Sunday, January 31, 2010

RANGKUMAN PERISTIWA JANUARI 2010


Diam tak diam, tahun 2010 sudah pun memasuki bulan keduanya. Sepanjang 31 hari pertama untuk tahun 2010, pelbagai cerita suka dan duka berlaku di sekeliling kita sama ada di dalam negara mahupun secara global. Setiap peristiwa yang berlaku itu apabila direnungkan secara mendalam memberikan kita satu kelainan perasaan dan juga petunjuk yang bakal menyedarkan kita untuk mencari keredhaan-Nya.

Tahun 2010 dimulakan dengan isu kalimah Allah yang mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah negara itu untuk digunakan oleh pihak Kristian Malaysia dalam penerbitan majalah mereka. Namun, keputusan daripada pihak mahkamah itu mendapat tentangan hebat daripada seluruh rakyat Islam Malaysia. Rakyat Islam di negara ini bersatu dan mendesak pihak kerajaan mengemukakan rayuan untuk membatalkan kebenaran yang telah diberikan oleh pihak mahkamah kepada pihak gereja Kristian. Isu tersebut telah menimbulkan banyak polemik dan negara sedikit terganggu dengan insiden-insiden pembakaran beberapa buah gereja di sekitar Lembah Klang dan pembakaran sebuah surau di Johor.

Tidak cukup dengan itu, isu ini diburukkan lagi dengan insiden baling batu dan baling kepala babi ke arah masjid di Klang. Insiden-insiden ini sedikit sebanyak menimbulkan perasaan sangsi sesama kaum dan boleh mencetuskan sesuatu yang tidak diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Pihak polis masih menjalankan siasatan dan mungkin keadaan ini akan reda tidak lama lagi.

Dunia terus dihantui dengan peristiwa gempa bumi. Setelah kepulauan Fiji dan Tahiti diharung tsunami dek gempa bumi bawah laut, sebuah kepulauan kecil di Amerika Utara, Haiti menerima nasib yang sama. Satu gempa bumi berskala 7.0 Richer melanda negara itu pada 12 Januari 2010. Beribu-ribu orang terkorban dan banyak bangunan musnah. Haiti menjadi seperti padang jarak padang terkukur. Jenayah menjadi semakin berleluasa dengan kecurian dan pembunuhan dilaporkan setiap hari dalam cabaran rakyatnya untuk mencari bekalan makanan setelah bantuan lambat tiba. Dunia seakan-akan terkejut dan berasa kesedihan sambil masing-masing berfikir, apakah kejadian ini akan berterusan? Siapakah pula yang akan menjadi mangsa gempa bumi yang seterusnya?

Rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor menerima satu berita sedih apabila Sultan Johor keempat, Almarhum Tuanku Iskandar mangkat pada 22 Januari 2010. Tuanku sultan yang sudah lama gering, digantikan oleh anakandanya, Tuanku Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima. Rakyat negeri Johor berada di dalam berkabung selama seminggu bagi memperingati jasa almarhum sultan yang pernah menjadi satu-satunya sultan memberikan khutbah ketika solat Jumaat. Semoga roh almarhum tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam golongan yang diredhai Allah.

Dunia sastera diwarnai dengan penyampaian anugerah iaitu Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 dan 2006/2007 yang diadakan pada 18 Januari 2010 bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. HSPM merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menaikkan nama beberapa orang tokoh sastera seperti Sasterawan Negara, Prof Dr. A. Samad Said, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Negara Dr. S.Othman Kelantan (sekadar menyebut beberapa nama). Untuk kali ini, kehadiran beberapa orang penulis generasi baru yang berjaya menempatkan diri di dalam kelompok penerima hadiah seperti Faisal Tehrani, Nisah Hj Haron, Fudzail dan Ilham Hamdani (sekadar menyebut beberapa nama) sedikit sebanyak telah memberi petanda bahawa dunia kesusasteraan masih relevan di sepanjang zaman.

Mungkin pada masa-masa akan datang, penulis-penulis generasi Alaf Baru seperti Aidil Khalid, Nasriah Abdul Salam, Zulfazlan Jumrah dan Ghafirah Idris (sekadar menyebut beberapa nama) bakal menempatkan diri dalam golongan penulis mapan ini. Diharapkan untuk sesi hadiah 2008/2009 nanti dapat disampaikan pada tahun ini, bukannya tiga atau lima tahun selepas pertandingan itu berakhir.

Inilah sedikit sebanyak lembaran pada permulaan tahun 2010. Mungkin untuk bulan kedua ini, pelbagai lagi peristiwa akan berlaku yang bakal memberikan kesan dan akibat kepada seluruh jagat dunia ini. Semoga perjalanan kita untuk menuju ke penghujung tahun 2010 diredhai oleh-Nya.

No comments: