Sunday, April 19, 2009

MENJENGAH PESTA BUKU ANTARABANGSA








Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur kembali lagi. Bermula daripada 17 April lalu, ternyata pesta buku kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ke hari. Saya mengambil kesempatan yang ada berkunjung ke pesta itu, ketika hari pembukaan serta hari kedua. Hasilnya 7 buah buku menjadi milik diri. Novel penulis thriller nombor 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, menjadi pilihan ketika saya berkunjung di booth Alaf 21. Setelah asyik membelek Bagaikan Puteri 2 tahun dulu, ia tidak lengkap apabila tidak memperolehi jawapan kepada apa yang berlaku kepada Laksamana Sunan. Jadi, novel Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta menjadi pilihan selain novel Hatiku Di Harajuku menjadi koleksi.

Pada hari yang sama, saya berkunjung ke gerai PTS Publisher. Banyak buku-buku baru yang dijual namun saya hanya mencari sebuah buku non fiksyen. Buku karya Afareez Abd Razak al-Hafiz yang mencetuskan fenomena baru dalam dunia penulisan tanah air. Buku berjudul Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain menjadi jualan best seller setakat ini dan menjadi TOP 5 di dua buah kedai buku iaitu Popular dan MPH. Untuk hari pertama, 4 buah buku berjaya disebat. Esoknya, saya meneruskan lagi jelajah saya di dalam telaga ilmu ini.

Hari Sabtu di Pesta Buku Antarabangsa merupakan saat yang paling merimaskan. Berbekalkan pengalaman ketika berkunjung ke pesta yang sama tahun lepas, ternyata keadaannya tidak banyak berbeza. Orang ramai benar-benar memenuhi setiap yang ada dalam dewan itu. Apapun ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mendapatkan 3 buah novel lagi pada hari itu. 2 buah novel Faisal Tehrani, Bedar Sukma Rindu dan Ketupat Cinta dikaut tapi bukan dicuri di gerai Ameen Publishing dan Dewan Bahasa dan Pustaka selain saya sempat menemui penulisnya sendiri di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Novel Bedar Sukma Rindu telah dialih bahasakan ke bahasa Inggeris oleh pihak ITNM.

Namun, apa yang istimewanya pada hari itu, saya dapat menyokong rakan seperjuangan saya di MPR 2007, saudari Sayidah Muizzah Kamarul Shukri (Eja) yang melancarkan novel sulungnya bertajuk Janji Mithaful Raudhah terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Sambil ditemani beberapa rakan saya, Aidil Khalid (MPR 2007) dan Muhammad Hafiz (MPR 2002) walaupun tampak ringkas pelancaran novel Eja tetap menarik. Syabas diucapkan.

Di hati ini, masih lagi mahu mendapatkan beberapa buah novel namun kekurangan dari segi dana yang membantut seketika hasrat itu. Namun, Pesta Buku masih belum berakhir. Kalau ada rezeki, mungkin akan kembali menjengah sebelum 26 April ini.

1 comment:

Sayidah Mu'izzah said...

salam hafizul, terima kasih sebab sudi menjengah ke gerai GISB ketika majlis pelancaran novel JMR tu. errr...nama eja tu tak de koma. seharusnya Mu'izzah. heheh nama hafiz pun salah gak. Mohammad la... senangkan kes, Ilham Hafiz.