Saturday, December 19, 2009

20 Tahun Menanti



Pada mulanya skuad ini tidak diberikan harapan untuk melangkah jauh dalam Sukan SEA Kali ke 25 di Ventiane, Laos. Mereka hanya mensasarkan layak ke pusingan separuh akhir daripada kumpulan sukar yang dianggotai pemenang pingat emas 8 kali berturut-turut, Thailand, pasukan yang memenangi Piala AFF Suzuki, Vietnam selain pasukan kerdil seperti Timor Leste dan Kemboja. Keadaan menjadi bertambah tenat setelah skuad anak didik K.Rajagopal kecundang di tangan Vietnam, 1 – 3 ketika peringkat kumpulan setelah beraksi cemerlang membelasah Timor Leste 11 – 0 pada aksi sebelumnya.
Beraksi dalam suasana tertekan mereka membenam Kemboja dengan jaringan 4 – 0 dan berdepan dengan Thailand dalam perlawanan hidup mati mereka. Dengan semangat juang yang tinggi dan berbekalkan kenangan pahit 2 kali kecewa di Thailand ketika Sukan SEA 2007 dan Piala AFF Suzuki 2008, mereka bangkit mencipta 2 gol untuk menang walaupun ketinggalan pada mulanya. Kemenangan itu mencalarkan ego Thailand yang tidak pernah tidak layak ke peringkat separuh akhir. Malaysia melangkah ke perlawanan separuh akhir menentang tuan rumah , Laos.
Sejarah mungkin tidak berulang jikalau ia diambil iktibar. Kekalahan memalukan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan dalam aksi Sukan SEA 1997 di Jakarta dahulu kepada Laos menjadi azimat kepada anak muda Malaysia untuk bermain baik dan tidak memandang enteng pihak lawan. Badrol Bakhtiar meledak 2 gol sambil Safiq Rahim mencatatkan nama sebagai penjaring untuk Malaysia menang 3 – 1 dan layak ke perlawanan akhir buat pertama kali semenjak Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
Pasukan bola sepak Malaysia tidak diletakkan sebagai pilihan untuk menggondol pingat emas untuk kejohanan kali ini. Vietnam yang mempunyai rekod yang baik ketika bertemu Malaysia dilihat mampu untuk menggapai emas pertama mereka dalam Sukan SEA setelah menyertai semula kejohanan dwitahunan itu pada tahun 1995. Stadium utama di Kompleks Sukan Ventiane, Laos dipenuhi dengan warna merah, lambang kehadiran penyokong Vietnam.
Namun, kehadiran penonton Vietnam yang ramai tidak banyak membantu pasukan itu. Malaysia menghukum Vietnam dengan kesilapan pertahanan mereka untuk menjaringkan 1 gol, cukup untuk menamatkan penantian 20 tahun rakyat Malaysia, meraih pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.
Pasukan yang dibentuk dari tahun 2006 sudah menampakkan hasilnya apabila berjaya menjuarai Pesta Bola Merdeka pada tahun 2007. Walaupun sedikit menjunam ketika Sukan SEA di Korat dan Piala AFF Suzuki 2008 ketika di bawah bimbingan jurulatih Kelantan sekarang, B.Santhinathan, skuad muda Malaysia memperlihatkan peningkatan apabila bermain cemerlang ketika tunduk 2-3 dan 0-2 kepada Manchester United. Sekalipun tewas 1-3 kepada Uzbekistan dalam 2 perlawanan kelayakan AFC Piala Asia, mereka mempelajari banyak perkara iaitu jangan mudah menyerah kalah. Perjalanan masih belum tamat. Dan hasilnya, mereka berjaya melakukannya di Laos kali ini.
Bak kata K. Rajagopal, ini adalah permulaan. Tahun hadapan mereka perlu mengharungi pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia di Guangzhou, China, Pesta Bola Merdeka (jika dianjurkan) dan kejohanan Piala AFF. Tidak dilupa, perlawanan kelayakan Piala Asia yang berbaki satu yakni menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di tempat lawan. Mungkin peluang Malaysia sudah tertutup untuk melayakkan diri ke Qatar tapi perlawanan itu perlu diharungi untuk menentukan sama ada mereka hanya menang secara nasib di Ventiane ataupun pasukan Malaysia layak menguasai pentas Sukan SEA kali ini.
Pihak FAM perlu menetapkan sasaran baru, melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada tahun 2012, cuba beraksi sejauh mungkin dalam kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil dan layak beraksi di Piala Asia 2015 secara merit.
Sekali lagi, syabas pasukan Malaysia. Malaysia BOLEH!!

No comments: