inggeris berbaki 2 perlawanan, ternyata peluang benar-benar berpihak kepada pasukan Red Devils untuk merangkul kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut. Manchester United dilihat mempunyai kelebihan untuk terus kekal di persada liga sehingga penutup tirai musim 2008/2009 memandangkan mereka mempunyai lebihan satu perlawanan berbanding pencabar terdekat mereka, Liverpool. Dengan kemenangan ke atas Wigan Atlhetic selain membaham cabaran barisan muda Arsenal hari Sabtu ini, cukup untuk menobatkan MU menyamai rekod kejuaraan Liverpool sebanyak 18 kali.

Tampak MU perlu berbuat demikian kerana andai kata mereka berjaya memenangi kedua-dua perlawanan pada pertengahan dan hujung minggu nanti, Sir Alex Ferguson berpeluang untuk merehatkan pemain-pemain utamanya pada perlawanan terakhir liga menentang Hull City bagi menghadapi Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpik, Rom, Itali.

Bagi Liverpool, hanya doa dan harapan sahaja yang mampu mereka lakukan selain berusaha untuk memenangi dua perlawanan terakhir menentang pasukan bermasalah West Brom Albion dan Tottenham Hotspurs. The Reds dilihat bakal tidak menghadapi masalah menentang West Brom namun perlu berhati-hati menentang pasukan bimbingan Harry Redknapp, Spurs di perlawanan terahkir nanti. Apa saja boleh berlaku dalam bola sepak dan diharapkan perlawanan yang akan berlangsung nanti bakal mendebarkan semua peminat Liga Perdana Inggeris@EPL!!!

Sunday, April 26, 2009

LAGI DI PBAKL 2009





Di sini saya sertakan sekali beberapa gambar yang sempat saya rakamkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Saya sempat mengambil gambar dengan penulis novel Julia, Natasya dan Cinta Madinah yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sekitar tahun 90-an yang juga merangkap tuan punya Galeri Ilmu Sdn. Bhd(GISB), Cikgu Abu Hassan Morad. Di gerai GISB juga, saya sempat merakamkan foto bersama-sama dengan 2 rakan seperjuangan saya di MPR, Aidil Khalid dan Eja. Tahniah sekali lagi kepada Eja dengan pelancaran Janji Miftahul Raudhah. Terima kasih kepada suadara Hafiz, mantan MPR 2002 yang sudi mengambil gambar ini.

Selain itu juga, saya menjengah sebentar di gerai Jemari Seni (JS), dan sempat pula dengan salah seorang penulis novel Labyrinth, saudara Imaen (maaf gambar tidak sempat diambil). Imaen juga memberi sedikit tunjuk ajar kepada saya bagaimana untuk menghasilkan sebuah novel yang bagus. Terima kasih diucapkan.

Sunday, April 19, 2009

MENJENGAH PESTA BUKU ANTARABANGSA








Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur kembali lagi. Bermula daripada 17 April lalu, ternyata pesta buku kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ke hari. Saya mengambil kesempatan yang ada berkunjung ke pesta itu, ketika hari pembukaan serta hari kedua. Hasilnya 7 buah buku menjadi milik diri. Novel penulis thriller nombor 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, menjadi pilihan ketika saya berkunjung di booth Alaf 21. Setelah asyik membelek Bagaikan Puteri 2 tahun dulu, ia tidak lengkap apabila tidak memperolehi jawapan kepada apa yang berlaku kepada Laksamana Sunan. Jadi, novel Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta menjadi pilihan selain novel Hatiku Di Harajuku menjadi koleksi.

Pada hari yang sama, saya berkunjung ke gerai PTS Publisher. Banyak buku-buku baru yang dijual namun saya hanya mencari sebuah buku non fiksyen. Buku karya Afareez Abd Razak al-Hafiz yang mencetuskan fenomena baru dalam dunia penulisan tanah air. Buku berjudul Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain menjadi jualan best seller setakat ini dan menjadi TOP 5 di dua buah kedai buku iaitu Popular dan MPH. Untuk hari pertama, 4 buah buku berjaya disebat. Esoknya, saya meneruskan lagi jelajah saya di dalam telaga ilmu ini.

