Sunday, January 10, 2010

APABILA BOLA SEPAK DIMURNIKAN DALAM CERPEN

Acara bola sepak merupakan salah satu sukan paling popular di dunia. Di mana-mana sahaja sukan ini akan mendapat sambutan tidak kira di kalangan rakyat jelata, pemimpin negara mahupun kerabat diraja. Sukan ini menjadi sebuah sukan yang unik yang mendapat perhatian yang hangat di serata dunia.

Tapi, agak jarang untuk melihat sukan bola sepak diangkat sebagai tema dalam karya sastera terutamanya di Malaysia. Antara penulis yang giat menggunakan tema bola sepak dalam karya sasteranya adalah Alias Ismail. Penulis ini pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan melalui novel berjudul Priitt.. dan cerpen bertajuk Delusi. Cerpen bertemakan sukan ini kembali lagi melalui cerpen yang berjudul Fox 40 yang tersiar di Mingguan Malaysia pada 10 Januari 2010. Bagi saya cerpen ini adalah kesinambungan daripada dua karyanya sebelum ini, apabila novel Priitt.. membicarakan kisah hidup pengadil yang tidak pernah putus-putus daripada kontrovesi dan penggunaan teknik yang sama melalui cerpen Delusi.

Cerpen Fox 40 menggambarkan cerita pertarungan bola sepak antara pasukan gergasi England, Manchester United dengan sebuah pasukan dari Malaysia, Kenyir Bersatu. Menariknya, penulis menggunakan nama-nama sebenar bagi watak-watak pemain bola sepak seperti Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Edwin van Der Sar dan Patrick Evra. Penulis juga mengembalikan nostalgia dengan menggunakan nama-nama pemain legenda Malaysia sebagai Kenyir Bersatu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun dan R.Arumugam.

Ironinya, cerpen ini ingin mengangkat kisah pengadil yang tidak pernah sudah dijadikan sasaran cemuhan penyokong dan juga pengurus pihak lawan. Penulis menggunakan situasi sebenar yang berlaku dalam kancah Liga Perdana Inggeris atau EPL apabila pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengkritik pengadil perlawanan ketika anak-anak buahnya berhadapan dengan Sunderland pada aksi beberapa bulan lalu.Pengurus berbangsa Scotland ini telah dikenakan tindakan oleh pihak Persatuan Bola Sepak England namun tindakan tidak mematahkan 'semangat'nya untuk terus membuat tuduhan dan cemuhan ke atas pengadil EPL.

Dari sisi lain, saya nampak penulis cuba membangkitkan suasana nostalgia selain ingin memberi kritikan kepada bola sepak Malaysia yang dalam perjalanan untuk mengembalikan kegemilangan suatu ketika dahulu. Nama-nama pemain legenda yang dijadikan watak bagaikan memberi isyarat bahawa agar sukar untuk pemain-pemain Malaysia sekarang untuk mencabar pasukan-pasukan handalan dunia melainkan memberikan usaha yang gigih dan jitu seperti yang dilakukan oleh pemain-pemain handalan Malaysia terdahulu.

Mungkin agak sukar tapi jalannya sudah kelihatan lantaran kemenangan skuad bawah 23 tahun negara yang berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Laos baru-baru ini. Apapun, cerpen Fox 40 penuh dengan simbolik dalam usaha memajukan bola sepak negara dan memartabatkan mutu pengadilan agar semua pihak berpuas hati.

No comments: