Monday, August 22, 2011

PERGINYA SEORANG PEJUANG SASTERA DAN BAHASA MELAYU


Nama Azizi Hj Abdullah tidaklah asing dalam dunia sastera Melayu. Saya hanya mengenali allahyarham ketika mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan antara orang yang menggalakkan saya membaca karya - karya Azizi adalah salah seorang fasilitator saya di MPR, abang Saifulizan Yahya. Katanya, bacalah karya - karya yang yang dekat dengan saya dahulu, karya - karya yang berlatarkan negeri Jelapang Padi, negeri Kedah, karya - karya yang menggunakan loghat Utara yakni loghat Kedah. Maka, karya - karya Pak Azizi saya teliti. Saya bermula dengan sebuah kumpulan cerpennya yang saya sudah lupa tajuknya. Namun, di dalamnya terkumpul beberapa buah cerpen yang hebat dan tak terjangkau dek akal seperti cerpen Sami Mekong, Mohd Dhuha dan Tulang Pekasam Ikan Puyu. Dua buah cerpen iaitu Mohd Dhuha dan Tulang Pekasam Ikan Puyu telah diadaptasi kepada drama tv.

Kemudian, saya menyorot pula kepada novel - novel Pak Azizi. Saya bermula dengan Kawin - Kawin. Selepas itu, Tuk Cai. Dan, yang terbaru novelnya yang saya baca adalah novel Harga Sebuah Maruah. Sedikit sayang kerana saya masih belum sempat untuk membaca novel popular Pak Azizi, Seorang Tua Di Kaki Gunung. Pak Azizi suka mematikan watak utamanya dalam karya dengan sangat tragis sehinggakan mentornya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ada menegurnya.

Sekarang dia lagi karya - karya berbaur satira seperti Kawin - Kawin. Tiada lagi kisah masyarakat petani Kedah seperti Harga Sebuah Maruah. Dan, tiada lagi karya - karya kasar dan kematian tragis seperti cerpen Mohd Dhuha. Allahyarham Azizi Hj Abdullah kembali ke rahmatullah pada 22 Ogos 2011 bersamaan 22 haribulan dalam bulan yang mulia ini, bulan Ramadhan.

Semoga roh Pak Azizi dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat orang - orang yang diredhai oleh-Nya.

Sunday, April 24, 2011

BUKU-BUKU YANG DI'REMBAT' DI PBAKL 2011


Tahun ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 datang lagi ke PWTC. Saya berkesempatan ke PWTC pada hari pertama pesta yang bermula pada 22 April 2011 yang lalu. Tapi, disebabkan kekurangan bajet, saya hanya sempat membeli 8 buah buku saja untuk tahun ini. Antara buku-buku yang berjaya dikaut:

1) Tiga Kali Seminggu - Dr. Faisal Tehrani (Ameen Kreatif)
2) Sebongkah Batu di Kuala Berang - Dr. Faisal Tehrani (Penerbitan PTS)
3) Chronicle Alam Epsilon - Zulfazlan Jumrah (Penerbitan PTS)
4) Garis- Garis Deja Vu - John Norafizan (Jemari Seni)
5) Odisi Bulan Biru - John Norafizan (Jemari Seni)
6) Kimono Ungu Bersulam Bunga - Rebecca Ilham (Ameen Kreatif)
7) Impuls/Roh - Sri Rahayu Mohd Yusop (Penerbitan Utusan)
8) Kasih Nan Agung - Sri Rahayu Mohd Yusop (Penerbitan Utusan)

Diingatkan sekali lagi, saya akan berada di booth Jemari Seni untuk sesi autograf bagi mempromosikan novel saya, Misi 2050 pada:

Tarikh: 30 April 2011
Masa : 2.00 - 6.00 petang

Saturday, April 16, 2011

NOVEL SULUNG DI PBAKL 2011



Novel pertama saya akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di PWTC tidak lama lagi. Ini merupakan novel sains fiksyen saya hasil keluaran JS Adiwarna, anak syarikat Jemari Seni yang menguruskan karya-karya sastera kanak-kanak dan awal remaja. Novel ini diangkat daripada cerpen saya yang pernah tersiar di majalah Dewan Kosmik Edisi April 2008 dengan tajuk yang sama, Misi 2050.

Silalah mengunjugi booth Jemari Seni semasa PBAKL nanti di Dewan Tun Hussein Onn dan saya akan berada di sana untuk sesi atuograf pada:

Tarikh : 30 April 2011
Masa : 2.00 ptg - 6.00 ptg

Untuk membaca sinopsis cerita, anda boleh layari laman sesawang Jemari Seni, www.jemariseni.com

Saturday, April 9, 2011

KARYA DI MEDIA




Sudah lama karya saya tidak tersiar di mana-mana media. Sudah lama juga saya tidak mengemas kini blog saya. Kali ini, saya kembali untuk menyampaikan apa yang ada di kepala saya. Dengan ini, saya mempersembahkan, cerpen Resonans yang tersiar di majalah Tunas Cipta keluaran April 2011. Majalah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya tidak akan berbicara lanjut, biarlah cerpen ini di Tunas Cipta dahulu. Insya allah, selepas habis tempoh sebulan, saya akan berbicara tentang cerpen kejuruteraan satira ini...