Hari Sabtu di Pesta Buku Antarabangsa merupakan saat yang paling merimaskan. Berbekalkan pengalaman ketika berkunjung ke pesta yang sama tahun lepas, ternyata keadaannya tidak banyak berbeza. Orang ramai benar-benar memenuhi setiap yang ada dalam dewan itu. Apapun ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mendapatkan 3 buah novel lagi pada hari itu. 2 buah novel Faisal Tehrani, Bedar Sukma Rindu dan Ketupat Cinta dikaut tapi bukan dicuri di gerai Ameen Publishing dan Dewan Bahasa dan Pustaka selain saya sempat menemui penulisnya sendiri di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Novel Bedar Sukma Rindu telah dialih bahasakan ke bahasa Inggeris oleh pihak ITNM.

Namun, apa yang istimewanya pada hari itu, saya dapat menyokong rakan seperjuangan saya di MPR 2007, saudari Sayidah Muizzah Kamarul Shukri (Eja) yang melancarkan novel sulungnya bertajuk Janji Mithaful Raudhah terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Sambil ditemani beberapa rakan saya, Aidil Khalid (MPR 2007) dan Muhammad Hafiz (MPR 2002) walaupun tampak ringkas pelancaran novel Eja tetap menarik. Syabas diucapkan.

Di hati ini, masih lagi mahu mendapatkan beberapa buah novel namun kekurangan dari segi dana yang membantut seketika hasrat itu. Namun, Pesta Buku masih belum berakhir. Kalau ada rezeki, mungkin akan kembali menjengah sebelum 26 April ini.

Tuesday, April 14, 2009

AF = MPR




Panas sekarang. Suhu persekitaran sekarang mencatat bacaan 36 darjah celcius. Wow, betul ke? Nampak gaya pemanasan global semakin teruk sekarang. Lapisan ozon semakin menipis. Pengawalan CFC terus giat dijalankan. Harap-harap keadaan tidak berpanjangan walaupun mendung tak semestinya hujan.

Bukan cerita pemanasan global yang nak diutarakan. Tapi, kisah demam baru yang semakin meninggi tahap kepanasannya (walhal tak lah panas pun).

DEMAM AF!!!!!!

Sehingga entri ini dimasukkan, sehingga saya sudah 5 orang pelajar sudah disingkirkan. Yang terakhir bernama Rubisa. Walaupun, rancangan realiti televisyen ini tidaklah menambat sangat di hati ini, tapi apabila emak, kakak dan adik 'dah menekan saluran 104 Astro pada hari Sabtu pukul 9 malam, terpaksalah melayan walaupun hati geram bilalah boleh layan Arsenal atau mana-mana kuasa besar, Big FourLiga Perdana Inggeris@ EPL dapat beraksi di kaca televisyen. Alih-alih layan juga AF ni.

Apabila melihat AF ni, terkenang pula pada satu program yang dianjurkan dalam bidang sastera, Minggu Penulis Remaja atau ringkasnya MPR. Memang program ini tidaklah segah AF kerana hanya diketahui oleh segelintir peminat sastera. Namun dengan usianya menjangkau 23 tahun, ternyata bukan calang-calang program ini dianjurkan ( lagi 2 tahun untuk menyamai taun kelahiran TV3 ).

Seperti AF, mereka ada nama-nama yang telah menempatkan diri dalam pelbagai anugerah dalam dunia hiburan tanah air seperti Mawi, Adam, Stacy, Mila, dan Zahid
( sekadar menyebut beberapa nama ). Saban tahun ada saja produk daripada rancangan realiti televisyen ini menembusi Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM) dan juga yang terbaru Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Ternyata visi asal program ini untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia hiburan tercapai matlamatnya. Bukan nak menyokong atau menentang, tapi itulah hakikatnya berdasarkan fakta.

Tidak kurang juga dengan kelibat peserta-peserta MPR. Walaupun tidaklah segah seperti AF namun nama seperti Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, dan Salina Ibrahim ( sekadar menyebut beberapa nama ) berjaya memberikan impak yang berkesan dalam mewarnai dunia sastera yang semakin terhimpit ini. Bakat-bakat lain yang masih dalam pembikinan seperti Nasriah Abdul Salam, Zulfazlan Jumrah, Aidil Khalid dan Fahd Rady mungkin bakal memberikan sokongan kepada barisan senior yang ada sekarang.

