Saturday, April 12, 2008

ATLANTIS:DUNIAKU DUNIAMU


Sebuah lagi antologi cerpen saya mesti dimiliki oleh peminat-peminat sastera ataupun penulis-penulis yang mahu memulakan minatnya di dalam penulisan kreatif. Antologi Atlantis:Duniaku Duniamu, antologi pemenang-pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1991 memuatkan 35 buah sajak dan 14 buah cerpen. Namun, saya lebih tertarik kepada kumpulan cerpennya. Antara cerpen-cerpen yang dimuatkan dalam antologi ini adalah Atlantis, Duniaku Duniamu karya Nisah Hj. Haron, Anak Juang karya Monalita mansor, Kelapa Mak Tak Komeng karya Haryati Jamin, Kesumat Waris Terakhir karya Saharil Hasrin Sanin, Musnahlah Robo-Minion! karya Rahayu Mohd Salleh, Aku,Ayah dan Kenangan karya Azizah Ibrahim dan sebagainya. Daripada kesemua cerpen yang tersiar saya lebih meminati cerpen Atlantis, Duniaku Duniamu, Kelapa Mak Tak Komeng, Kesumat Waris Terakhir dan Musnahlah Robo-Minion. Seperti yang kita ketahui, cerpen-cerpen Kak Nisah lebih kepada fantasi. Seperti mana Atlantis, Duniaku Duniamu, cerpennya begitu mengasyikkan dengan garapan bahasa yang baik beserta dengan daya imaginasi yang tinggi. Cerpen Kesumat Waris Terakhir juga berlandaskan konsep fantasi, perebutan kuasa oleh waris tunggal keluarga diraja demi menuntut bela atas kematian ayahanda dan bonda mereka. Cerpen Musnahlah Robo-Minion membawakan konsep fiksyen sains, di mana manusia diperintah oleh robot ataupun kerajaan zalim pada masa hadapan. Cerpen ini seakan-akan menyamai filem I-Robot yang ditayangkan pada tahun 2004, namun perbezaan latar dan masa menjadi pembeza bagi kedua-dua cerita ini. Cerpen Kelapa Mak Tak Komeng digarap dengan baik sekali. Menggunakan sudut pandangan yang ketiga, di mana pencerita adalah dikalangan watak itu sendiri. Pembinaan dan pengolahan cerita yang menarik menjadikan cerpen ini sedap dibaca.

Atlantis, Duniaku Duniamu membawakan seribu satu cerita dan kefahaman yang mampu memberi kefahaman kepada pembaca beginilah dunia remaja yang penuh dengan emosi, fantasi dan perasaan. Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat ternyata berjaya mengangkat tema dan persoalan yang pelbagai demi mewarnai dunia kesusasteraan Melayu.

1 comment:

lyna said...

buku ni dah lama sangat kan.. ada tak sesape yang nak jual buku ni yer?