Monday, February 11, 2008

ANTARA DUA KISAH

Apabila membicarakan nama Allahyarham Ahmad Zafran, saya tidak mengenalinya walaupun allahyarham merupakan antara mantan MPR 1993. Tetapi, apabila mengetahui bahawa allahyarham merupakan penulis kepada cerpen Cintaku Hanya Untuk-Nya, langsung saya kenal! Tidak menyangka, penulis kepada cerpen terbabit pulang ke rahmatullah! Subhanallah! Meneliti cerpennya di dalam antologi Annyss Sophilea, ceritanya mengenai sekumpulan remaja yang mengikuti perkhemahan Biro Tatanegara! Sekumpulan pelajar lelaki remaja yang bertanding untuk memenangi sekuntum 'bunga' yang cukup cantik di dalam kem itu. Dan, seorang pelajar lelaki yang cukup alim yang diberi jolokan Ustaz Rock(mampu dibawa ke bawah dan ke atas) memenangi pertarungan itu. Walaupun begitu, cintanya terbatas dek sifat-sifat islamiknya untuk menghindari maksiat dalam kehidupannya. Ternyata cerpen ini digarap dengan baik dan diselaputi dengan humor dan suspens! Untuk percintaan yang menjadi tunjang turut dimuatkan dalam dibayangi dengan percintaan kepada Illahi! Diharapkan kenangan yang ditinggalkan oleh allahyarham ini menjadi ingatan kepada semua insan. Al-fatihah!

* * *

Seusai membaca dua buah cerpen karya sahabat saya di Dewan Kosmik dan Dewan Budaya, saya terkesan sesuatu di antara kedua-dua buah cerpen itu. Cerpen Burung Hitam dan Abu Nawas karya Aidil Khalid mengutarakan kisah mengenai adat makan dalam majlis makan beradab. Persoalan yang dibawakan cukup simple tetapi membawa mesej yang berkesan. Dua orang peguam yang sedang proses meningkat naik berbalah sesama mereka mengenai adat makan beradab yang dikatakan berasal daripada pengaruh Islam sendiri sebelum dicedok oleh Barat. Walaupun begitu, adat yang dikatakan diasaskan oleh orang Islam itu sendiri ditentang kerana tidak semua perkara yang dibawa oleh orang Islam itu dianggap sebagai kewajipan bagi orang Islam. Hanya Sunnah Rasulullah s.a.w sendiri yang menjadi tunjang dalam kehidupan kita.
Cerpen ini ditutup dengan sinis di mana peguam yang berhujah dengan mempertahankan budaya makan beradab yang dibawa oleh orang Islam turut serta dalam upacara minum arak dalam chambering night anjuran majikan mereka.

Cerpen Planet Biru Harapan karya Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, membawakan kisah seorang pemuda yang ingin pulang ke bumi setelah tertekan dengan kehidupan di Planet Biru Harapan. Meneliti cerpennya, ada unsur falsafah yang cuba dibawa oleh penulis dengan menggunakan latar masa depan mengenai kebebasan. Cerpennya menarik dengan unsur fiksyen sains yang menarik. Selalunya kita akan melihat sebuah karya fiksyen sains dengan ilmu sainsnya sekali sama ada dalam kimia, biologi mahupun fizik. Tetapi penulis membawakan mesej falsafah dengan mengetengahkan kebodohan manusia yang mengejar kebebasan yang tidak pernah wujud dalam dunia kala itu. Ceritanya diakhiri dengan harapan yang tidak kesampaian watak utama kerana telah disabotaj oleh rakan sendiri.

Dua cerpen yan menarik disamping mesej yang dketengahkan agak berbeza. Saya kira kedua-dua penulis ini mempunyai bakat yang baik untuk masa depan dunia sastera. Saya harap Aidil dan Azriq akan terus menulis sesuatu yang baru dan berguna untuk semua. Jya mata ne!

2 comments:

Wan Nor Azriq said...

Hfizul, berminat tak nak buat antologi fiksyen sains? Aku dah ajak safura, dan dia ajak wani dan shafiq. Kalau nak join, lagi bagus :). Shafiq ada kat kl sekarang, cuti dua bulan. Dekat jerr dengan rumah aku.

Aidil Khalid said...

Aku pulak terkesan baca puisi Ghazali kat D.Siswa, 'Sebuah Kematian'. Kena puji dengan Abg Faisal lagi tu! ;-)