Namunbegitu, diri ini sering terfikir. kenapa tidaknya program seperti AF itu dapat dianjurkan. Mungkin agak janggal tapi kita dapat melihat banyak program-program yang tiada kaitan dengan dunia nyanyian dianjurkan seperi Ameirican Next Top Model, Hell Kitchen, Project Runaway dan So You Think You Can Dance berjaya walaupun tidaklah sehebat program realiti bagi genre nyanyian. Mungkin agak sukar untuk mendapatkan tajaan ataupun sokongan daripada pihak televisyen, tetapi kita perlu sedar bidang sastera juga adalah sebahagian cabang seni. Apabila menjadi salah satu cabang seni, maka secara automatisnya, penggiat sastera adalah penghibur.

Bukan mencari nama ataupun sebalikny, hanya sekadar mahu me'mampang'kan pada masyarakat, inilah sastera yang mampu membentuk jiwa dan memberi roh kepada jati diri manusia berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi,

Sampaikan walaupun sepotong ayat.

Hanya sekadar memberikan pendapat. Bak kata Nabil, Lu Fikir La Sendiri!!!

Thursday, February 12, 2009

ANTARA 3 CERPEN


Orang kata penantian itu adalah penyeksaan. Orang cakap lah! Tapi, penantian itu jugalah yang membuatkan kita lebih berfikir dan memberi ruang untuk memperbaharui apa saja kesilapan yang timbul.Menantikan kemunculan semula sebuah karya dalam arus media cetak selama 10 BULAN memang satu menyeksakan. Tapi, syukur kepada hadirat Illahi, penantian itu akhirnya berbaloi bagi saya. Cerpen ' ANGIN DAMAI MECINDIA ' tersiar dalam TUNAS CIPTA edisi FEBRUARI 2009 membawakan persoalan perpaduan dan perebutan kuasa untuk menaiki takhta di Mecindia, sebuah negara fantasi yang terbit daripada fikiran saya sendiri. Ilham untuk penghasilan cerpen ini hadir ketika saya berumur 17 tahun, yakni keinginan saya untuk menyertai SAYEMBARA CERPEN REMAJA PERPADUAN anjuran Kementerian Perpaduan dan Masyarakat pada ketika itu dengan membawa kelainan dari segi fantasi.

Namun, idea itu berkubur dan setelah 5 tahun, cerpen itu dihasilkan semula setelah menperbaiki segala kelemahan pada draf cerpen yang lama. Mungkin kebanyakkan pembaca tertanya-tanya apakah MECINDIA itu. Mecindia adalah gabungan nama 3 suku kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Tapi, tidak ada pula nama-nama suku kaum ini dalam cerpen saya! Kenapa?

Ok! Jika diperhatikan semula pada cerpen tersebut, ada beberapa perkataan yang agak janggal didengar. Contohnya seperti Mare, Chogoku dan Indo. Ketiga-tiga perkataan itu adalah dari bahasa Jepun yang memberi maksud sama dengan suku-suku kaum di Malaysia, Mare=Melayu, Chogoku = Cina dan Indo = India.

Jadi, jika diperhatikan kepada 2 buah cerpen saya yang tersiar dahulu: LEMBING SPARTA dan MISI 2050, nampak saya seperti cenderung kepada karya Sains Fiksyen dan Fantasi. Kebanyakkan teknik dan pengolahan cerpen-cerpen yang ditulis itu cenderung pula kepada karya-karya yang dihasilkan oleh Nisah Hj Haron seperti ANNYSS SOPHILEA dan ATLANTIS DUNIAKU DUNIAMU dan juga tempias-tempias daripada karya DR.RAHMAT HAROUN serta FAISAL TEHRANI melalui karya MANUKLON dan 1511H:KOMBAT! Itu pada anggapan saya sebagai penulis sendiri cerpen-cerpen itu. Apapun pembaca mempunyai pandangan sendiri dan saya mengalu-alukan pandangan tersebut.

Antara 3 cerpen itu, ada kekuatan, ada kelemahan dan ada sesuatu yang ingin saya sampaikan. Jya Mata Ne!