Friday, January 1, 2010

MENYAMBUT MALAM TAHUN BARU DI RUMAH PENA







Jika kebanyakkan rakan saya memilih untuk meraikan tahun baru dengan bersesak-sesak di Dataran Merdeka, KLCC ataupun Jalan Bukit Bintang, saya memilih untuk bersantai di Rumah Pena, mememeriahkan Malam Genta Puisi anjuran Rumah PENA dan ASWARA. Ramai dikalangan ahli sastera dan budaya yang hadir seperti SN Dato' A.Samad Said, Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Prof Dr.Rahman Shaari, Marsli N.O dan sebagainya. Beberapa persembahan puisi yang disampaikan oleh Pak Samad, Salman Sulaiman, Marsli N.O, dan sebagainya memeriahkan suasana. Persembahan gitar solo yang didendangkan oleh anak Pak Samad, persembahan nasyid oleh kumpulan RPS (Revolusi Pembudayaan Selawat) dan gitaris Meor serta dari kumpulan Kopratasa menjadikan malam itu penuh warna-warni.

Apa satu lagi persembahan yang membuatkan penonton sedikit panik apabila persembahan daripada Kelab Seni Management and Science University (MSU) menggemparkan seisi hadirin dengan lakonan 'rasuk' yang menjadi tetapi terlalu keterlaluan di dalam majlis sebegitu. Mungkin ada yang suka dengan gimik sebegitu tetapi saya berada di tengah-tengah. Menarik tetapi tidak kena pada tempat. Berhati-hatilah pada masa hadapan pada kumpulan ini.

Selain itu, kehadiran seorang penyair berbangsa yang bertaraf ASP bagi polis trafik begitu mengujakan saya. Kedatangan ke majlis sebegitu membuatkan saya kagum kerana ada juga penyair-penyair yang berada di luar lingkungan sastera itu sendiri melibatkan diri dalam bidang. Sekurangnya-kurangnya saya mendapat impak yang baik kerana saya juga adalah antara golongan yang berada di luar lingkungan sastera yang menceburkan diri dalam bidang ini. Mungkin ia memberi satu cabaran kepada saya untuk gigih berusaha dalam kedua-dua lapangan yang saya ceburi.

Apapun, saya mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada rakan seperjuangan di MPR 2007, Aidil Khalid yang sudi menjemput saya ke majlis tersebut.

3 comments:

firdhaus hassan said...

Untuk menjayakan seni dekon bukan mudah, gabungan lakonan, persembahan puisi, menghafal skrip, menjiwai lakonan, memikirkan kesan khalayak, menghamburkan makna kata serta memastikan lingkungan penonton memahami makna persembahan adalah sukar dan subjektif, tanpa persembahan dari kumpulan kreatif MSU ini pada malam tersebut, mungkin perjalanan Malam Genta Puisi tersebut bersifat statik seperti bertahun2 lalu. Buktikan ketermelampauan dan nyatakan cadangan yang perlu dilakukan jika hanya mahu memuaskan hati saudara. Hantar satu persembahan anda yang tidak melampau untuk mana2 aktiviti akan datang supaya orang lain mampu menyampaikan persembahan mereka mengikut selera hati anda.

Aidil Khalid said...

Saudara Firdhaus Hasraf,

Saya percaya sebenarnya tanpa persembahan daripada kumpulan MSU itu sebenarnya akan lebih baik, sebab mood penonton menjadi semakin hambar saya perasan setelah MSU itu. Ramai yang pulang, dan ramai juga yang mulai mundar-mandir di belakang (termasuk saya sendiri) setelah persembahan oleh MSU. Dan kerusi juga mulai kosong di hadapan.

Keterlampauan kumpulan MSU itu adalah pada gimik yang dipilihnya. Sikap membohong adalah sangat tidak patut. Kita boleh terima kalau ia membohong dalam hal-hal lain, sebab namanya pun gimik, tapi apabila pembohongan itu adalah berkaitan dengan hal-hal kecemasan, maka hal ini sungguh menyedihkan. Mungkin saudara pernah mendengar cerita tentang kisah budak pengembala kambing dengan serigala? Kalau belum, biar saya ulangi di sini. Kisahnya seorang budak pengembala yang suka-suka buat gimik, menjerit meminta tolong dengan mengatakan ada serigala yang datang. Orang-orang kampung bergegas hendak membantu, tapi bila sampai, ternyata budak itu hanya mentertawakan mereka, sebab sebenarnya tak ada pun serigala. Orang kampung merasa tertipu. Kemudian apabila kejadian yang betul-betul berlaku, dan budak itu menjerit meminta tolong lagi, tak seorang pun orang kampung yang mahu membantu lagi. Maka habislah kambingnya dibaham serigala.

Pengajarannya mudah: jangan bermain-main dengan wilayah kecemasan. Nanti kalau di majlis-majlis lain tiba-tiba ada orang yang jatuh sawan yang betul-betul sawan, penonton akan menyangka ia hanya gimik. Alangkah sadisnya kalau begitu.

Bagi saya persembahan dari pihak MSU tempoh hari memperlihatkan sisi tidak matangnya fikiran mahasiswa kita. Melakukan gimik yang memperbodoh dan memperolok penonton mereka fikir sebagai suatu kejayaan. Hakikatnya sama sekali bertentangan. Tapi saya tegaskan di sini, bahawa saya hanya tidak bersetuju dengan bahagian gimik itu sahaja, sedang bahagian-bahagian lain persembahan oleh pihak MSU itu bagi saya adalah baik.

Saya juga mempertegaskan bahawa pandangan saya ini adalah sebagai seorang penonton, jadi saudara berhak untuk tidak bersetuju juga. Tapi ini pandangan saya. Dan tak perlulah memberi hujah seperti: "Hantar satu persembahan anda yang tidak melampau untuk mana2 aktiviti akan datang supaya orang lain mampu menyampaikan persembahan mereka mengikut selera hati anda."

Anda harus mengerti bahawa apabila penonton memberi pandangan, tidak bermaksud penonton ada keinginan untuk turut membuat persembahan lain. Sebaliknya penonton memberi pandangan berdasarkan apa-apa yang dirasakan daripada persembahan yang dinikmatinya itu. Ia adalah satu reaksi, atau komen atau pandangan dengan niat murni. Alangkah sedihnya kalau seseorang membuat persembahan, tetapi tidak ada sebarang reaksi diterima daripada pihak penonton.

Oh, ya, dan kalau hendak diberikan contoh gimik yang baik, persembahan sajak oleh Wan Ahmad Ismail mungkin boleh dijadikan misalan. Pembukaannya tentang 'Primadona' itu tidak hanya menggeletek humor, tetapi juga menjetik fikiran penonton. Begitulah saya kira gimik yang intelek. (Walaupun mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan isinya kerana bersifat politikal -- tapi hakikatnya sastera memang tak boleh dipisahkan daripada politik).

Salam hormat.

Hafizul Osman said...

Saya bersetuju dengan saudara Aidil. Ini adalah pandangan saya sebagai penonton. Saya suka dengan gimik itu cuma agak keterlaluan di dalam majlis sebegitu. Jika saudara tidak menyukai catatan saya, tidak mengapa kerana saya hanya menulis serba ringkas dan tidak terlalu memanjangkan perkara tersebut di dalam blog saya. Ibarat pembaca memberi komen kepada hasil tulisannya. Jika persembahan sebegitu hendak dicuba pada majlis lain, cubalah dan kita tengok apa reaksi penonton untuk majlis yang seterusnya pula.