Saturday, March 22, 2008

Kumpulan Utusan-UTM anjur sayembara fiksyen sains

PENULIS A. Richard dalam bukunya, Peotries and Science (1926) menegaskan bahawa masyarakat moden bakal mengkaji sastera secara serius sepertimana mereka mengkaji kitab-kitab agama.

Ia lantaran krisis spiritual dan keinginan batiniah yang memuncak.

Menurutnya, agama yang selama ini menjadi rujukan utama tidak lagi di beri perhatian wajar oleh segelintir masyarakat Barat. Pada masa yang sama, sains dan teknologi terus dipuja kerana pemahaman materialis-hedonis.

Dalam keadaan ini, sastera muncul sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-duanya (agama dan sains) melalui unsur estetika, filosofis dan imaginatifnya - membuka inspirasi manusia untuk berkarya.

Sastera dan segala unsur imaginatifnya sangat berpengaruh. Albert Einstein yang merupakan pengasas teori relativiti sendiri merupa peminat penyair romantik Britain seperti Wordsworth dan Mary Shelley.

Begitu juga ahli matematik, Alfred North Whitehead yang menghasilkan karya Principia Mathematica (1910) juga merupakan pengkagum karya-karya Wordsworth dan Mary Shelley.

Oleh itu, tidak menghairankan jika banyak pemikir inovatif dalam disiplin ilmu sosial dan sains mempunyai latar belakang sastera yang kukuh. Pemikir Edward W. Said misalnya membongkar epistemologi orientalisme sambil membuka pintu pascakolonialisme melalui disiplin itu.

Michel Foucault, yang mengadakan analisis wacana untuk melihat prawacana atau Antonio Gramsci yang melihat sastera sebagai medium pembaharuan moral dan untuk mengungkapkan ideologi-ideologi kelompok sosial.

Terdapat puluhan tokoh intelektual lain seperti ahli astronomi Carl Sagan, Free Dyson dan pakar roket Wernher Von Braun dikatakan bermula daripada kegemaran membaca karya fiksyen sains.

Pembacaan yang mendalam terhadap karya-karya tersebut telah menemukan mereka dengan pertembungan titik pertemuan antara disiplin sastera dan sains dalam kerangka ontologi (metafizik).

Ini kerana kedua-duanya mampu mengetengahkan kenyataan walaupun di satu sisi sastera lebih mendekati alam imaginatif sedangkan sains merupakan ruang realiti.

Bagaimanapun antara sastera dan sains juga saling mempengaruhi misalnya sains dapat menjadi inspirasi bagi pengarang untuk menciptakan karya fiksyen dan begitu juga sebaliknya.

Dalam sejarah kepengarangan dunia muncul penulis-penulis yang berjaya memanfaatkan kedudukan ini untuk menghasilkan karya yang memukau. Antaranya Edgar Allan Poe (Eureka), Lewis Carrol (Alice’s Adventure in Wonderland) dan Jorge Luis Borges (Ficciones).

Namun, jauh sebelum itu terdapat pengarang yang meneroka ruang fiksyen sains dengan baik iaitu Jules Verne yang menghasilkan From The Earth to the Moon).

H.G Wells pula menulis The Time Machine (1895), The Invisible Man (1897), The War of the Worlds (1898) dan The First Men in the Moon (1901).

Dalam konteks Malaysia, fiksyen sains juga bukan merupakan genre baru. Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar misalnya pernah menghasilkan novel yang cukup menarik, Dendam Siber - sebuah wacana adaptasi sains dan sastera.

Dengan mengambil kira prospek masa depan sains sebagai ruang untuk penciptaan karya kreatif tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan mengambil inisiatif menganjurkan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Seperti dijelaskan oleh Pengarah Penerbit UTM, Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, sayembara tersebut merupakan usaha kedua-dua institusi tersebut untuk meningkat dan menggalakkan manipulasi daya cipta, kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar tempatan, tenaga pengajar khasnya dan rakyat Malaysia secara umumnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sasaran utama penyertaan iaitu semua pelajar dan staf Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia, selain mereka yang berminat untuk menyertainya.

“Penyertaan ini terbuka kepada umum tetapi mereka mesti mestilah warganegara Malaysia dan karya wajib dihasilkan dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Sebenarnya, menurut Ahmad Zaki, idea untuk mengadakan sayembara tersebut bermula dengan Sayembara Novel Cereka Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan. Pelancarannya telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM pada 15 Ogos tahun lalu. Ia bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2007.

Sebagai penerbit ilmiah, UTM belum pernah menerbitkan genre Cereka Sains. Apabila melihat potensi buku jenis ini dapat membina minda dan berupaya menarik pembaca khususnya golongan muda untuk meminati bidang sains dan teknologi, satu usaha ke arah itu diusahakan.

“Kita melihat Kumpulan Utusan mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran sayembara sastera dan penerbitan. Ini bertepatan dengan objektif UTM menarik minat penulisan rakyat Malaysia.

“Dengan adanya kerjasama dengan Kumpulan Utusan, Penerbit UTM yakin akan mendapat sebanyak mungkin penyertaan dan sayembara ini dilihat akan lebih berjaya,’’ tambah beliau.

Ahmad Zaki mengakui, Penerbit UTM pada dasarnya memerlukan rakan media/penerbit swasta yang berpengalaman luas dalam penganjuran sayembara serta berpengaruh untuk berganding bahu dalam usaha ini.

Sebagai penganjur bersama, UTM akan bertanggungjawab membiayai sepenuh kos berkaitan penganjuran sayembara tersebut termasuk kos hadiah, penganjuran bengkel penulisan, honororium panel hakim, mesyuarat panel hakim serta kos lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil kerjasama tersebut, Kumpulan Utusan bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam penganjuran sayembara novel dan seterusnya penerbitan novel.

Ini termasuk penyediaan kriteria penilaian dan jadual kerja penghakiman, pelantikan panel hakim, pengendalian mesyuarat penghakiman dan pelaporan, fasilitator bengkel penulisan dan proses lain yang berkaitan.

“Paling menarik, penyertaan terbuka kepada individu atau berkumpulan. Sesebuah kumpulan yang dibenarkan hendaklah tidak melebihi tiga orang ahli kumpulan.

“Peserta boleh menghantar seberapa banyak karya. Tiada had penyertaan sama ada bagi peserta individu atau berkumpulan,” ujar beliau.

Sementara itu, majlis pelancaran sayembara dan majlis menandatangani MoU oleh UTM dan Utusan Melayu bakal diadakan pada 7 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan ialah;

Pertama (RM15,000, watikah dan trofi), tempat kedua (RM7,500, watikah dan trofi), ketiga (RM5,000, watikah dan trofi) manakala lima pemenang sagu hati masing-masing akan menerima RM500, watikah dan trofi.

Sementara itu, keterangan lanjut mengenai sayembara tersebut hubungi Sekretariat Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi, Penerbit UTM di 07-5218166 (Yosman Mohd. Bain).

* BENGKEL Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi akan diadakan pada 6 April bermula pukul 8 pagi di Bilik Kelantan, PWTC. Ia akan dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Amida Abdulhamid. Setiap peserta akan dikenakan bayaran RM50.

No comments: