Tuesday, August 5, 2008

PELANGI, KAMI INGIN KE SANA


Membicarakan karya pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan(HSKU) bagi tahun 2005 ini bukanlah kerja saya namun sebagai pembaca saya turut berhak untuk memberi penilaian sama ada cerpen-cerpen yang diangkat sebagai pemenang itu berjaya memberi kesan kepada saya ataupun tidak.

Melalui pembacaan saya dalam antologi pemenang karya cerpen remaja dalam antologi Pelangi, Kami Ingin Ke Sana ada unsur kemasyarakatan yang cuba ditonjolkan oleh beberapa buah cerpen daripada 10 buah cerpen yang terpilih untuk menerima hadiah. Namun yang lebih memberi kesan adalah karya tiga buah cerpen yang menerima hadiah utama iaitu cerpen Pelangi, Kami ingin Ke Sana, Kampung Hati Ayah dan Dia Berikan Tangannya.

Pelangi, kami Ingin Ke Sana karya Ariff Mohamad megutarakan kisah pilu seorang anak kecil yang terpaksa hidup merana lantaran penangan Tsunami yang melanda Aceh pada lewat tahun 2004. Cerita ini digarap dengan penghasilan watak Defi, yang digambarkan sebagai guru untuk mengajar anak-anak malang di Aceh ilmu tulis dan baca. Bagaimana keadaan yang terdesak dan kekurangan itu membuatkan Defi cekal dan teguh hati memberikan ilmu yang bermanfaat kepada puluhan anak-anak Aceh yang hilang tempat bergantung. Dalam kembaranya, dia menemui Marlina yang kehilangan kedua-dua orang tuanya akibat diragut oleh ombak besar Tsunami. Defi mendekati Marlina dalam pengajarannya dan dia memahami bahawa gadis kecil ini amat dahagakan kasih sayang sehingga seringkali merindui kedua orang tuanya.

Perjalanan ceritanya lancar dan bernada melankolik, nada sedih bagaimana kehidupan perlu diteruskan dengan hidup serba kekurangan. Cerpen di akhiri dengan pilihan ‘kematian’ yang cuba dipilih oleh watak Defi sambil menggunakan simbol pelangi yang nampak indah tapi jauh untuk digapai.

Cerpen Kampung Hati Ayah karya Ummu Hani Abu Hassan menyingkap persoalan tentang kehidupan masyarakat Melayu di desa. Sebaik sahaja saya membaca cerpen ini, saya mendapat kesan yang mendalam terutama dari sudut latar tempat yang digunakan. Penulis menggunakan Pekan Napo di Changloon, sebuah pekan kecil yang terletak di ceruk bukit-bukau di utara negeri Jelapang Padi, negeri Kedah. Pekan kecil yang mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan dari Bandaraya Alor Setar penuh warna-warna desa dan dipenuhi dengan ladang getah dan kebuh buah-buahan sama ada durian, manggis mahupun langsat.

Saya dapat merasakan suasananya kerana saya pernah ke sana, pernah melalui jalan-jalannya yang bersimpang siur. Penulis menggarapkan cerita seorang gadis yang membantu ayahnya mengusahakan kebun buah-buahan semenjak dari kecil lagi. Kegigihan yang ditonjolkan oleh ayahnya ini untuk menjalankan ladangnya membuatkan si anak turut berusaha gigih tanpa erti penat lelah. Berkat usaha anak beranak itu, si anak mampu melanjutkan pelajaran ke menara gading tanpa perlu membuat pinjaman kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan sama ada JPA, MARA mahupun PTPTN.

Saya terkesan daripada cerpen ini apabila kita bijak merancang kewangan kita, ia mampu membantu kita bila kita dewasa kelak. Perancangan yang sempurna ini ditonjolkan oleh watak ayah yang bijak merancang kewangan keluarga sehingga si anak hanya menggunakan yang dikumpulkan oleh ayahnya sejak dari kecil lagi. selain, persoalan agama turut ditimbulkan apabila si ayah turut tidak melupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan seperti yang diungkapkan oleh ayah:

“ Ayah takut hampa kejar benda lain tapi rukun Islam tak sempurna. Ini saja niat ayah sebelum ayah tutup mata”

Niat seorang ayah yang tidak mahu anak-anaknya mengejar dunia lebih daripada akhirat. Ini juga berdasarkan firman Allah dalam al-Quran melalui surah Hud ayat 15:

‘ Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan’

Begitu pula sambungannya dalam ayat yang ke 16:

Itulah orang-orang yang tidak memperolehi (sesuatu) di akhirat kecuali neraka , dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang mereka kerjakan.’

Dengan kelancaran cerita yang menarik berserta penggunaan bahasa yang teratur ditambah perkataan-perkataan loghat Utara, cerpen wajib dibaca dan dihayati.

No comments: