Monday, August 22, 2011

PERGINYA SEORANG PEJUANG SASTERA DAN BAHASA MELAYU


Nama Azizi Hj Abdullah tidaklah asing dalam dunia sastera Melayu. Saya hanya mengenali allahyarham ketika mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan antara orang yang menggalakkan saya membaca karya - karya Azizi adalah salah seorang fasilitator saya di MPR, abang Saifulizan Yahya. Katanya, bacalah karya - karya yang yang dekat dengan saya dahulu, karya - karya yang berlatarkan negeri Jelapang Padi, negeri Kedah, karya - karya yang menggunakan loghat Utara yakni loghat Kedah. Maka, karya - karya Pak Azizi saya teliti. Saya bermula dengan sebuah kumpulan cerpennya yang saya sudah lupa tajuknya. Namun, di dalamnya terkumpul beberapa buah cerpen yang hebat dan tak terjangkau dek akal seperti cerpen Sami Mekong, Mohd Dhuha dan Tulang Pekasam Ikan Puyu. Dua buah cerpen iaitu Mohd Dhuha dan Tulang Pekasam Ikan Puyu telah diadaptasi kepada drama tv.

Kemudian, saya menyorot pula kepada novel - novel Pak Azizi. Saya bermula dengan Kawin - Kawin. Selepas itu, Tuk Cai. Dan, yang terbaru novelnya yang saya baca adalah novel Harga Sebuah Maruah. Sedikit sayang kerana saya masih belum sempat untuk membaca novel popular Pak Azizi, Seorang Tua Di Kaki Gunung. Pak Azizi suka mematikan watak utamanya dalam karya dengan sangat tragis sehinggakan mentornya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ada menegurnya.

Sekarang dia lagi karya - karya berbaur satira seperti Kawin - Kawin. Tiada lagi kisah masyarakat petani Kedah seperti Harga Sebuah Maruah. Dan, tiada lagi karya - karya kasar dan kematian tragis seperti cerpen Mohd Dhuha. Allahyarham Azizi Hj Abdullah kembali ke rahmatullah pada 22 Ogos 2011 bersamaan 22 haribulan dalam bulan yang mulia ini, bulan Ramadhan.

Semoga roh Pak Azizi dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat orang - orang yang diredhai oleh-Nya.