Saturday, March 29, 2008

SETELAH 5 TAHUN






Setelah menunggu 5 tahun, alhamdulillah cerpen saya sudah pun tersiar di media cetak pada tahun ini. Rezeki saya untuk bulan April, cerpen Lembing Sparta dan cerpen fiksyen sains Misi 2050 mendapat tempat di dalam Dewan Sastera sisipan Tunas Cipta dan Dewan Kosmik keluaran April 2008. Dua cerpen ini merupakan karya saya yang ke-5 dan ke-6 yang disiarkan. Kali terakhir karya tersiar adalah pada tahun 2003 melalui puisi Dalam Gelap yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2003. Kemudian, saya menyepi daripada arena penulisan (bukan tidak menulis langsung cuma tidak dihantar ke mana-mana penerbitan) sehinggalah saya menyertai Minggu Penulis Remaja 2007. Sebetulnya, saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada Kak Nisah Hj Haron serta Abang Saifulizyan yang banyak membantu saya menyemak cerpen-cerpen ini dan membantu saya mengenengahkan cerpen-cerpen ini kepada editor majalah dewan.

Cerpen Lembing Sparta telah di'remake' semula daripada cerpen yang saya tulis pada tahun 2003. Saya tidak mendapat ilham bukanlah daripada menonton filem 300 mahupun filem Meet The Spartans tetapi setelah membaca buku teks Sejarah Peradaban Dunia tingkatan 4. Setelah saya mengetahui sistem hieraki masyarakat Sparta pada masa itu yang mengamalkan sistem kasta yang amat teruk, saya pun cuba menghasilkan cerpen untuk menentang sistem lama itu. Penentangan masyarakat Periochi, masyarakat pertengahan di Sparta terhadap masyarakat Peer, masyarakat pemerintah kota Sparta berlangsung sangat hebat dan terbawa-bawa sehingga ke dalam bidang sukan, terutamanya dalam pemilihan wakil Sparta ke Olympia bagi menyertai Sukan Olimpik zaman dahulu. Walaupun gaya bahasa tidaklah sehebat mana tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi mesej yang berguna kepada khalayak pembaca. Asalnya judul cerpen ini adalah Sparta dan Olimpik namun diubah kerana konsep Olimpik itu agak kurang dalam cerpen ini.

Cerpen Misi 2050, salah satu lagi cerpen lama saya yang telah 'touch-up' kembali untuk disiarkan di dalam Dewan Kosmik kali ini. Cerpen yang saya tulis untuk pertandingan Hadiah Sastera Sains Fiksyen anjuran Karyanet. com pada tahun 2005 tidak dapat disiapkan kerana kekangan masa. Akhirnya, dibiarkan dalam proses pengeraman selama 2 tahun sebelum saya membawanya ke MPR 2007. Setelah dibaca oleh rakan saya di MPR itu, mereka berpendapat cerpen ini sesuai dihantar ke Dewan Kosmik kerana konsep peperangan masa hadapan. Lalu, setelah saya membina semula plot dan membetulkan olahan ayat yang salah, saya menghantarnya ke editor Dewan Kosmik. Cerpen yang mengisahkan peperangan pada tahun 2050 di antara tentera Wilayah Barat dan Wilayah Timur yang menggunakan konsep peperangan teknologi masa depan. Senjata biologi dipertingkatkan dan digunakan untuk menentang musuh. Tajuk cerpen ini juga telah diubah daripada Merencana Misi kepada Misi 2050 dan setiap cerpen itu mempunyai maksud yang tersirat yang cuba disampaikan. Seperi juga Misi 2050, ia mempunyai maksud yang tersirat dan apabila anda membacanya, bakal difahami kelak.

Sukacita juga saya ingin memperkenalkan juga dua cerpen rakan saya di MPR iaitu Nai Boon Mee dan Nor Hidayah Ilias yang turut tersiar di dalam Dewan Sastera keluaran April 2008. Cerpen Srengenge ciptaan Nai Boon Mee berserta Noktah Masih jauh karya Nor Hidayah Ilias bakal menjadi santapan para pembaca di dalam Dewan Sastera keluaran April 2008. Diharapkan segeralah mendapatkannya.

6 comments:

Anonymous said...

Tahniah! Tahniah!

Wah, sekali dua karya tersiar dalam satu bulan. Bukan senang!

Anonymous said...

alhamdulillah!rezeki namanya!hehehhe

Anonymous said...

TAHNIAH!!! HUHU

Anonymous said...

Syukran! Eja pn cpt2 la hntr cerpen! Sy nk bc! Hehehe

Nisah Haji Haron said...

Tahniah berganda.

Alhamdulillah, Hafizul telah menggunakan blog untuk mempromosi karya dan berkongsi proses pengkaryaan dengan pembaca.

Teruskan!

Anonymous said...

Terim kasih kak Nisah dgn komen yg diberikan. Selalulah melawat blog saya!